assalamualaikum...
Syukur ke atas-Nya saya dan sahabat-sahabat yang sekumpulan mengerjakan umrah telah kembali dengan selamatnya. Namun ada yang kurang sihat itu, adalah sebahagian dari ujian dan dugaan tuhan setelah diberi peluang beribadat pada-Nya dengan tubuh badan yang sihat. Saya sendiri dipertengahan minggu ditimpa sakit dibahagian kaki dan ketika di Mekah mula batuk hinggakan hilang suara. Namun, alhamdulillah ia tidak menghalang untuk mengerjakan ibadah. Bahkan redha sebagai satu ujian dan kifarah atas dosa-dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan. Moga diri sedar, bukan mudah mendampingi Yang Esa, bukan mudah ingin rasa indah hidup bersama-Nya. Ku panjatkan kesyukuran setinggi-tinggi ke atas-Nya.
Indahnya Beribadah di Tanah Haram
Perkara ini mungkin sering dirasakan kebanyakan oleh mereka yang mengerjakan umrah ataupun haji. Suasana kemeriahan bersolat berjemaah, berkejar-kejar mendapatkan saf awal atau mendapatkan saf yang dapat melihat kaabah secara dekat, tempat ibadah yang sentiasa penuh. Terasa indahnya hidup dalam Islam dengan penganutnya yang sedemikian. Perasaan dapat berada dalam Raudhah di Masjid Nabawi, solat 5 waktu di dalam masjid Baginda s.a.w terasa bagai dekat dengannya. Walaupun telah ditinggalkan Rasulullah berpuluh ribu tahun, namun kecintaan,kerinduan pasti akan terasa tatkala berada di sini.
Usahlah dikatakan hipokrit kepada yang insan yang tiba-tiba ingin sering ke masjid solat berjemaah. Kerap ingin berdoa di Raudhah. Kekal hingga ke tengah malam untuk berqiamulail. Memang jika ikhlas yang dibawa, perasaan itu akan hadir tanpa dipaksa. Keindahan dan kemeriahan suasana ibadah di tanah haram amat berbeza bagi mereka yang cuba menghayatinya. Umpama berada dalam sebuah kotak kaca, tidak mahu keluar kerana akan hilang keindahannya.
Mengubah Sempadan Iman
Sempat saya membaca buku tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim mengenai 'Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman'. Sungguh menarik isi kandungannya sehingga terbuai dek linangan airmata kerana mengenangkan indahnya kasih sayang Allah. Dekatnya diri ketika diri tiada dosa. Perjalanan ke tanah haram pastinya menggamit sesuatu yang indah dalam diri seseorang insan. Tatkala ditanya bila mahu mengerjakan haji, bila mahu mengerjakan umrah, sedangkan kewangan bukan masalah baginya. UK, Jepun,Paris bukan lagi tempat yang jarang di kunjungi. Namun ke tanah haram reaksinya berbeza.
" belum sedia lagi la.., rasa tak layak nak ke sana pun ada "
" duit memang ada, tapi masa tak mengizinkanlah. buat umrah bukan boleh kejap saja"
" boleh ke diri aku yang penuh maksiat ni jejak tanah haram tu? isy...tak beranilah, sampai seru ada lah tu "
Reaksi perlbagai yang sering didengar tatkala diajukan bila mahu ke tanah haram. Benar kata-kata prof dalam buku tersebut. Mengerjakan umrah ataupun haji memang mengubah sempadan iman manusia. Bukan sahaja mengubah, bahkan menguji di mana tahapnya. Mengapa sedemikian? Tidak semua yang pulang dari tanah haram berubah menjadi baik serta warak. Sama seperti sebelumnya. Bahkan ada yang pulang menjadi lebih teruk dari sebelumnya, nau'zubillahi min zalik. Namun begitu, ramai yang pulang dengan hati yang lembut,wajah yang berseri-seri, hati yang penuh dengan nur hidayah Ilahi. Moga kita di dalam golongan sedemikan. Itulah hakikah sebenar ke tanah haram. Niat dan tujuan itu mengikut hati masing-masing. Niat itulah akan menghasilkan natijah kehadiran kita menjadi tetamu ilahi.
Betulkan persepsi dan minda kita sebagai hamba Allah. Pergi ke tanah haram bukanlah menyumbatkan diri atau menghumban diri ke dalam bilik gelap atau penjara-penjara yang sedia tahu azabnya. Pergi ke tanah haram adalah, keluar menuju ke tempat ibadah yang paling afdhal dan berlipat ganda ganjarannya. Diri akan terasa lebih dekat dengan-Nya. Oleh sebab itulah, tatkala berada di tanah haram penuhi masa di masjid dan beribadah lebih dari segala-galanya. Membeli-belah atau pun tidur yang berlebihan korbankanlah semampunya. Kerana bukan mudah merasa diri dekat dengan Ilahi. Beribadah disana tidak sama beribadah tatkala kembali ke tempat asal. Tidak sama sekali. Ganjarannya tidak perlu diceritakan
Ubahlah persepsi minda dan hati. Elakkan segala alasan melewatkannya dan berdoalah agar selalu dapat ke sana itulah sebaiknya. Mungkin kerana kisah-kisah benar dalam buku-buku ataupun kursus-kursus yang diceritakan membuat manusia menjadi takut. Perasaan takut itu patut wujud sebagai hamba. Namun ingatlah kasih sayang Allah mengatasi kemurkaanNya. Jika sedari diri penuh dosa, mohon ampun padaNya, mohon kemanisan ibadah kelak. Jika alasan-alasan biasa terus meniti di bibir, umpama menangguhkan taubat dan menghalang menerima hidayah yang menanti dihadapan.
Dari Abu Zar al-Ghifari r.a, Nabi s.a.w bersabda, dari yang diriwayatkan oleh tuhannya :
" .......Wahai hambaku, kalian semua dalam kesesatan melainkan sesiapa yang diberi hidayah kepadanya. Mohonlah hidayah nescaya Aku akan memberi hidayah......
........wahai hambaku, kalian melakukan dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan segala dosa. Mohonlah ampun, nescaya akan diampunkan " :: Riwayat Muslim ::
Ujian tidak nampak kaabah, sesat, sakit teruk dan pelbagai lagi kadangkala menimpa sebahagian jemaah mungkin sebagai ujian tanda Allah masih ingatkan kita. Bukti yang Allah tidak pernah melupakan perbuatan hambanya. Mungkin perit untuk dilalui. Tetapi fikirkan, jika diuji dan di azab semasa hayat masih ada, dan peluang taubat masih terbuka. Bukankah itu lebih baik, dari terima segalanya di akhirat kelak yang pastinya tiada apa lagi yang mampu dilakukan. Saya sendiri bukanlah insan suci tanpa dosa. Dosa sentiasa dimana-mana. Namun bersangka baiklah dengan tuhan, yakinlah kasihsayangNya amat dekat dengan hamba-hambanya. Semoga kita Redha dan tabah hadapi segala dugaan Ilahi agar mendapat tempat terbaik disisiNya.
Monolog dan Doa
Monolog dalam doa ini juga merupakan salah satu konsep di dalam buku Prof. Muhd Kamil. Beliau bukanlah seorang yang mampu berbahasa Arab. Oleh itu, segala doa-doanya bagai kata-kata dalam hati atau monolog dengan tuhan. Maksudnya dengan Bahasa Melayu umpama bertutur secara langsung. Bila diamat-amati dan selepas itu saya sendiri mencuba cara sedemikian walaupun punyai sedikit kemampuan memahami bahasa arab. Saya akui monolog itu satu kaedah doa yang sangat mujarab. Rasa tersentuh hati bagai mengadu kesilapan si anak pada si bapa. Terasa dekat apabila ingin memohon dan mengharap sesuatu. Pada saya, sekuat mana kemampuan bahasa arab seseorang itu, doa dengan bahasa pemahaman sendiri lebih berkesan pada diri. Kalimah-kalimah yang terbit dari bibir lebih kita fahami. Namun pokok pangkalnya yakin pada Allah ta'ala bahawa Dia berkuasa atas segalanya. Mohonlah dengan kerendahan diri. Sedari diri hamba hina disisNya.
Para nabi terdahulu juga menyampaikan risalah dakwah mereka dengan bahasa masing-masing agar lebih berkesan. Sehingga disebut dalam al-Quran mengenai hal ini. Namun, Nabi Muhammad s.a.w insan terpilih menyampaikan risalah dakwahnya dengan bahasa syurga, bahasa arab. Kewajipan kita belajar memahami bahasa arab agar dapat mendalami kalam Allah yang diturunkan kepada kita dalam Bahasa Arab. Walau apapun, kaedah dan cara seseorang mendekatkan diri pada Allah adalah dengan cara masing-masing. Usaha la apa jua cara sekalipun Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Pemurah.
Wallahu a'lam