Monday 16 November 2009

Ku Serahkan Diri Ditarbiyahkan


assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah raja sekalian alam, selawat yang tidak pernah putus buat kekasih Allah Muhammad s.a.w. Semoga kita sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Lama sungguh rasanya tidak menulis. Terlalu banyak yang ingin dikongsikan namun masa membataskan segalanya. Ada perkara lain yang perlu diutamakan dan diselesaikan terlebiih dahulu, akhirnya tidak kesampaian juga menyambung penulisan. Namun ini merupakan fast
update sebagai makluman penting buat sahabat-sahabat yang sudi menjenguk ke blog ini.

Firman Allah s.w.t :

" dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu bagi sesiapa yg mampu sampai kepadanya "
ali - imran : 97

Menjadi Tetamu Lagi

Alhamdulillah, kali ini hajat dimaqbulkan Allah untuk sekali lagi menjadi jemputan ke tanah haram. Namun kali ini adalah lebih istimewa kerana dipanggil dan diberi peluang menunaikan rukun Islam yang kelima. Namun jemputan ini sebagai tetamu istimewa ataupun tetamu kelas bawahan itu hanya Allah yang mampu menentukannya. Cukup bagi saya peluang ini Allah berikan di usia sebegini dan kemudahan yang dikurniakan Allah untuk sampai kepadanya. Pada insan yang sudi menaja perjalanan haji saya kali ini, Allah sahaja selayaknya memberikan balasan sebaiknya. Syukur kerana dapat mengurangkan beban ayahanda dan bonda. Moga kita sama-sama beroleh manfaat.

Sebenarnya berhadapan dengan cabaran terpilih untuk menunaikan haji benar-benar menguji keimanan dan jiwa. Manakan tidak, tahun akhir saya di sini, sekiranya terlepas peluang menunaikan haji dari sini mungkin agar sukar berganda-ganda sekiranya pergi dari tanah air sendiri yang sedia maklum jumlahnya begitu tinggi. Namun segalanya ketentuan Allah itu ada hikmahnya. Semoga penantian ini tidak berakhir dengan usaha yang sia-sia. Bantulah hambaMu yang lemah ini.

Teringat pada umrah yang lalu, sempat membaca buku travelog haji yang benar-benar memberikan kesan ke dalam jiwa saya. Bagai tidak percaya esok saya sendiri akan memulakan perjalan sebagai tetamu haji tahun ini. Prof Muhd Kamil Ibrahim (MKI) dalam tulisannya, sentiasa berdoa agar diberikan tempat tetamu istimewa. Indahnya ketika itu beliau benar-benar bagaikan tetamu istimewa dengan apa yang dilaluinya. Hari ini buat saya berfikir, jauh di sudut hati mahukan tempat itu, namun sedara akan hina dan kerdilnya diri di sisi Allah tak terdaya ingin memohon tempat tersebut. Terasa cukup bersyukur apabila diberikan peluang menjejakkan kaki sekali lagi ke Baitullah, untuk memohon lebih dari itu, sukar sungguh rasanya. Allah menentukan segalanya.

Peluang dan Ruang

Ibadah haji bukanlah satu perkara mudah yang dapat dilaksanakan. Pelbagai cabaran dan dugaan yang akan dilalui. Teringat kata-kata sheikh yang menguruskan urusan haji kami. Dalam kesibukan menguruskan passport dan kerisauan tarikh tamat tarikh visa Jordan, kami terleka sejenak akan kudrat hamba yang terbatas. Kata beliau :

"أعطيني كل جواز سفر عندك, ولو انتهاء تريخ اقامته, بعض الناس سيذهب الي الحج, وبعضهم لا. لاتنس حج هو اختر من الله"

Tersentak sejenak saya dan teman yang sama-sama menguruskan. Terus merasa peluang untuk dipilih bukan atas kuasa manusia menghidupkan visanya atau kemampuan duit dan kuasanya. Segalanya Allah yang tentukan. Siapa yang layak menjadi tetamunya pasti akan sampai pada masanya. Bukan mudah dipilih untuk sampai ke tanah haram. Hingga hari ini, saya masih berdoa dan mohon sahabat mendoakan keselamatan dan kesihatan sehingga tamatnya haji. Kadangkala ada yang sudah sampai, diuji sakit dan sebagainya akhirnya membantutkan usaha mengerjakan haji. Mudah-mudahan ujian sebegitu dijauhkan dan sahabat sekalian teruslah mendoakan keselamatan dan kesihatan kami yang berkesempatan menunaikan haji tahun ini.

Mengubah persepsi dan muhasabah diri

Ibadat haji dan umrah merupakan satu jalan mengubah persepsi terhadap Ilahi dan ibadah yang umat Islam jalani seharian. Mengapa demikian?

Setiap hari kita berkiblatkan kaabah dalam solat 5 waktu. Solat mengadap kaabah di depan mata dan solat di atas sejadah membayangkan kaabah amat berbeza. Saban tahun bersolat, tiba-tiba hari ini bersolat benar-benar dihadapan kaabah kesannya pasti terasa. Ibadah selepas kembalinya ke tanah air terasa kelainan. Kesayuan bersolat di hadapan kaabah terasa dekatnya diri dengan Allah kerana berada ditempat yang dimuliakan Allah sebagai rumahnya. Andai kekhusyukan itu dapat terus dibawa, ibadah akan lebih berkesan dan terasa kemanisannya. Secara tidak sengaja perasaan dalam beribadah itu akan berbeza dari sebelumnya.

Terdapat para jemaah yang menunaikan haji dan umrah dikurniakan nikmat yang berganda-ganda. Begitu juga sebaliknya, terdapat yang diuji dengan pelbagai ujian. Kadangkala perkara begini mewujudkan pelbagai perasaan dan tanggapan. Apabila nikmat melimpah, terasa syukurnya bertambah-tambah. Sebaliknya ujian-ujian yang hadir dirasakan sebagai balasan dendam bukannya sebagai peringatan tanda kasih sayang agar kembali kepadaNya. Terpulang pada insan yang menilai. Sejauh mana manusia muhasabah dirinya, sejauh mana sangka baik terhadap Allah itu dapat diwujudkan. Begitulah natijahnya, ada yang kembali semakin baik, begitu juga sebaliknya, nauzubillah. Bersangka baiklah sentiasa atas apa yang Allah jadikan, carilah hikmahnya. Allah tidak pernah menzalimi hambanya.

Menyerah diri

Mudah-mudahan ibadat haji kali ini lebih berkesan buat hambanya ini yag sering lalai dan leka dalam mencari redha. Ku iqrarkan diri ini diserahkan untuk ditarbiyah agar iman yang ada semakin meningkat, kesabaran yang ada semkin kuat, redha padaMu sentiasa berpanjangan.


Ibadat Haji Bersama MPPM Jordan 2009
17 Nov 09'
9 am
Mafraq, Jordan