Monday 27 July 2009

Tanggungjawab dan Kepimpinan

assalamualaikum....

Syukur pada Allah atas segala nikmat dan iman yang dikurniakan buat kita yang bernama insan. Moga segalanya menjadi muhasabah buat kita setiap hari. Terlalu banyak yang ingin dikongsikan di blog ini, namun seringkali masa untuk duduk menulis diatasi perkara lain yang perlu diselesaikan. Hidup penuh dengan tanggungjawab baru, penuh dengan cabaran di hadapan. Moga terus diberikan kekuatan oleh Yang Maha Esa untuk melaluinya penuh sabar. Dunia kepimpinan adalah suatu pengalaman yang bukan mudah dilalui semua orang. Mereka dikalangan orang yang dipilih dan adakalanya memilih untuk menjadi pemimpin. Segalanya berkait dengan pilihan, tidada kepimpinan dalam erti kata paksaan.

Sabda nabi s.a.w :

"setiap kamu adalah pemimpin dan akan disoal tentang apa yang dipimpinnya..."

Erti Sebuah Tanggungjawab

Secara zahirnya hidup kita dilalui dengan penuh tanggungjawab. Sejak manusia dijadikan sebagai khalifah. Itulah tanggungjawab kita hingga akhir hayat. Jawatan dalam kepimpinan kehidupan seharian sebenarnya mengangkat kesedaran sebagai seorang hamba yang punyai tanggungjawab. Manusia memang sifatnya lupa dan lalai sering terlupa tanggungjawab utama kehidupan sebagai hamba. Oleh itu, apabila erti tangungjawab yang dizahirkan ia mampu membuat manusia itu lebih sedar diri. Malah, lebih cepat koreksi diri dan mula sedar akan perjalanan kehidupan yang perlu dilalui penuh tanggungjawab. Percayalah, jika pengalaman memegang jawatan itu jika dihargai dan dilalui penuh sabar, itu adalah guru kehidupan yang cukup berharga sebagai bekalan masa hadapan. Tetapi, jika ia dibiar berlalu tanpa menghargainya, kerugian yang teramat sangat buat seorang hamba di dunia mahupun di alam kekal kelak.

Melatih diri menjadi pemimpin, tambahan pula di alam pembelajaran adalah satu peringkat yang baik dalam membentuk kematangan pemikiran dalam melaksanakan sesuatu dan kemahiran membuat keputusan. Seringkali manusia gagal kerana tidak mampu melaksanakan dua perkara ini bekerja dan membuat keputusan. Justeru, apabila tanggungjawab menjadi pemimpin dilatih sejak muda, sedikit demi sedikit dapat menambah kematangan dan membuka jalan agar berfikiran lebih luas. Perkara sebegini seharusnya disambut baik oleh muda-mudi, kerana apabila sudah berumahtangga, tanggungjawab kekal itu harus dilalui dengan kreatif dan kritis memandangkan era dunia tanpa sempadan ini, tidak membataskan manusia melakukan apa sahaja. Oleh itu kematangan berfikir dan membuat keputusan perlu dilatih sejak di usia muda agar jika kesilapan dan kelemahan itu punyai masa untuk diperbaiki.


Medan Perbaiki Diri

" ana ni tak pandai bercakap depan umum la, inikan pula nak pegang jawatan"

" belajar pun tak pandai mana, macam mana nak bahagi masa nanti "

" dari dulu x pernah pegang jawatan ni, budak-budak skema jer yang nk jawatan ni "


Sememangnya bukan mudah menerima tanggungjawab. Adakalanya orang sekeliling merasakan kemampuan kita, tetapi empunya diri bagai tidak bernyawa mahu menerimanya dek kerana tahu diri tidak mampu melaksanakannya. Ada situasi di mana, orang mengharapkan tanggungjawab itu diterima kerana tiada yang lebih sesuai atau layak menggalasnya. Bagaimana? sanggupkah melihat pimpinan ataupun persatuan yang tidak tentu arah dan kerosakan bila mana tanggungjawab diberikan pada orang yang salah? Perlu terima atau harungi sahaja kemsunahan yang bakal berlaku?

Fikiran rasional dan logik akal pasti tahu jawapan sepatutnya pada soalan-soalan tadi. Dan hal yang disebutkan tadi bukanlah situasi yang mustahil berlaku di dalam kelmpok kita. Oleh itu, satu pemikiran positif perlu dibentuk bagi menghadapi situsai sebegini. Buang segala prasangka, segala cakap-cakap sipi dan perasaan yang menjangkakan itu dan ini. Fikirlah secara positif, supaya jalan menerima tanggungjawab dan amanah ini sebagai salah satu jalan perbaiki diri. Jalan meningkatkan kemampuan diri. Jalan mengikis sifat negatif. Seterusnya jalan menuju kecemerlangan diri. Apa yang anda lakukan hari ini belum tentu dapat dilakukan orang lain. Mulakan langkah sebelum terlambat dan akhirnya tiada masa menilai keupayaan diri. Percaya dan yakin pada diri bahawa lahirnya kita ke dunia adalah insan cemerlang dan berkeupayaan tinggi yang terpilih membentuk jasad manusia. Mungkin teman-teman sekeliling akan mengatakan pelbagai pandangan, tidak kurang juga yang melemahkan semangat, ingatlah mereka punya mulut dan idea tersendiri menyampaikan sesuatu. Tetapi pilihan dan keputusan itu di tangan kita.

Bantu Dan Sayangkan Sahabat Anda

Tanggungjawab dan kepimpinan ini beratnya kerana ia merupakan beban tugas tambahan dari tanggungjawab yang sedia ada. Jika dilaksanakan dengan baik, ganjarannya besar disisi Allah, malahan pemilik diri mendapat satu pengalaman hidup yang amat-amat berharga. Begitulah sebaliknya jika tanggungjawab itu tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna apatah lagi terabai dari melaksanakannya janji Allah itu pasti.

Persoalannya di sini, sanggupkah kita melihat sahabat dan teman-teman ini tergolong dalam mereka yang tidak melaksanakan tugas? Mengabaikan tanggungjawab? Sanggupkah kita melihat mereka diazab kelak kerana kita tidak membantu mereka melaksanakannya?

Kadangkala kita lupa, orang yang dikutuk,dihina, dibenci itu adalah sahabat kita. Teman seperjuangan kita. Apalah salahnya mereka jika tangungjawab yang tidak dipikul oleh kita atau ditolak oleh kita sebelumnya akhirnya ada sahabat yang memikulnya. Jika difikir hak sesama insan, kasih sayang seagama, mana mungkin kita mahu melihat mereka disiksa kerana tidak mendapat sokongan sahabat dalam melaksanakan tangungjawab. Sahabat-sahabat sekalian, bantulah mereka, sayangkan mereka agar tidak di siksa kelak. Jika hari ini kita bergelak ketawa bersama, mengapa sanggup melihat mereka disiksa kelak. Bantu gerak kerja mereka, sentiasalah memberikan sokongan dan semangat agar dapat sama-sama bergerak seiring. Jika kita aman di akhirat kelak, biarlah aman bersama-sama. Sebagaimana pernah kita bergelak ketawa di dunia.

Sedarilah tanggungjawab dan kepimpinan itu bukan tugas mudah. Sahabat dan teman diperlukan sebagai sokongan bukannya menjatuhkan. Sayangailah sahabat kita, sayangilah orang yang berusaha memimpin kita agar dapat kenikmatan dapat dirasai bersama. Moga usaha menyokong dan membantu sahabat-sahabat pimpinan ini lebih mulia dan tinggi nilainya di sisi Allah. Ya Ilahi, berikan kekuatan pada kami, tautkan hati kami di bawah naungan kasihsayang-Mu





Saturday 11 July 2009

Ucapan Sulung


الحمد لله رب العلمين, والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين,
وعلى آله وصحبه أجمعين


Yang dihormati Dr Dzulkarnain Ahmad Iskandar Shah, mantan Presiden MPPM Jordan sesi 2008/09, para mantan pimpinan pelajar, seterusnya yang dikasihi mahasiswa mahasiswi seJordan sekalian.

Assalamualaikum wbth.

Firman Allah ta'ala :

" Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanah kepada langit,bumi dan gununga-ganang, maka semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan bodoh "

Hadirin dan hadirat sekalian,

Menyedari kepimpinan atau jawatan itu, bukanlah satu kemuliaan tetapi merupakan tangungjawab dan amanat yang perlu dilaksanakan. Oleh itu, saya dengan rendah hati, menerima jawatan ini. Semoga sesi kali ini akan bertambah baik dan para pimpinan akan cuba melakukan yang tebaik buat MPPM sesi 2009/10.

Sesungguhnya MPPM Jordan ini punyai kekuatan tersendiri. Kita mampu menyatukan pemikiran dan gerak kerja dikalangan para profesional seperti doktor-doktor perubatan serta ulama dari pengajian Islam dan Bahasa Arab. Ini menunjukkan keunikan mana-mana persatuan di jordan termasuk MPPM Jordan sendiri. Malahan setiap lawatan dan pertemuan bersama persatuan diluar, seringkali ditanya formula bagaimana kita dapat disatukan. Ini merupakan satu kelebihan kita di Jordan. Semoga kita dapat teruskan persefahamn dan keunikan ini agar MPPM akan lebih maju dan berkembang pesat.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Kita dicanangkan agar Islam itu membawa perubahan. Namun, saya memohon agar kita di bumi Jordan ini, mahasiswa Islam itu sendirilah, sama ada dari kalangan perubatan mahupun pengajian Islam, yang hadir membentuk perubahan dan menjadi ejen utama dalam perubahan yang ingin kita lakukan. Manusia itulah merupakan egen utama dalam merubah sesuatu perkara. Kerna perkara yang statik itu akan tetap begitu bentuknya. Cuma manusialah yang berusaha membentuk dan mengubahnya.

Mudah-mudahan PZ dan BKAN akan dapat terus bekerjasama seiring jalan bersama MPPM dan bersatu berpadu tenaga dengan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan dalam memajukan lagi MPPM dimata antarabangsa. Semoga kerjasama erat ini dapat diteruskan.

Hadirin sekalian,

Saya tidak berniat berucap panjang pada hari ini. Semoga kita dapat mengeratkan lagi kesatuan dalam gerak kerja dan memajukan lagi MPPM Jordan pada masa akan datang bersama pimpinan yang baru ini.

Saya akhiri ucapan dengan wassalamualaikum warahmatulllahi wabarakatuh.

Sekalung ucapan tahniah dan takziah buat pimpinan yang terpilih sesi ini :

Mohd Afiq B Adnan ( Universiti Mu'tah)
Ahmad Azrai Hj Abdullah Alawi (Universiti Al al-Bayt)
Nik abdul Hadi B Nik Abdul Aziz (Jordan University of Science & Technology), JUST

Nurul Ain Bt samsuddin (Jordan University of Science & Technology), JUST
Siti Munirah Bt. Roslan (Universiti Al al-bayt)
Izzatul Nadiah Bt Zolkiply (Jordan University of Science & Technology), JUST

Disediakan oleh,
Ahmad Syahrul Bin Adnan (Universiti Al al-Bayt)
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)
sesi 2009/2010