Saturday, 11 July 2009

Ucapan Sulung


الحمد لله رب العلمين, والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين,
وعلى آله وصحبه أجمعين


Yang dihormati Dr Dzulkarnain Ahmad Iskandar Shah, mantan Presiden MPPM Jordan sesi 2008/09, para mantan pimpinan pelajar, seterusnya yang dikasihi mahasiswa mahasiswi seJordan sekalian.

Assalamualaikum wbth.

Firman Allah ta'ala :

" Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanah kepada langit,bumi dan gununga-ganang, maka semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan bodoh "

Hadirin dan hadirat sekalian,

Menyedari kepimpinan atau jawatan itu, bukanlah satu kemuliaan tetapi merupakan tangungjawab dan amanat yang perlu dilaksanakan. Oleh itu, saya dengan rendah hati, menerima jawatan ini. Semoga sesi kali ini akan bertambah baik dan para pimpinan akan cuba melakukan yang tebaik buat MPPM sesi 2009/10.

Sesungguhnya MPPM Jordan ini punyai kekuatan tersendiri. Kita mampu menyatukan pemikiran dan gerak kerja dikalangan para profesional seperti doktor-doktor perubatan serta ulama dari pengajian Islam dan Bahasa Arab. Ini menunjukkan keunikan mana-mana persatuan di jordan termasuk MPPM Jordan sendiri. Malahan setiap lawatan dan pertemuan bersama persatuan diluar, seringkali ditanya formula bagaimana kita dapat disatukan. Ini merupakan satu kelebihan kita di Jordan. Semoga kita dapat teruskan persefahamn dan keunikan ini agar MPPM akan lebih maju dan berkembang pesat.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Kita dicanangkan agar Islam itu membawa perubahan. Namun, saya memohon agar kita di bumi Jordan ini, mahasiswa Islam itu sendirilah, sama ada dari kalangan perubatan mahupun pengajian Islam, yang hadir membentuk perubahan dan menjadi ejen utama dalam perubahan yang ingin kita lakukan. Manusia itulah merupakan egen utama dalam merubah sesuatu perkara. Kerna perkara yang statik itu akan tetap begitu bentuknya. Cuma manusialah yang berusaha membentuk dan mengubahnya.

Mudah-mudahan PZ dan BKAN akan dapat terus bekerjasama seiring jalan bersama MPPM dan bersatu berpadu tenaga dengan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan dalam memajukan lagi MPPM dimata antarabangsa. Semoga kerjasama erat ini dapat diteruskan.

Hadirin sekalian,

Saya tidak berniat berucap panjang pada hari ini. Semoga kita dapat mengeratkan lagi kesatuan dalam gerak kerja dan memajukan lagi MPPM Jordan pada masa akan datang bersama pimpinan yang baru ini.

Saya akhiri ucapan dengan wassalamualaikum warahmatulllahi wabarakatuh.

Sekalung ucapan tahniah dan takziah buat pimpinan yang terpilih sesi ini :

Mohd Afiq B Adnan ( Universiti Mu'tah)
Ahmad Azrai Hj Abdullah Alawi (Universiti Al al-Bayt)
Nik abdul Hadi B Nik Abdul Aziz (Jordan University of Science & Technology), JUST

Nurul Ain Bt samsuddin (Jordan University of Science & Technology), JUST
Siti Munirah Bt. Roslan (Universiti Al al-bayt)
Izzatul Nadiah Bt Zolkiply (Jordan University of Science & Technology), JUST

Disediakan oleh,
Ahmad Syahrul Bin Adnan (Universiti Al al-Bayt)
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)
sesi 2009/2010

Tuesday, 23 June 2009

Monolog dan Doa



assalamualaikum...

Syukur ke atas-Nya saya dan sahabat-sahabat yang sekumpulan mengerjakan umrah telah kembali dengan selamatnya. Namun ada yang kurang sihat itu, adalah sebahagian dari ujian dan dugaan tuhan setelah diberi peluang beribadat pada-Nya dengan tubuh badan yang sihat. Saya sendiri dipertengahan minggu ditimpa sakit dibahagian kaki dan ketika di Mekah mula batuk hinggakan hilang suara. Namun, alhamdulillah ia tidak menghalang untuk mengerjakan ibadah. Bahkan redha sebagai satu ujian dan kifarah atas dosa-dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan. Moga diri sedar, bukan mudah mendampingi Yang Esa, bukan mudah ingin rasa indah hidup bersama-Nya. Ku panjatkan kesyukuran setinggi-tinggi ke atas-Nya.

Indahnya Beribadah di Tanah Haram

Perkara ini mungkin sering dirasakan kebanyakan oleh mereka yang mengerjakan umrah ataupun haji. Suasana kemeriahan bersolat berjemaah, berkejar-kejar mendapatkan saf awal atau mendapatkan saf yang dapat melihat kaabah secara dekat, tempat ibadah yang sentiasa penuh. Terasa indahnya hidup dalam Islam dengan penganutnya yang sedemikian. Perasaan dapat berada dalam Raudhah di Masjid Nabawi, solat 5 waktu di dalam masjid Baginda s.a.w terasa bagai dekat dengannya. Walaupun telah ditinggalkan Rasulullah berpuluh ribu tahun, namun kecintaan,kerinduan pasti akan terasa tatkala berada di sini.

Usahlah dikatakan hipokrit kepada yang insan yang tiba-tiba ingin sering ke masjid solat berjemaah. Kerap ingin berdoa di Raudhah. Kekal hingga ke tengah malam untuk berqiamulail. Memang jika ikhlas yang dibawa, perasaan itu akan hadir tanpa dipaksa. Keindahan dan kemeriahan suasana ibadah di tanah haram amat berbeza bagi mereka yang cuba menghayatinya. Umpama berada dalam sebuah kotak kaca, tidak mahu keluar kerana akan hilang keindahannya.


Mengubah Sempadan Iman

Sempat saya membaca buku tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim mengenai 'Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman'. Sungguh menarik isi kandungannya sehingga terbuai dek linangan airmata kerana mengenangkan indahnya kasih sayang Allah. Dekatnya diri ketika diri tiada dosa. Perjalanan ke tanah haram pastinya menggamit sesuatu yang indah dalam diri seseorang insan. Tatkala ditanya bila mahu mengerjakan haji, bila mahu mengerjakan umrah, sedangkan kewangan bukan masalah baginya. UK, Jepun,Paris bukan lagi tempat yang jarang di kunjungi. Namun ke tanah haram reaksinya berbeza.

" belum sedia lagi la.., rasa tak layak nak ke sana pun ada "

" duit memang ada, tapi masa tak mengizinkanlah. buat umrah bukan boleh kejap saja"

" boleh ke diri aku yang penuh maksiat ni jejak tanah haram tu? isy...tak beranilah, sampai seru ada lah tu "

Reaksi perlbagai yang sering didengar tatkala diajukan bila mahu ke tanah haram. Benar kata-kata prof dalam buku tersebut. Mengerjakan umrah ataupun haji memang mengubah sempadan iman manusia. Bukan sahaja mengubah, bahkan menguji di mana tahapnya. Mengapa sedemikian? Tidak semua yang pulang dari tanah haram berubah menjadi baik serta warak. Sama seperti sebelumnya. Bahkan ada yang pulang menjadi lebih teruk dari sebelumnya, nau'zubillahi min zalik. Namun begitu, ramai yang pulang dengan hati yang lembut,wajah yang berseri-seri, hati yang penuh dengan nur hidayah Ilahi. Moga kita di dalam golongan sedemikan. Itulah hakikah sebenar ke tanah haram. Niat dan tujuan itu mengikut hati masing-masing. Niat itulah akan menghasilkan natijah kehadiran kita menjadi tetamu ilahi.

Betulkan persepsi dan minda kita sebagai hamba Allah. Pergi ke tanah haram bukanlah menyumbatkan diri atau menghumban diri ke dalam bilik gelap atau penjara-penjara yang sedia tahu azabnya. Pergi ke tanah haram adalah, keluar menuju ke tempat ibadah yang paling afdhal dan berlipat ganda ganjarannya. Diri akan terasa lebih dekat dengan-Nya. Oleh sebab itulah, tatkala berada di tanah haram penuhi masa di masjid dan beribadah lebih dari segala-galanya. Membeli-belah atau pun tidur yang berlebihan korbankanlah semampunya. Kerana bukan mudah merasa diri dekat dengan Ilahi. Beribadah disana tidak sama beribadah tatkala kembali ke tempat asal. Tidak sama sekali. Ganjarannya tidak perlu diceritakan

Ubahlah persepsi minda dan hati. Elakkan segala alasan melewatkannya dan berdoalah agar selalu dapat ke sana itulah sebaiknya. Mungkin kerana kisah-kisah benar dalam buku-buku ataupun kursus-kursus yang diceritakan membuat manusia menjadi takut. Perasaan takut itu patut wujud sebagai hamba. Namun ingatlah kasih sayang Allah mengatasi kemurkaanNya. Jika sedari diri penuh dosa, mohon ampun padaNya, mohon kemanisan ibadah kelak. Jika alasan-alasan biasa terus meniti di bibir, umpama menangguhkan taubat dan menghalang menerima hidayah yang menanti dihadapan.

Dari Abu Zar al-Ghifari r.a, Nabi s.a.w bersabda, dari yang diriwayatkan oleh tuhannya :

" .......Wahai hambaku, kalian semua dalam kesesatan melainkan sesiapa yang diberi hidayah kepadanya. Mohonlah hidayah nescaya Aku akan memberi hidayah......
........wahai hambaku, kalian melakukan dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan segala dosa. Mohonlah ampun, nescaya akan diampunkan " :: Riwayat Muslim ::

Ujian tidak nampak kaabah, sesat, sakit teruk dan pelbagai lagi kadangkala menimpa sebahagian jemaah mungkin sebagai ujian tanda Allah masih ingatkan kita. Bukti yang Allah tidak pernah melupakan perbuatan hambanya. Mungkin perit untuk dilalui. Tetapi fikirkan, jika diuji dan di azab semasa hayat masih ada, dan peluang taubat masih terbuka. Bukankah itu lebih baik, dari terima segalanya di akhirat kelak yang pastinya tiada apa lagi yang mampu dilakukan. Saya sendiri bukanlah insan suci tanpa dosa. Dosa sentiasa dimana-mana. Namun bersangka baiklah dengan tuhan, yakinlah kasihsayangNya amat dekat dengan hamba-hambanya. Semoga kita Redha dan tabah hadapi segala dugaan Ilahi agar mendapat tempat terbaik disisiNya.



Monolog dan Doa

Monolog dalam doa ini juga merupakan salah satu konsep di dalam buku Prof. Muhd Kamil. Beliau bukanlah seorang yang mampu berbahasa Arab. Oleh itu, segala doa-doanya bagai kata-kata dalam hati atau monolog dengan tuhan. Maksudnya dengan Bahasa Melayu umpama bertutur secara langsung. Bila diamat-amati dan selepas itu saya sendiri mencuba cara sedemikian walaupun punyai sedikit kemampuan memahami bahasa arab. Saya akui monolog itu satu kaedah doa yang sangat mujarab. Rasa tersentuh hati bagai mengadu kesilapan si anak pada si bapa. Terasa dekat apabila ingin memohon dan mengharap sesuatu. Pada saya, sekuat mana kemampuan bahasa arab seseorang itu, doa dengan bahasa pemahaman sendiri lebih berkesan pada diri. Kalimah-kalimah yang terbit dari bibir lebih kita fahami. Namun pokok pangkalnya yakin pada Allah ta'ala bahawa Dia berkuasa atas segalanya. Mohonlah dengan kerendahan diri. Sedari diri hamba hina disisNya.

Para nabi terdahulu juga menyampaikan risalah dakwah mereka dengan bahasa masing-masing agar lebih berkesan. Sehingga disebut dalam al-Quran mengenai hal ini. Namun, Nabi Muhammad s.a.w insan terpilih menyampaikan risalah dakwahnya dengan bahasa syurga, bahasa arab. Kewajipan kita belajar memahami bahasa arab agar dapat mendalami kalam Allah yang diturunkan kepada kita dalam Bahasa Arab. Walau apapun, kaedah dan cara seseorang mendekatkan diri pada Allah adalah dengan cara masing-masing. Usaha la apa jua cara sekalipun Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Pemurah.

Wallahu a'lam




Sunday, 7 June 2009

Terimalah Tetamu Ini


Salam pertemuan kesekilan kalinya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Muhammad s.a.w. Syukur ke hadrat Ilahi, dengan segala kekauatan yang diberi, imtihan telah pun saya tamatkan dengan penuh kegagahan. Cuma masa yang terluang kini, kurang menggagahkan saya untuk menulis di sini. Namun, selagi ada manfaat akan cuba saya kongsikan di sini buat pembaca.



Tetamu Tak Diduga


" dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah "
(al-Baqarah :196)


Pada bulan ini, jika tiada halangan, 10hb ini saya akan mengerjakan umrah. Mudah-mudahan niat menjadi tetamu Allah kali ini tercapai selepas beberapa tahun lalu mengerjakan umrah sebelum ini. Namun, ini merupakan kali pertama mengerjakan umrah bersama sahabat-sahabat dan bertolak dari Jordan dengan menaiki bas. Seb
elum ini tidak berpeluang saya mengikutinya kerana belanjawan yang tidak menentu. Kali ini, alhamdulillah jalan ke sana agak terbuka. Jika niat asalnya juga ada sahabat dari Malaysia yang ingin datang ke Jordan, dek kerana perancangan dan janji yang agak lama, saya simpankan dahulu keinginan mengerjakan umrah. Pernah sekali terpandang di kaca televisyen suasana Mekah dan Madinah. Tiba-tiba hati bagai tersentuh mungkin dek kerana terasa rindunya ingin ke tanah haram. Tidak sedikit pun saya menyangkal kata-kata,

" kalau dah pernah pegi mekah dan madinah...mesti rasa nak pergi lagi ! "

Inilah kata-kata suatu masa dulu saya dengar dari makcik,pakcik serta sahabat yang telah sampai lebih awal. Ditakdirkan dapat juga saya mengerjakan umrah bersama keluarga pada tahun 2007 yang lalu. Mungkin kerna kali pertama itulah membuat hati sebak melihat rakaman televisyen tersebut.

Tanpa diduga setelah bertanya kepada sahabat yang merancang ingin ke Jordan, mereka terpaksa menangguhkannya kali ini kerana kursus ya
ng tidak dapat dielakkan. Tidak berfikir panjang, terus saya berjumpa sahabat yang menguruskan hal umrah kali ini. Saya mahu jadikan apa yang terpancar di kaca tv tadi satu kenyataan di depan mata. Syukur kerana penyertaan saya masih diterima. Allah sahaja yang tahu perasaan ketika ini. Terimalah diriku ini menjadi tetamu 2 tanah haram-Mu ya Allah...

Sandal Yang Menyusahkan

Ada kisah sebaliknya. Apa yang ingin saya ungkapkan, peliharalah kata-kata dan batasan bicara ketika berada disana. Bukan sekadar siang, bak kata orang cakap siang pandang-pandang, tetapi setiap masa dan setiap tutur kata yang terbit dari dua bibir ini. Kerna Allah itu tidak pernah leka dan tidur dari mendengar percakapan kita. Hal ini sedia maklum buat bakal mengerjakan umrah serta mereka yang sudahpun melaksanakannya. Seringkali dipesan agar mulutnya tidak berkata celupar, jangan dirungut-rungutkan kesusahan yang
datang, jangan di hebah-hebah kesenangan yang tiba. Terimalah segalanya sebagai ujian dan ketentuan Ilahi buat kita di sana.

Kisahnya ketika kali pertama saya mengrjakan umrah. Saat-saat terakhir sebelum menegerjakan tawaf wida'. Selepas segala barang siap dikemas dan dibawa turun ke lobi hotel. Telah kemas semuanya tiba di bawah sepasang selipar tidak mampu lagi dimuatkan pada beg.

" kenapa selipar tu pegang kat tangan lagi? tetinggal nanti ! " ujar mak saya ketika itu.

" entah la, dah tak tau nak letak mane. tak muat
dah. susah la nak masukkan balik. nanti la lepas tawaf tgk kot boleh sumbat lagi "

balas saya waktu itu agak serabut tidak tahu mana hendak disumbat sandal itu. Dan panas hati akibat terlupa hendak memasukkanya. Nak ditinggal sayang, masih baik dan selesa dipakai.

Dan kami tinggalkan barang di lobi untuk mengerjakan tawaf wida'. Saya menggunakan sandal tersebut untuk ke sana. Kerana agak sukar berjalan ke masjid menggunakan kasut. Saya ingat, sandal diletakkan pada rak paling senang di ingati tempatnya. Hampir dua, tiga kali juga untuk pastikan tempatnya. Dengan yakin, saya pasti selamat di tempat itu.

Selesai mengerjakan tawaf, mula terasa pelik. Ahli lain sudah mula bergerak ke hotel, saya masih mundar-mandir di rak mencari sandal. Hampir 4,5 kali berpatah balik, kalau-kalau saya tersalah pintu atau salah kiraan. Tidak ! itulah tempatnya. Makanya waktu itu, kembali ke hotel 'berkaki ayam'.

" pesal ko balik x pakai ape-ape nih? bukan ko pkai sandal ke tadi ? sedekah ker ? " perli kakak saya yang memang sengaja buat bertanya.

" entah, tadi ingat dah rak tu. bila keluar tak ada
pulak kat situ. penat dah nak cari. xper la..." ujar saya agak kesal ketika itu hilang juga akhirnya sandal tersebut.

"itulah, tadi merungut, xde tempat la, susah nak simpan la, salah awak jugak yang lupe masukkan. kan Allah bagi ilang terus. x payah simpan-simpan" tiba-tiba abah bersuara.

Waktu itu, sedap hati kerana tidak perlu fikirkan kemas beg semula pun ada. Tapi gerun pun ada. Dalam hati, benarlah jangan mulut berkata sembarangan di tanah haram ni. Bila terjadi pada diri sendiri, baru sedar kuasa Ilahi. Hampir b
alik sempat terkena penangan.

Saya tidak reka cerita ini, memang kisah selipar hilang hari terakhir di Mekah tidak akan saya lupakan. Memang sebelum itu agak berjaga-jaga tutur kata segala. Maklumlah, kali pertama sampai. Kuat ingat pantang larangnya. Tetapi agaknya serabut saat terakhir tu membuatkan saya lupa yang kaki masih berpijak di bumi yang sama. Maka terimalah akibatnya. Dalam hati bersyukur kerana berpeluang merasa sebegitu dan dapat pengajaran dari apa yang berlaku. Hingga kini saya tidak pernah lupakannya.



Hidup Sebagai Tetamu

Dari ibnu Umar berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

" Jadilah kamu di dunia bagai orang asing ataupun pengembara jalanan "

Biarpun merasa kehadiran ke tanah haram itu, bagaikan seorang tetamu yang dijemput Allah. Sebagai manusia nilainya tetap asing didunia. Agar sentiasa ingat dan sedar ingin kembali ke pengkalan atau penghujung perjalanan. sentiasa bersiap-sedia hadapi segala dugaan dan cabaran. Sentiasa sedar yang dirinya tidak akan kekal disitu.

Doakan saya dan sahabat2 selamat pergi dan pulang serta lain daripada biasa...




Sunday, 31 May 2009

::. Imtihan Mode .::


Assalamualaikum...

Pada waktu ini, segala aktiviti terpaksa dikurangkan untuk berikan tumpuan pada imtihan nihaie (final exam) bagi semester ini. Jadual peperiksaan yang agak padat membuatkan masa yang ada bagi saya amat-amat berharga kerana waktu peperiksaan untuk sem ini terlalu dekat. Jadi persiapan rapi dan lebih awal amat penting agar tidak terumbang- ambing hampir hari peperiksaan. Segala aktiviti menulis dan bergambar akan kembali selepas imtihan...


Jadual imtihan nihaie semester ini :-

30/5 : Takhrij hadith wa ilmu rijal

2/6 : Thaqafah Islamiyah
: Asalib bayan fi Quran wa Sunnah

3/6 : Ilmu usul feqh
: hadith

tamat.....


Semoga mendapat doa dari pengunjung sekalian buat saya dan sahabt-sahabat yang sedang menempuh peperiksaan. Moga Allah berikan kita kekuatan dan ditabahkan hati. Kita masih ada masa.... all da best!

Friday, 29 May 2009

Amazing of Wadi al-Mujib, Jordan

Amazing journey to Wadi al-Mujib. Tiada kata lain yang terucap melihat keindhan alam..Maha Suci Allah, pemilik sekalian alam.. Jika anda sukakan cabaran, silalah ke sana..


Inilah 'check point' terakhir setelah menempuh segala halangan dan kesukaran. Ada juga air terjun di jordan ni. Dapat juga lepaskan kerinduan jeram-jeram di Malaysia..
Bermula dari sini, kamera terpaksa dibungkus dengan rapi. Kerana 'check point' seterusnya membuatkan kami basah dan tenggelam. Jadi, gambar tidak dapat di rakamkan sepanjang perjalanan yang mencabar itu. 



Jika ingin menonton sedikit rakaman video boleh la singgah ke blog ahnaf




Friday, 15 May 2009

Review : Filem Alternatif

assalamualaikum....

Baru-baru ini kebanyakan penerbit filem Indonesia mula menerbitkan filem-filem berunsurkan Islam dan penerapan nilai dakwah didalamnya. Saya sendiri tidak ketinggalan menontonnya, dengan kemudahan dunia tanpa sempadan, segalanya berada di hujung jari. Namun saya amat tertarik malahan, teruja untuk menontonnya memandangkan konsep dan jalan cerita yang cuba dibawa amat berbeza berbanding lambakan filem-filem negara kita, Malaysia.

Jadi, cuba kita renung dan fikirkan nilai cerita dan kisah yang ingin dibawakan pengarah filemkan ini. Dua filem yang dapat saya tonton adalah "Sang Murabbi" dan "Kun Fayakun". Kedua-dua filem ini amat ringan dan mudah jalan ceritanya. Namun, impak dan mesej yang ingin disampaikan amat tepat dan sampai kepada penonton jika mengahayatinya.

Bait kata-kata dan skrip yang ringkas serta mudah difahami membuatkan penonton filem-filem ini tidak merasa terbeban fikiran menontonnya.



Perjalanan Hidup Seorang Perintis Dakwah

Filem ini bukanlah filem panjang seperti filem biasa. Ia hanya bagai biografi seorang perintis dakwah Islamiah di Indonesia. Itulah yang ingin dipaparkan dalam filem "Sang Murabbi, mencari spirit yang hilang". Berkisarkan riwayat hidup ustaz Rahmat Abdullah yang merupakan perintis tarbiyah Islamiah dan parti keadilan di Indonesia.

Jalan hidupnya bukan satu jalan indah untuk dicerekakan. Namun kegigihan dan ketabahannya demi  melihat anak muda dan masyarakat bersatu di bawah nama Islam dan nilai-nilai hidup Islam diamalkan. Sisa hidupnya dihabiskan dengan berdakwah dalam perbagai ruang dalam masyarakat.

" Ustaz, saya tak dapat ikut ke Mesir, walaupun sudah disiapkan segala dokumennya"

"Medan dakwah itu luas.Wajib untuk kita menyiram tanah-tanah yang tandus. Menyemai benih-benih unggul, agar tumbuh pohon kejayaan Islam. Dakwah ini terus mengalir menuju redha Allah. Janganlah bersedih. Dimana kita berada, disitulah dakwah disebarkan "

Dalam filem ini juga menerapkan nilai-nilai Islam yang syumul serta menjaga hak-hak muslim dalam kehidupan. Nilai-nilai kesedaran diri juga penuh diterapkan dalam filem ini. Namun, singkatnya kisah hidup beliau membuatkan saya sendiri hampir 3 kali menontonnya. Terasa tidak puas kerana tatkala berkobar-kobar dibakar semangat, beliau dijemput mengadap Allah s.w.t. Agaknya, itu jugalah perasaan anak-anak murid beliau yang penuh di rumahnya solat dan mengiringi jenazah beliau dengan susasana yang cukup pilu. Biarpun dalam usia yang tidak berapa tua beliau meninggal dunia, namun pasti beliau mampu berbangga dengan produk tarbiyahnya dan perjalanan dakwahnya yang hampir berada dipuncak. Semoga Allah memberkati hidupnya serta ditempatkan dikalangan ahli syurga disisi Allah.


 

Bersangka Baik dan Yakin Pada Allah

Filem ini saya terbaca mengenainya di blog seorang sahabat. Lantas, tanpa membuang masa, saya minta jika ada simpanan padanya. Nasib yang agak baik, kebetulan pada hujung minggu tersebut ada sahabat yanga akan datang ke Mafraq. Jadi, tidak lamalah masa yang terpaksa ditunggu untuk menonton fiem ini. Kun fayakun yang dipetik dari surah Yaasin bermaksud, tatkala Allah katakan jadi, maka jadilah! Menggambarkan kebesaran dan kuasa Allah itu meliputi segalanya.

Jalan cerita yang menarik dan ringkas. Cuma di pertengahan imbasan semula atau 'flashback' filem ini agak mengelirukan. Namun, tidaklah mencacatkan perjalanan dan mesej cerita yang ingin disampaikan. Ringkas dan padat !

Kisah sebuah keluarga penjual bingkai gambar dan cermin. Si bapa hanya pasrah atas segala rezeki yang diberi Allah padanya. Mendidik keluarganya biarlah bersusah sedikit dari mengamalkan sikap meminta-minta pada orang lain. Konflik yang dipaparkan bukan mudah mendidik anak-anak dan isteri agak punyai rasa yang sama dalam menguatkan keyakinan pada Allah. Kesenangan yang kadangkala merupakan ujian, disangka nikmat yang berpanjangan. Namun, tatkala datang ujian segala kesalahan disangka balasan buruk kerana tiada sifat Rahman dari Allah.

Firman Allah Ta'ala :

" Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh dan kikir. Apabila ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan ia amat kikir " (al-Maarij :19,20,21)

Sedikit sebanyak perkara yang ingin diketengahkan dalam filem ini mengenai redha dan syukur atas segala pemberian tuhan dalam bentuk yang baik mahupun tidak. Ini juga merupakan salah satu sifat Rububiyyah dalam aqidah, supaya sentiasa bersangka baik dengan segala ujian dan dugaan yang Allah berikan. Bukanlah satu perkara mudah yang ingin dilaksanakan. Garapan yang dibawa dalam filem ini benar-benar menginsafkan dan tepat dengan keadaan masyarakat kita sekarang.

" astaghfirullah...astaghfirullah al azim...bapa hampir menguji Allah bu! Kepercayaan bapa hampir hilang bahawa pertolongan Allah akan datang. Jujur sahaja, walaupun mulut bapa tidak mengatakan, tetapi hati kecil menyaksikan Allah memerhatikan kita"

Kufur dan nifaq yang tidak disedari wujud dalam masyarakat masa kini tatkala semakin jauh dari tuhan. Walaupun tidak terucap di mulut, jika terlintas dihati, maka kufur itu tetap berlaku. Perkara sebegini perlu di titik beratkan dalam soal iman masyarakat masa kini. Kerana tanpa disedari syahadah kita telah terbatal kerana kekufuran. Oleh sebab itu, adanya ucapan 2 kalimah syahadah setiap kali solat. Agar iman dapat diperbaharui.

Yang agak menarik juga dalam filem ini, penerapan nilai kasih sayang serta mendidik anak-anak mengenal Allah dan mempercayai segalanya datang dari Allah. Mengajak anak bersolat dan berdoa mohon agar sentiasa mendapat bantuan Allah. Indah sungguh jika penerapan nilai tersebut wujud dalam setiap keluarga Islam hari ini. Menariknya plot ini berlaku di meja makan. Antara kebiasaan yang mula hilang dalam masyarakat kita, makan bersama keluarga. Plot ini membuktikan, meja makan juga mampu dijadikan medan nasihat dan merapatkan hubungan keluarga sebenarnya. 

" Pekerjaan itu bukan penyebab kerana susah seperti ini. dulu saja kita bisa simpan wang. kita boleh lebih baik daripada ini jika kita tingkatkan ikhtiar kita.."

"apa yang mahu ditingkatkan? bukan bapak sudah bekerja keras. jual kaca dari pagi sampai sore. Bapak mahu jual malam-malam?

" bukan bapak saja ikhtiar sendiri,tapi semua kena sama-sama tolong untuk mengubah nasib kita. Ikhtiar siang dan malam! "

" mahu iwan sama anang kerja juga?"

" isy, ikhtiar... untuk dekatkan diri kepada Allah agar diturunkan rezeki. Kita harus hidupkan malam, solat jemaah, solat dhuha dan solat sunat yang lain. Orang sekeliling kita semua susah, tiada tempat meminjam dan meminta selain Allah!

Walaupun pelakon dan watak dalam filem ini agak ringan, namun hasil pembawakan yang bersahaja mampu menghidupkan cerita ini yang nampak ringkas kisahnya. Semoga pengajaran yang ingin disampaikan dapat sedikit sebanyak mendidik jiwa dengan hiburan alternatif sebegini. Kini, saya masih menanti. Setelah semakin banyak drama-drama ilmiah ini mendapat sambutan di Malaysia, bila pula akan masuk ke layar perak.

Selamat bersantai dan mendidik jiwa !





Wednesday, 6 May 2009

Ada Apa Dengan Bahasa

Assalamualaikum...

Lama sungguh rasa tidak menjengah ke blog ni. Alhamdulillah, imtihan thani (pertengahan sem) baru sahaja selesai. Masih berbaki beberapa minggu untuk berjuang habis-habisan di imtihan nihaie nanti. Semoga kita semua tetap dalam perjuangan menuntut ilmu ini.

Sejak beberapa bulan lalu, kita dihebohkan dengan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI). Hingga kini masih belum ditemui jalan penyelesaiannya. Semalam, sempat juga saya membelek laman web Malaysia Kini yang terpampang berita Sasterawan yang menolak tindakan ini. Namun saya bukanlah ingin mengulas kenyataan mereka. Tetapi sama-sama kita fikirkan kepentingan bahasa ibunda yang turun temurun diamalkan sejak zaman nenek moyang kita lagi.

Nilai Yang Tersembunyi

Fasal yang kedua tahun ini saya mengambil satu subjek Asalib Bayan. Subjek ini, mengkaji secara mendalam uslub serta kaedah-kaedah yang digunakan dalam keindahan bahasa al-Quran dan hadith serta secara umumnya bahasa arab itu sendiri.
Tidak dinafikan kekayaan bahasa arab itu memang tiada bandingannya. Sehingga tatkala mempelajari uslub dalam sesuatu ayat yang sebelum ini berkali-kali membacanya. Tidak sangka terlalu banyak perkara yang tersembunyi dan maksud tersirat disebalik pengunaannya. Sungguh menakjubkan! 

Persoalannya, saya sendiri berada di negara Arab yang mereka berbahasa Arab seharian. Namun situasi mereka sama seperti kita di Malaysia. Bahasa Arab juga ada aminya atau bahasa pasarnya yang digunakan seharian. Namun pabila ditanya mengenai bahasa Arab fasohah atau memperkatakan keindahan bahasa Arab, mereka sendiri tidak sedar keindahannya. Wujud sebahagiannya yang sedar dan tahu kekayaan bahasa mereka ini. Namun terlalu ramai yang tidak menyedarinya. Sehinggakan ada sahabat-sahabat di negara timur tengah yang lain, dikutuk atau dipermainkan tatkala menggunakan bahasa Arab yang betul. Mujurlah kami di Jordan ini bahasa aminya tidaklah terlalu jauh dengan fasohah. Salah satu sebab sebenarnya, Jordan menjadi pilihan saya untuk melanjutkan pelajaran.

Memikirkan hal ini, terdetik mungkin keadaan ini juga yang berlaku di Malaysia. Para Sasterawan, Ilmuan di Malaysia bertegas agar tidak di gugurkan penggunaan Bahasa Melayu. Mengapa? Mereka mengkaji,mereka memelihara dan mereka tahu keistimewaan Bahasa Melayu ini berbanding bahasa lain. 
Saya sendiri akui mungkin kurang atau miskinnya bahasa kita, sehingga kadangkala terpaksa diceduk dan mengggunakan bahasa lain untuk dimelayukan. Apabila mempelajari Bahasa Arab yang merupakan bahasa rasmi dalam al-Quran, terasa kurangnya bahasa  kita. Sehinggakan kadangkala  tiada perkataan yang sesuai untuk diterjemahkan secara tepat. Namun saya percaya bahawa, sesuatu di muka bumi ini pasti ada pro dan kontra. Jadi, Sesuatu yang hendak dipertahankan itu, pasti ada kelebihannya berbanding yang lain. Serahkan pada yang pakar, bertanya kepada mereka yang ahli. 

Pelihara Sebelum Pupus

Oleh itu, janganlah bahasa yang sempit dan kecil ini dipinggirkan. Malah, janganlah disisihkan. Jika disorot kembali, bagaimana ilmuan zaman dahulu yang bertungkus- lumus mencari dan mengusahakan Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam Malaysia. Dalam pengetahuan saya sendiri, Bahasa Melayu bukanlah asalnya Bahasa Melayu. Bukankah susah untuk mendapatkannya? Hargailah pejuang bahasa yang ingin menegakkan "Bahasa Jiwa Bangsa". Hilanglah bahasa hilanglah jiwa hancurlah bangsa.

Saya kagum sebahagian bangsa arab yang bangga menggunakan bahasa mereka dan dan tidak segan silu mengajarkannya kepada bangsa asing seperti kami. Malah, mereka dengan penuh yakin mengatakan bahasa mereka kaya, bahasa mereka indah, bahasa mereka tinggi nilainya. Alangkah baiknya jika rakyat Malaysia sedemikian. Tidak perlulah papan-papan tanda, operator di KLIA menggunakan pelbagai bahasa. Di Jepun contohnya, kita tidak pula mengatakan mereka tidak meraikan pelancong, tidak membantu pelancong berjalan tatkala hanya bahasa mereka digunakan. Namun apa yang berlaku, kita usaha bertanya, mempelajarinya dan menjadi seronok bila mempelajari bahasa yang baru. Bukankah pelancong asing ke Malaysia berperasaan sedemikian? Saya tabik pada iklan satu syarikat yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai promosi kepada pelancong..

"nasi lemak satu bungkus"

"teh tarik satu"

Lebih kurang begitulah bunyinya yang saya sendiri hampir lupa iklan tersebut secara tepat. Namun, jika saya sebagai pelancong, pasti akan cuba menyebutnya dan ia menjadikan sesuatu yang menarik perhatian. Tidak ada celanya iklan menggunakan Bahasa Melayu malahan tampak lebih mesra kepada pelancong.

Di tempat kami belajar sendiri terdapat pensyarah-pensyarah lepasan universiti di Malaysia dan mereka fasih berbahasa Melayu! Tidak segan silu untuk berbahasa melayu walaupun bunyinya agak kekok namun, mungkin baginya itu yang membuatkan kami lebih mesra. Bangga rasanya beliau mampu berbahasa melayu. Kerana lidah arab agak sukar melafazkan perkataan Bahasa Melayu kerana agak ringan berbanding Bahasa Arab. Tetapi, beliau fasih melafazkannya. Fikirkanlah, apalah gunanya bangsa lain yang menghargai bahasa kita, tetapi kita sendiri menghapuskannya.

Hargailah Bahasa Kita


"Can u speak english?"
"yes...of course"
"good"
"lakin, afdhal natakallam billughah Arabiah"
"lughatul Quran,lughatul Jannah, wa anta allimni"

Seringkali pelajar-pelajar arab hadir dan kadangkala ingin berbahasa Inggeris, sedangkan apa yang ingin mereka katakan, mereka sendiri tidak faham. Sekadar ingin merasa seperti gah dapat berbahasa Inggeris. Bangsa kita juga kadangkala begitu. Tidak kurang juga lagaknya.

Namun, jika matlamat yang ingin dicapai terkapai-kapai, ada baiknya perkayakan bahasa mereka. Ajak mereka berbicara dengannya dan mengajarkan kita. Begitu juga bahasa Melayu, lapangkanlah dada jika ada yang ingin mempelajarinya. Biarpun nampak lucu, mungkin di situlah timbulnya kemesraan. Ajak bangsa lain pelihara bahasa kita, pasti bahasa mereka juga terpelihara.