Thursday 23 April 2009

Layakkah Manusia Menghukum?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...

Allah Ta'ala itu sifatnya Maha Sempurna. Berbanding hamba yang sifatnya serba kekurangan dari segenap sudut. Namun adakalanya manusia sering lupa bahawa dia hanyalah makhluk yang dicipta. Oleh itu pasti wujudnya pencipta baginya. Dalam kepesatan dunia masakini. Kesibukan manusia mengejar teknologi, manusia sering lalai dan alpa akan kemampuan dan kehendak dirinya. Sehingga membuat kita terlupa adanya pencipta dikalangan diri yang hina ini. 

" Karim tu baru keluar pusat serenti kan?? Buat baik plak rajin ke surau! Sekejap aje tu, tak lama lagi balik ke lorong gelap tu! "

"Dia tu penah mencuri kan dulu. Dah kantoi haritu dengan ahli rumah die. Sekarang ni macam nak buat baik pulak dengan kita. Baik jauhkan diri la, nanti entah ape pula barang kita yang hilang nanti."

"Johan tu, macam la aku tak kenal perangai buruk die dulu. Sekarang ni nampak macam baik pulak. Nak cover perangai buruk die dulu la tu. Ingat aku boleh lupe ke? tak payah belakon la,hipokrit betul... "


Dari Muaz bin Jabal r.a. Dari Rasulullah s.a.w bersabda :

" Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja. Dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan,nescaya menghapuskannya. Dan beperangailah sesama manusia dengan perangai ynag baik "

Layakkah manusia menghukum?

Kadangkala perbualan di atas seperti biasa didengari bahkan mungkin kita sendiri yang mengucapkannya. Tanpa disedari, diri yang lemah telah menghukum sesama hamba. Sedangkan manusia itu sama tarafnya. Ada masanya melakukan kebaikan, ada masanya pasti ada dosa yang tercalit di hati. Kerana manusia itu bukan sifatnya ma'sum seperti para malaikat yang sentiasa bertasbih. Bezanya tahap manusia itu ada peringkatnya. Jika hari ini kita tertawa akan dosa dan kesilapan orang lain. Tidak siapa tahu kita akan diuji lebih berat dari apa yang dilalui oleh mereka. Adakalanya ego manusia itu membuatkan diri angkuh hingga terlupa dirinya juga akan diuji. Ego itu berjalan seiring pula dengan nafsu. Jika nafsu tidak di kawal, musuhlah akan mengawalnya sehingga menyebabkan perpecahan dan persengketaan dalam hidup manusia.

Selain al-Quran, hadith s.aw sebenarnya sudah memberikan jalan dan panduan buat kita dalam menjalani kehidupan seharian,kehidupan bermasyarakat dan sebagainya. Seperti halnya kali ini, Rasulullah s.a.w berpesan disebalik kata-katanya, agar berikan peluang buat manusia yang pernah melakukan dosa atau kesilapan. Hamba kepada Tuhannya sudah tentulah taubat yang selayaknya. Namun hadith Nabi s.a.w menyentuh perihal sesama manusia. Bagaimana pula menghadapinya. 
Allah itu Maha Penyayang. Taubat seorang hamba itu pasti akan diterimanya selagi mana si hamba memohon ampun. Tetapi mengapa kadangkala wujud hamba yang menghukum sesama saudaranya sendiri? Muliakah kita dari Pencipta yang Maha Pengampun. Justeru, Rasulullah s.a.w memberikan panduan agar setiap kesilapan yang dilakukan manusia itu akan dapat dihapuskan dengan kebaikan. Berikan peluang manusia perbaiki diri. Kerana itulah ujian buat dirinya. Itulah dugaan buatnya, agar menuju setapak lagi hampir kepada Ilahi.

Firman Allah Ta'ala :

" Dan dirikanlah solat pada 2 siang (pagi dan petang) dan pada bahagian pemulaan malam.Dan sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan buruk(dosa). itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. 
Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah tiada mensiakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan "                    ( Hud : 114-115) 

Allah Ta'ala juga menyebutkan sedemikian buat manusia. Dalil ini menunjukkan agungnya sifat sayang Allah kepada manusia. Kita sedar dengan taubat Allah akan mengampunkan dosa. Namun dengan sifat Rahman padaNya, ditambah lagi bagaimana untuk memperbaiki diri dari kesilapan dan dosa-dosa lalu. Jadi, tidak layaklah bagi manusia menjatuhkan hukuman bagi manusia sendiri. Bantulah sesama hamba dan berikan peluang. semoga ia akan meringankan jalan kita melalui ujian Allah.

Ujian Dan Dugaan Pasti Hadir

Allah dan para Rasul-Nya tidak pernah mengajar manusia bersikap bongkak dan lupa diri. Kerana itu bukanlah sifat yang selayaknya bagi hamba. Manusia itu sendiri saat lahirnya keluar dari tempat yang hina. Sukar melahirkan membuktikan satu ujian buat si anak dan ibunya yang bersusah payah melahirkan. Sehingga matinya manusia, tidak akan terlepas dari ujian dan dugaan Allah.

Firman Allah Ta'ala :

" Adakah manusia itu menyangka mereka akan dibiar sahaja mengatakan "aku telah beriman" sedangkan mereka tidak diuji? "  ( al-Ankabut : 2 ) 

Apabila bibir mengucapkan iman kepada Allah dan rasul-Nya, itulah tiket dan jalan yang dipilih untuk menjadi laluan ke akhirat. Oleh itu, semestinya jalan yang dipilih itu Allah janjikan dengan ujian dan dugaan.  Tiada jalan mudah untuk mendapat kemenangan. Kerana bukan mudah mendapatkan sesuatu yang berharga.

Manusia diuji dengan kemampuannya. Allah juga tidak pernah menzalimi hambanya sedemikian. Tatkala diuji, manusia hanya ada 2 pilihan. Melaluinya dengan sabar hingga meningkat imannya, atau melaluinya dengan putus asa dan akhirnya kecewa dengan rahmat tuhan. Semestinya akan wujud 2 jenis golongan dikalangan hamba Allah di dunia. Ia membezakan antara 2 jalan, sukar atau mudah menggapai cinta Ilahi. Oleh itu, jika hari ini kita senang tanpa diuji, bersyukur dan bersiap sedialah. Jangan pula tertawakan hamba yang diuji dalam hidupnya. Ujian Allah buat kita belum tentu bagaimana, mungkin ringan dan tidak mustahil lebih berat dari apa yang dilalui orang lain.

Semaikan Sayang Sesama Makhluk

Cinta dan sayang Allah itu bersabit juga dengan apa-apa yang diciptakan di dunia. Segala penciptaan di bumi bukanlah sia-sia tanpa manfaat padanya.   Sematkan rasa cinta dan sayang sesama manusia yang merupakan sebaik-baik ciptaan Allah. Anggaplah kesilapan dan dosanya sebagai peringatan buat diri kita yang mungkin terleka tanpa sedar. Mana mungkin kita membiarkan seorang sahabat jatuh ke dalam gaung, selagi ada rasa sayang dan cinta kepadanya kerana Allah ta'ala. Mudah-mudahan rasa sesama manusia itu menyampaikan kita kepada pencipta.

Sifat bersangka baik sesama manusia akan membuatkan hati lebih lapang dan tenang. Kesempitan fikiran dan desakan nafsu akan terhindar dalam diri. Dengan itu, amal ibadah juga mudah untuk dilaksanakan. Jika amal ibadah sempurna tiadalah persengketaan dan perpecahan berlaku sesama manusia.
Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sabar dan syukur di atas segala nikmat dan ujian dari-Nya.


Saturday 11 April 2009

Satu Penilaian : PRK & PM Baru

assalamualaikum....

Minggu lalu merupakan antara minggu-minggu penting dalam negara. Perletakan jawatan Tun Abdullah Badawi dan PRK di Perak. Pastinya rata-rata pembaca mengikuti perkembangan isu-isu sebegini dengan teliti. Satu senario politik dan dua prospek yang berbeza untuk dinilai dan difikirkan. Mungkin sekadar membawa dan mengajak pembaca sekalian sama-sama kita menilai dan berfikir atas segala yang telah berlaku.

Erti Kemenangan

Perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Abdullah Badawi merupakan perkara yang ditunggu oleh rakyat. Bukan kerana menanti beliau meletakkan jawatan, tetapi dek kerana keputusannya untuk meletakkan jawatan ditangguh-tangguh membuatkan rakyat tertanya-tanya dan ternanti-nanti. Akhirnya Jumaat yang lalu menyaksikan upacara bersejarah perletakan jawatan beliau dan lantikan baru Dato' Seri Najib Tun Razak.

Senario politik Malaysia berubah lagi coraknya kali ini dengan berubahnya tampuk pimpinan negara. Namun, kemenangan itu merupakan kemenangan tanpa pencabar. Malah keputusannya tetap dan pasti. Berbanding pilihanraya Bukit Gantang menyaksikan pertembungan parti-parti politik menambat hati penduduk kawasan tersebut. Persaingan yang agak sengit juga kedengaran tatkala semakin hampir hari pengundian dijalankan.

Akhirnya persaingan merebut 3 kawasan dimenangi oleh Pembangkang sebanyak dua tempat dan satu tempat oleh Kerajaan. Hal ini menyaksikan, kuasa dan kepercayaan rakyat masih lagi berpihak kepada pembangkang, biarpun perlbagai usaha dijalankan pihak kerajaan untuk meraih undi penduduk kawasan tersebut. Kerajaan dan Pembangkang harus sedar, bahawa masyarakat malaysia sudah pandai menilai dan sudah faham senario politik Malaysia. Jadi keduanya perlu adakan pendekatan yang lebih kemas dan telus serta ikhlas. Tambahan pula, masyarakat Malaysia yang mula mendekatkan diri kepada agama pada waktu ini perlu diberi perhatian. Bukan masanya lagi berfikir untuk merebut jawatan dan kemewahan hidup, tetapi berfikir untuk membangunkan insan dan menjana ummah dimasa hadapan.

What U Give U Get Back

Bunyinya seperti sepotong lagu sebuah kumpulan yang agak popular satu masa dahulu. Namun, itulah hakikatnya. Apa yang kita janji dan usahakan, itulah yang hasil yang akan diperolehi. Begitu juga dan perkara yang diperkatakan sekarang. Kita dapat melihat, pertukaran Perdana Menteri keenam yang baru, pastinya menjanjikan perlbagai idea yang baru bagi memastikan kepercayaan rakyat kembali dan seiring bersama beliau. Oleh itu, kita sama-sama saksikan sejauh mana janji dan segala perubahan dilaksanakan dengan baik atau pun sebaliknya. Ini merupakan satu cabaran buat kerajaan baru Dato' Seri Najib kerana masyarakat akan menilai. Apa tidaknya, disebalik perlantikan dan perubahan baru kerajaan, pembangkang juga mencipta 1 kejayaan baru di tempat lain. Satu berita gembira digantikan satu berita duka.

Begitu juga dengan kemenangan pihak pembangkang. Perkara ini bukanlah merupakan 1 tiket untuk kembali selesa dan berhenti berfikir untuk menambat hati rakyat bagi mengekalkan kepercayaan. Biarpun telah diundi malahan menang, masyarakat hakikatnya masih lagi menilai. Tambahan pula bersaiang dengan pembentukan kerajaan baru. Ini benar-benar persaingan yang hebat. Semoga kemenangan pihak pembangkang itu tidak menjadikan mereka leka, bahkan menjadikan sebagai titik semangat memperjuangan kemenangan dan kebenaran yang dibawa mereka kepada masyarakat.


Nilai Kepercayaan

Justeru, sama-sama kita menilai, disebalik perlantikan baru Perdana Menteri Malaysia dan kemenangan pembangkang pada PRK baru-baru ini. Bagaikan segalanya dirancang untuk manusia berfikir sejauh mana kebenaran akan akan muncul dan kebatilan akan terhakis. Kerana yang haq itu hanyalah satu, tiada 2 yang lain.

Firman Allah Ta'ala :

" Dan janganlah kamu campur adukkan yang haq itu dengan yang batil, dan janganlah kamu menyembunyikan yang haq itu sedangkan kamu mengetahuinya " ( al-Baqarah : 42)

" dan katakanlah : "Yang benar itu telah datang dan yang batil itu telah lenyap" Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap."
( al-Isra' : 81)

Peristiwa ini juga memberikan persaingan sihat buat Kerajaan dan Pembangkang kerana, masing-masing punyai prospek dan perancangan tersendiri. Jadi, sama-sama kita nilai dan lihat, bagaimana 2 jentera ini bergerak dan bekerja untuk keadilan dan kepercayaan rakyat berkekalan. Seterusnya membuktikan kebenaran yang dibawa dalam wdah perjuangan mereka.

Tatkala ini juga mungkin agak sukar bagi kami berada di luar negara, misalnya di Jordan ini, yang hanya mengenali Tun Mahathir, biarpun bersilih ganti Perdana Menteri bertukar. Rasanya baru saja kami mengenalkan Tan Sri Abdullah Badawi kepada masyarakat yang kadangkala bertanya siapa Perdana Menteri. Bertukar pula yang baru belum sempat mereka menghafal nama PM sebelum ini.
Bagaimana agaknya ya? Itulah Malaysia yang penuh kejutan...







Wednesday 1 April 2009

Usia : Bertambah atau Berkurang?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Serta Selawat dan Salam Buat Junjungan s.a.w yang tercinta....

Hari ini, manusia begitu gembira menyambut hari kelahiran. Tidak mengira apa jua peringkat sekalipun, bayi diraikan ibu bapa dan keluarga. Yang tua diraikan anak dan kawan-kawan. Namun dalam kegembiraan itu, adakah terdetik di dalam hati. Untuk cuba memikirkan, kiraan usia yang bertambah itu benar-benar bertambah atau pun petanda usia semakin berkurang?

Potongan dari hadith ke 4 dari Matan Arbain Imam Nawawi.Dari Ibn Mas'ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda :

"........kemudian dituliskan baginya 4 perkara, rezekinya, ajalnya, amalannya, susah atau bahagia....." Diriwayatkan Oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim

Usia Petanda Hidup Berkurang

Tatkala saya sendiri cuba memikirkan hal ini, terasa mula sebenarnya yang hari lahir yang hadir setiap tahun bagaikan kiraan atau countdown menanti masa yang Allah Ta'ala telah tetapkan buat hamba di awal-awal penciptaannya. Dalam keseronokan meraikan hari lahir yang tiba, kerana merasa syukur atas nikmat hidup dan limpahan rahmat dari Ilahi, ada baiknya juga jika kita mendidik diri agar mengingati perkara yang kedua selepas kegembiraan itu. Hari tamatnya tempoh kehidupan di dunia.

Bukanlah bermakna hari lahir perlu dikenang sebagai titik-titik kematian, tetapi jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk membina azam dan kekuatan yang lebih jitu, untuk menghadapi mehnah dan ujian yang bakal tiba. Justeru, ketetapan Allah itu pasti berlaku dan pastinya berkurang usia petanda hampirnya kepada ketetapan.

Jalan yang terbaik, jadikan ia sebagai satu muhasabah lengkap untuk setahun. Sepertimana kita disarankan untuk menghisab@muhasabah setiap hari. Jadikan ini sebagai muhasabah selesainya satu bab kehidupan yang dilalui. Adakalnya kita mula rancang mengarang lebih awal bab-bab kehidupan ini sebelum ia berlaku. Oleh itu, jadikanlah hadirnya ulang tahun kelahiran sebagai check-up adakah sama sepertia yang cuba dikarangkan sebelum ini, ataupun berubah seluruhnya. Sama-sama kita renungkan...

Seinfiniti Kesyukuran

Dalam melalui kehidupan seharian, pastinya manusia didatangi ujian dilimpahkan kebahgiaan dan kesenangan. Itulah lumrah kehidupan. Nikmat yang amat-amat berharga dalam diri manusia adalah kehidupan. Dalam fatrah hidup inilah segalanya perlu dilaksanakan. Keperluan dunia mahupun akhirat pelulah bergerak seiring agar adanya keseimbangan dalam kehidupan.

Firman Allah ta'ala :

" dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahgiaan) akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari (kenikmatan) di dunia, dan berbuat baiklah(kepada yang lain) sepertimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan "

(al-Qasas : 77)

Jelas, Allah juga mengingatkan dan mengajarkan manusia bagaimana menguruskan kehidupan dunia agar ia seimbang supaya manusia tidak terbeban dengan salah satu pilihan. Malah, ia perlu wujud keseimbangan antara keduanya. Yakni, ada masanya tidak salah bergembira dan seronok dengan kenikmatan yang diberikan, tetapi tidak sekali dilupakan jalan untuk kembali kepada-Nya, pemilik segala kebahgiaan itu.

Justeru, syukur atas segala yang Allah ta'ala telah kurniakan itu merupakan satu kewajipan buat diri manusia di dalam kehidupan. Dengan syukur itulah, akan ditambah lagi nikmat buatnya. Dalam hal inilah adanya kegembiraan dalam menyambut ulangtahun kelahiran. Peluang dan nikmat hidup yang berharga ini masih dipanjangkan tempohnya. Syukurlah atas segalanya kurniaan dari Ilahi buat hambanya di dunia ini.

Duhai diri

Selamat ulangtahun kelahiran kepadamu wahai diriku. Semoga kali ini memberikan lebih kesan mendalam dan kesedaran tentang kehidupan yang semakin banyak ranjaunya. Serta mengingatkan akan hampirnya ketentuan Allah buat dirimu. Jutaan terima kasih buat keluarga dan teman-teman yang sentiasa mendoakan diri ini. kalian juga sentiasa dalam doaku dan moga bersama mendapat keredhaan-Nya. ameen ya rabb..

-arulz-
0213 a.m
02-04-09
Mafraq,Jordan