Wednesday 31 December 2008

Masih Membina Azam?

" Ape azam ko tahun baru ni? " tanya seorang sahabat pada saya semalam. " rasanye azam yang tahun lepas pun macam tak sempurna lagi jer...hehehe" balas saya ringkas. Itulah ungkapan yang kerap kita dengar tatkala hadirnya tahun baru. Azam demi azam diperbaharui, tetapi sejauh mana azam yang lepas benar-benar terlaksana. Ataupun isu azam ini hanya bahan sembang yang dijadikan adat setiap tahun baru.

Azam Dan Hijrah

Bukan tidak mahu melayan tatkala ditanyakan mengenai hal ini, cuma masih berfikir-fikir sejauh mana sebenarnya terlaksana azam yang dikabarkan itu. Kadangkala, ia memang benar-benar hanya untuk awal tahun. Di mana akhirnya kita kembali seperti yang asal. Saya mula terfikir ada baiknya jika azam yang kita citakan itu dijadikan satu hijrah dalam kehidupan. Apa yang dilihat, jika azam yang dicitakan, mungkin ia hanya tinggal azam. Namun, jika hijrah yang kita lakukan matlamatnya nampak lebih jelas. dimana penghijrahan itu memerlukan satu pengorbanan dan perancangan yang benar-benar teliti.

Perasaan mula terdetik sebegini, tatkala kita menyambut dua tahun baru yang hampir-hampir tarikhnya. Awal Muharram 1430 dan tahun 2009 yang hanya selang beberapa hari. Tidak dinafikan, kadangkala kita lebih mengingati tahun 2009 dari tahun 1430. Justeru, pada tahun ini saya cuba untuk lebih peka bila datangnya awal Muharram dan meraikannya dari datangnya Januari. Cuba untuk lebih peka mengenai peristiwa hijrah nabi kita dari mengenang mana asal usul tahun masihi yang tidak dikenalpasti.

Firman Allah Ta'ala :

" Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi "
al-taubah :36

Antara kandungan lain ayat tersebut menrangkan 4 bulan haram dalam Islam iaitu Muharram,Rejab,Zulkaedah dan Zulhijjah dimana diharamkan berperang pada bulan tersebut. Tidak mustahil juga serangan pihak kuffar baru-baru ini kerana ingin menghina tahun baru yang akan disambut umat Islam. Kegembiraan yang sepatutnya diraikan, bertukar menjadi kedukaan.

Sayangilah Diri

Adakalanya azam kita citakan tidak menjadi. Mengakibatkan kadangkala lemah semangat, dan putus asa. kemungkinan juga menyalahkan diri sendiri. Bila berlakunya sedemikian, seolah-olah kita menzalimi diri ini sebenarnya. Perlu diteliti, adakalnya perancangan tidak benar-benar rapi mengakibatkan segalanya serba tidak kena. Itu yang saya maksudkan, kerana setiap perkara yang ingin dilakukan perlulah dengan kemampuan diri itu sendiri. sekiranya berlaku pertentangan, itu dinamakan zalim. Bila mana sesuatu perkara diletakkan bukan pada tempatnya.

Mengimbau isi ceramah Maal Hijrah yang diadakan baru-baru ini, sebelum penghijrahan Nabi s.a.w ke Madinah, Baginda telah berhadapan dengan ancaman dakwah, malahan ancaman bunuh keatasnya. Pelbagai ujian dan dugaan yang baginda lalui. Lalu perintah berhijrah oleh Allah Ta'ala merupakan permulaan kejayaan dalam Islam. Allah tidak perintah berhijrah dalam keadaan Nabi s.a.w tidak bersedia dan tidak punyai persiapan dengan segala dugaan dan ancaman. Malah persediaan rapi telah Allah pastikan agar dakwah berkembang dengan cemerlang selepas itu.

Demikianlah halnya hijrah dalam diri kita. Azam dan penghijrahan yang ingin dilakukan perlulah dalam keadaan bersedia. Agar diri tidak terasa dizalimi kerana ingin membuat sesuatu tanpa kemampuan diri sendiri. Allah Ta'ala berfirman dalam surah Ali-Imran : 117

" Dan Allah tidak menzalimi mereka(manusia) tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri"

Faktor diri manusia itu sendiri amat penting dalam melakukan perubahan. Persekitaran hanya juzuk-juzuk kecil yang membantu dalam pembentukan hijrah dan perubahan. Contohnya, seorang yang ingin berhijrah menjadi seorang yang menepati masa, bukanlah membeli jam baru atau menukar semua temu janji pagi kepada sebelah petang agar tidak menggangu waktu tidur menjadi punca perubahannya. Tetapi, empunya diri bagaimana mengambil berat, dengan setiap pekerjaan yang dilakukan, kerana semua melibatkan 24 jam yang Allah telah berikan sama rata untuk semua makhlukNya. Bahkan dirinya sendiri yang perlu tidur lebih awal dan cuba latih diri berjaga awal pagi agar tidak terlepas segala temujanji. Inilah yang saya katakan faktor diri itu sebenarnya memainkan peranan penting dalam setiap penghijrahan dan keazaman yang dibentuk.

Jadilah Rasional

Untuk menjadi rasional bukanlah menjadikan diri manja tanpa dicabar. Tetapi berfikir dengan kemampuan diri secara relevan agar diri tidak dizalimi. Hal ini penting agar, perkara-perkara yang kurang baik tadi dapat kita elakkan. Jika ingin menyimpan azam baru, tunaikanlah yang masih tertunda kerana kita hanya akan membuat binaan azam yang tidak tahu entah bila siapnya. Jika ingin berhijrah, persiapkanlah diri agar hijrah yang berlaku bukan satu kejutan yang akhirnya membuatkan diri kecundang di tengah jalan. Jadilah rasional dalam memilih jalan masa depan dan cuba untuk mencabar diri melakukan sesuatu, agar kemampuan diri dapat ditingkatkan bukan sentiasa berada di zon selesa tanpa perubahan. Buatlah pilihan sama ada mahu menjadi seorang yang membina azam demi azam hingga bertahun lamanya ataupun setiap tahun berusaha berhijrah dari masa silam menuju ke masa hadapan.Keputusannya di tangan anda.

:: Salam Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru 2009
buat semua pengunjung blog ini ::


Monday 29 December 2008

Antara Harapan dan Keperluan

Tatkala umat Islam di Palestin bergolak kerana serangan dilancarkan selepas genjatan senjata, kami di sini hanya mampu mengirimkan doa dan bersolat memohon pada Allah Ta'ala agar mereka diberi kekuatan dan bantuan. Manakala tentera israel laknatullah dihancurkan oleh Allah. Doa qunut nazilah yang saya letakkan di awal artikel ini dengan harapan agar kita dapat sama-sama mengamalkannya secara berseorangan atau berjemaah. Antara kandungan doa tersebut adalah mohon keizzahan umat Islam dan dijatuhkan puak kuffar yang menindas umat Islam.

Antara harapan dan kemampuan

Buat kami yang berada dekat dengan bumi Palestin, memang terasa bahang kemarahan dan kebangkitan kerana auranya terasa dekat berbanding ketika di Malaysia. Saya sendiri akui sungguh berbeza apa yang dirasakan. Namun,biarpun dekat hanya beberapa batu bukanlah suatu yang mustahil untuk kami sampai ke sana. Siapa yang tidak mengimpikan syahid? Seteruk mana pun seseorang itu,tatkala saudaranya sendiri dizalimi pasti akan terasa. Itulah ukhwah Islam yang tidak mungkin ada pada agama-agama lain. Apakan daya, tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang digalaskan di bahu kami masih belum sempurna. Hanya doa yang berterusan buat pejuang Islam di sana moga Allah berikan kemenangan. Saat ini Kalam Allah Ta'ala benar-benar memberikan semangat buat pejuang Islam:

" katakanlah telah datang yang haq itu dan yang batil itu telah lenyap, sesunguhnya yang batil itu sesuatu yang pasti lenyap "
al-Isra' : 81

Janji Allah taa'la yang pasti berlaku. Namun, tanpa kekuatan umat Islam itu sendiri, mana mungkin mematahkan serangan kafir laknatullah yang tidak henti-henti menindas. Janji Allah itu pasti, tetapi kitalah yang bertanggungjawab menjadikan ia satu kenyataan.

Demonstrasi

Acapkali, kita lihat demo dilakukan dimana-mana. Hinggakan di Malaysia sendiri, demonstrasi secara aman telah semakin giat dilakukan. Baru-baru ini di jamiah (umiversiti) saya sendiri telah diadakan satu demonstrasi selepas serangan pertama ke atas Gaza.

Setibanya saya di jamiah, kedengaran sayup-sayup suara bagai ada rusuhan. Namun, tak terlintas akan adanya demo dengan kawalan oleh pihak jamiah sendiri. Habis kelas, sempat saya cuba mengekori sekumpulan pelajar yang rupanya, sedang melaungkan kekesalan,kemarahan dan bantahan mereka terhadap serangan di Gaza. Rasanya inilah kali pertama melihat demo sedemikian di jamiah. Yang menarik, laluan demo tersebut dikawal oleh pegawai-pegawai jamiah moga dapat bergerak dengan lancar. Rupanya demo yang dilakukan dengan kebenaran. Saya sangkakan biasanya demo-demo yang ingin dilakukan di Universiti jaramg sekali mendapat kebenaran. Sayangnya, saya tidak dapat ikut hingga akhir kerana perlu ke kelas berikutnya. Menurut sahabat yang dapat ikut hingga akhir,sebahagian pensyarah ada juga yang menyertai penutup dengan melakukan solat jenazah ghaib buat mereka yang terkorban.

Di saat-saat genting sedemikian membuktikan sebenarnya umah Islam mampu bersatu membina kekuatan. Bukan sekadar mendapat berita menjadikan halwa telinga bagai mendengar lagu seharian.

Mendidik jiwa pejuang

Sebenarnya, apa yang dilakukan pihak jamiah dengan memberikan kebenaran sedemikan rupa, mampu memberikan impak kepada jiwa pelajar Islam khususnya yang semakin cetek dengan semangat perjuangan. Mana tidaknya, setiap hari hanya disogokkan dengan hiburan yang mampu merosakkan jiwa jika ia digunakan secara berlebihan. Hiburan suatu yang perlu dalam kehidupan, namun keperluan hanya sekadarnya bukannya berlebihan. Apabila wujudnya situasi sebegini, seolah-olah menyuntik jiwa agar lebih bersemangat, mendidik diri punyai jiwa pejuang yang paling penting wujudnya kesedaran bahawa umat Islam ini bersaudara dan memerlukan satu sama lain. Sabda Nabi s.a.w :

" seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti sebuah bangunan kukuh,saling menguatkan antara satu sama lain. dan baginda mencantumkan kedua tangan dengan jarinya ( menunjukkan begitu rapat hubungan tersebut ) "


Pada pandangan saya sendiri sebagai seorang pelajar, adakalanya perlu kepada perkumpulan sebegini dan pelajar turut serta. Sekurang-kurangnya dapat mengembalikan roh pejuang itu sendiri, dimana sebenarnya pelajar itu seorang pejuang.Bukan hanya pergi ke kelas, balik dan tunggu masa peperiksaan. Malah tugas pelajar itu lebih dari itu.Dari seorang pelajarlah akan munculnya generasi yang akan datang. Rosaknya mahasiswa,pemuda, itulah gambaran dunia akan datang. Apatah lagi ingin mewujudkan pemuda yang sayang dan cintakan saudara seIslamnya sendiri. Bukanlah satu perkara yang mudah. Contohnya pada hari tersebut, pelajar-pelajar arab khususnya, biasanya hanya bersandar di dinding-dinding mendengar lagu, bersantai berbual kosong, tiba-tiba mampu bersama-sama melaungkan takbir, mengangkat kalimah Allah. Terasa besar sebenarnya kekuatan umat Islam.

Cermin masa depan


Pokok pangkalnya ukur baju di badan sendiri. Setiap insan punyai apa yang mereka impikan, punyai apa yang mereka fikirkan. Apa yang kita fikirkan sekarang, itulah yang bakal kita gapai pada masa akan datang. Jika tiada apa yang difikirkan atau dirancang, maka mereka merancang untuk gagal sebenanrya. Mungkin sekarang kita hidup dalam suasana aman damai, kurang rasa peduli kita, kurang rasa risau kita terhadap musuh. Sedangkan secara diam-diam, kita sedang diracun dan dirosakkan. Itu lebih-lebih lagi berbahaya kerana musuhnya bukan didepan mata. Berbanding mereka yang diserang di depan mata sudah tentu jelasnya perjuangan mereka.

Tapi bagaimana dengan kita? Apa yang kita perjuangkan? Tatkala penulis bertanyakan persoalan ini. Diri ini lebih-lebih lagi mencari erti perjuangan...

* maaf,ayat Quran dan Hadith hanya dapat bg terjemahan.Masih mencuba software yang sesuai...














Sunday 28 December 2008

Bismillah.....


Assalamualaikum...

Syukur setingginya ke hadrat Allah s.w.t. selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Moga Allah ta'ala sentiasa menjadikan kita hamba yang bersyukur ke atasNya serta sentiasa menjungjung segala perintah yang disampaikan melalui rasulNya..

Perancangan

Setelah sekian lama merancang, akhirnya bersempena awal tahun baru hijrah, Muharram 1430 ini, saya memulakan tapak dalam penulisan blog. Penulisan blog ini memang menarik minat saya untuk mencuba. Namun, memikirkan komitmen masa,idea dan perkongsian yang benar-bermanfaat bukanlah satu perkara yang mudah untuk dikongsikan apatah lagi untuk dihasilkan. Oleh itu, biarlah masa yang menentukan. Akhirnya baru hari ini, dapat saya memulakan tapak dalam penulisan ini.

Menulis dan mengaplikasi

Semoga dengan inisiatif ini, akan dapat memberikan manfaat buat penulis sendiri terutamanya dan buat pengunjung sekalian. Kadangkala ilmu yang bermanfaat tu bukanlah mudah untuk diaplikasikan dalam kehidupan.Namun dengan cara disebarkan dan dikongsikan secara tidak langsung ia akan dapat menggerakkan hati dan tubuh seseorang agar ianya dilakukan. Allah Ta'ala juga ada menjelaskan dalam al-Quran didalam surah al-Baqarah ayat 44, dengan bertanya kepada manusia yang menyeru manusia kepada sesuatu kebaikan sedang mereka meninggalkannya? Lalu Allah menempelak mereka dengan bertanya "adakah kamu berakal?"

Demikian, peringatan dari Allah selain sebagai motivasi untuk para penyebar ilmu dan pencinta kebaikan agar apa yang disampaikan usaha sedaya-upaya agar ia dilaksanakan. Jika tidak, bak kata orang " cakap tak serupa bikin". Kata yang nampak ringkas, namun agak sinis dan mendalam maknanya.

Harapan

Moga kita akan dapat berkongsi maklumat sebaiknya melalui kemudahan sebegini. Sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan, segala komen dan nasihat amat dialu-alukan buat kalian. Apalah sangat diri yang kerdil ini berbanding para ilmuan yang telah lama menulis diluar sana. Mudah-mudahan idea dan perkongsian kita akan memberikan manfaat buat semua.

Jazakumullahu Khair....salam perkenalan buat semua..

::arulz_adnan::
Mafraq,Jordan

1 Muharram 1430/
28 Disember 2008