Wednesday 30 December 2009

Salam Tahun Baru 2010


Assalamualaikum…salam tahun baru

Tanggal 2010 akan tiba tidak lama lagi. Bermakna tahun 2009 akan melabuhkan tirainya dengan seribu kisah dan kenangan. Ini juga bermakna bagi kami di Jordan ini, imtihan nihaie (final) semakin hampir. Mudah-mudahan sahabat sekalian sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sudah mula bersedia untuk mengahadapi imtihan tidak lama lagi. Biar bersiap awal, agar esok tidak ketinggalan. Kata pepatah Melayu ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Bermula tahun baru ini juga bermakna hampir separuh penggal MPPMJ bertugas bagi sesi ini. Moga-moga segala usaha kami setakat ini, dapat memberikan yang terbaik buat mahasiswa/i di Jordan. Sudah pasti terdapat kekurangan padanya. Kemaafan jua dipinta. Moga kita sama-sama dapat terus membantu dan bersama dalam membangunkan mahasiswa Islam di Jordan ini. Tanggungjawab terhadap hampir 1000 orang penuntut bukanlah suatu yang mudah untuk dilaksanakan. Namun, segalanya pasti akan menjanjikan yang terbaik sekiranya tanggungjawab terhadap tugas & amanah masing-masing disedari oleh mahasiswa sakalian. Sedarilah kita adalah agen pengubah masyarakat masa hadapan. Jadilah insan yang bertanggungjawab atas tugas besar ini.

Menuju Kematangan Mahasiswa

Saban tahun silih berganti. Penuntut IPT di luar ataupun dalam negara semakin betambah. Namun sejauh mana jumlah tersebut mampu menjamin nilai dan kualiti penuntut yang kian bertambah. Kerisauan ini juga menjalar difikiran tatkala kedatangan siswa/i baru ke Jordan sesi kali ini, menjadikan jumlah penuntut di Jordan keseluruhannya mencecah 1000 orang. Sudah pasti corak dan ragam yang pelbagai akan muncul dari sudut yang berbeza.

Pembetukan identiti dan ideologi merupakan perkara utama dalam menjamin kualiti dan nilai mahasiswa hari ini. Bermula dari bangku sekolah lagi, kecelaruan identiti dalam perkembangan usia yang kurang stabil menjadikan pelajar hari ini pelbagai ragam. Namun, apabila mencapai level sebagai seorang mahasiswa, tidak sepatutnya kecelaruan identiti itu masih wujud kerana akal sudah matang berfikir. Pemilihan dan persediaan untuk masa depan sepatutnya sudah berada di dalam genggaman. Tidak sepatutnya wujud mahasiswa yang masih tercari-cari identiti seterusnya menjadikan mahasiswa lesu dan lemah menuju kematangan. Apabila tiada kematangan berfikir, bagaimana mahu mencapai tahap mahasiswa first class? Apatahlagi mahu menjadi mahasiswa yang global.

Sedarilah bahawa kematangan dalam berfikir pasti akan membentuk mahasiswa yang cemerlang. Mampu menilai buruk baik serta berusaha mencari yang terbaik bukan sahaja buat diri sendiri tetapi untuk seluruh kelompok di sekelilingnya. Diharapkan, mahasiswa di Jordan hari ini masing-masing berusaha membetuk identiti yang terbaik seiring dengan al-Quran dan Sunnah. Berfikiran matang tatkala usia semakin meningkat sekaligus dapat menjamin susana harmoni dan menaikkan standard mahasiwa Islam timur tengah sebagai sebuah aset berharga negara, bukannya sampah yang mencacatkan pandangan masyarakat.

Persepsi Terhadap Persatuan

Mahasiswa sekalian perlu sedar bahawa persatuan merupakan salah satu agen latihan terhadap masyarakat. Kelompok kecil yang menguji dan menilai kemampuan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Persatuan juga merupakan keluarga tatkala berada jauh dari keluarga sebenar di tanah air. Inilah hakikat sebenar yang harus mahasiswa hadapi. Mana mungkin, kembali ke tanah air tidak mahu bercampur masyarakat. Mustahil juga, kembali setelah bertahun-tahun menimba ilmu hanya duduk terperap di rumah. Berpijaklah di buni yang nyata. Masyarakat dan mahasiswa tidak dapat dipisahkan.

Jika di Malaysia, mahasiswa kita saban hari berhadapan dengan senario masyarakat berbilang kaum. Kita di sini berhadapan dengan masyarakat arab yang rata-rata Islam tetapi dalam budaya yang berbeza. Namun, dalam berpersatuan wujud masyarakat kita. Di situlah wajah negara kita. Justeru, jika hari ini kita tidak mampu bersama-sama dengan persatuan, menjadi pendukung atau penyokong, bagaimana mahu menghadapi masyarakat atau komuniti Malaysia yang lebih besar? Bahkan berbilang kaum dan agama. Persatuan membantu kita belajar mengurus manusia. Persatuan juga mampu menjadikan mahasiswa semakin matang berfikir. Berpersatuan itu membawa anda dalam hidup bermasyarakat. Sedarilah mahasiswa sekalian, bagaimana anda membentuk persepsi terhadap persatuan dan penglibatan terhadap persatuan, begitulah sikap kita terhadap masyarakat tatkala kembali kelak.

Persatuan adalah sebuah keluarga kecil di perantauan. Sebagai sebuah keluarga sudah pasti saling menjaga dan mengambil berat antara satu sama lain. Hidup saling menghargai satu sama lain. Begitu hakikatnya sebuah keluarga. Mana mungkin sebuah keluarga seronok melihat perpecahan. Gembira menyaksikan kesedihan tanpa berkongsi puncaya. Islam tidak pernah wujud ajaran sebegitu. Matlamat dan asas seluruh agama di dunia berhajatkan keharmonian dan kesepakatan kerana itu yang menjamin kebahgiaan kelak. Jauh sekali wujud agama yang bermatlamatkan perpecahan. Sekali pun di ajak untuk bertukar agama, semata-mata bermatlamatkan agar bersatu di bawahnya. Contoh akhlaq yang digariskan dalm al-Quran agar kita sentisa menjaga maslahah supaya dapat mengelakkan perpecahan dan sikap mazmumah untuk keharmonian keluarga dan masyarakat.

Firman Allah s.w.t :

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), Karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menghina satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. ( al-Hujurat : 12)

Malah, Rasulullah s.a.w ada berpesan dengan ciri-ciri dan akhlaq yang baik agar kemaslahtan dan keharmonian sentiasa terjamin.

Dari Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w :

من كان يؤمن بالله واليوم الآخرفليقل خيرا أو ليصمت, ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فاليكرم جاره,

ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فاليكرم ضيفه

Riwayat Bukhari dan Muslim

Oleh itu, sekiranya persatuan sebagai sebuah keluarga seharusnya sama-sama mengaja kebaikan dan memberi jaminan antara satu sama lain. Program-program yang dijalankan perlu sama-sama diraikan atas penat lelah sebahagian ahli yang menyediakan. Dalam sebuah keluarga, siapalah yang mahu mengecewakan ahli yang lain. Ayuh hidupkan semangat ukhwah dan bersaudara dalam persatuan.

Menjana Perubahan Berterusan

Semoga dengan bermula tahun baru ini, menjadikan mahasiswa lebih bersemangat berubah ke arah yang lebih baik. Mengubah persepsi,mentaliti dan identiti yang lebih baik. Buktikan bahawa mahasiswa timur tengah sebagai sumber dan aset yang bernilai buat negara. Jadikan semangat dan sirah nabi serta para sahabat di tanah Syam ini sebagai pemangkin menjadikan kita mahasiswa yang unik dan dinamik. Tidak jumud serta fleksible dalam apa juga keadaan. Bersatu bina perubahan yang berterusan sedikit demi sedikit. Demi jiwa mahasiswa akan datang serta masyarakat yang bakal mendapat sentuhan kita kelak.

Salam Azam Baru 2010 !

AHMAD SYAHRUL ADNAN

Presiden

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan

2009/10

Thursday 17 December 2009

Salam HIjrah 1431

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah s.w.t yang menjadikan sekalian makhluk serta alam yang serba indah dari pandangan mata. Selawat dan salam buat junjungan s.a.w yang menjadi perintis penyebaran dakwah seantero dunia. Sehingga hari ini, kita dapat sama-sama menikmati nikmat Iman dan Islam. Semoga kita terus menjadi insan yang mewarisi dakwah dan menjadi agen pengislahan masyarakat Islam khususnya.

Alhamdulillah hari ini kita sama-sama meraikan tahun baru, 1 Muharram 1431 hijrah. Semoga titik permulaan tahun baru ini kita raikan dengan penuh keinsafan serta mengimbau kembali detik kegemilangan perkembangan Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan ia menjadi motivasi untuk kita sama-sama koreksi diri, menilai sejauh mana usaha kita dalam memelihara serta apakah sumbangan kita terhadap agama Allah s.w.t.

Hijrah Seribu Tahun Dahulu

Suatu ketika dahulu Rasulullah s.a.w di perintahkan Allah Ta’ala untuk berhijrah ke Madinah kerana dakwah baginda s.a.w tidak diterima di Mekah ketika itu. Penghijrahan baginda s.a.w adalah satu permulaan tapak bagi memastikan Islam dapat terus berkembang di Madinah biarpun Islam di Mekah ketika itu amat sukar untuk berkembang. Namun, perancangan Allah itu semestinya menjanjikan sesuatu yang terbaik untuk hambanya. Rasulullah s.a.w diterima, malahan kehadirannya disambut dengan meriah dengan alunan-alunan nasyid yang mengalu-alukan kedatangannya.

Hijrah nabi ketika itu tidak lain adalah kerana ingin menuju ke arah kebaikan terhadap pengembangan ajaran Islam serta mengislahkan masyarakat Islam yang kian berkembang ketika itu. Begitu cantiknya simbolik baginda terhadap penghijrahan dan permulaan untuk mengembangkan Islam, Masjid Quba telah dibina dengan dasar taqwa kepada Allah s.w.t. Masjid dijadikan pusat serta institusi pembentukan masyarakat dan sepatutnya inilah strategi yang perlu dicontohi kita ketika ini supaya masjid dijadikan pusat penyebaran ilmu dan pembentukan akhlak masyarakat.

Dari Umar ibn Khattab r.a berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :

ابما الأعمال بالنيات, وانما لاءمرئ ما نوى, فمن كانت هجرته الى الله ورسوله, فهجرته الى الله ورسوله,

ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها او امرأة ينكحها فهجرته الى ما هجر اليه

Riwayat Bukhari dan Muslim

Hadith mahsyur riwayat Umar ibn khattab ini, jelas kepada kita sebagai panduan dan pedoman dalam hijrah yang akan dilakukan. Hijrah bukan sekadar berpindah atau berubah dari suatu keadaan kepada keadaan yang lain. Tetapi apa yang dikatakan hijrah itu hendaklah ia disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan Rasul. Kepentingan niat dalam menentukan natijah hijrah yang dilalui memberi kesan kepada iman dan amal yang dilakukan. Justeru, dalam setiap perubahan dan penghijrahan matlamat serta niat perlu jelas untuk menetukan hasilnya kelak.

Hijrah Hari Ini

Umat Islam hari ini telah mencapai tahap kestabilan yang begitu memberansangkan. Islam juga terus berkembang bukan sahaja di negara-negara Islam, bahkan mula berkembang pesat di negara-negara barat hari ini. Usaha dakwah Rasulullah s.a.w dan para sahabat tetap diteruskan. Namun, perlu disedari bahawa bukanlah kiranya tiada lagi penentangan terhadap agama, maka tidak perlu apa yang dikatakan hijrah. Tetapi hendaklah sama-sama berhijrah menuju pengukuhan agama Islam. Pengukuhan diri sebagai seorang muslim yang seimbang dunia, akhirat serta pemantapan iman yang sedia ada dalam diri setiap muslim.

Kita perlu terus berhijrah, dalam erti kata usaha mengembangkan agama Islam serta dakwah yang berterusan dalam membentuk masyarakat Islam yang bersatu padu dalam pelbagai bentuk. Tanpa disedari, umat islam perlu berhijrah dalam mengislahkan diri, agama dan masyarakat amnya. Kerana, umat Islam hari ini ditarik dengan anasir-anasir luar dan elemen barat yang memerlukan kita sama-sama usaha kembali kepada ajaran islam yang sebenar. Anasir-anasir ini menyebabkan nilai-nilai Islam lenyap dalam kehidupan seorang muslim seterusnya menjadikan umat Islam sendiri semakin jauh dengan agamanya. Jika dahulu nabi berhijrah kerana mengembangkan Islam. Hari ini hijrah kita kerana kembali kepada pegangan Islam yang sebenar.

Agen Perubahan Adalah Elemen Hijrah

Sebagai mahasiswa khususnya yang berada di timur tengah, walau dalam apa juga bidang sekalipun, anda adalah pembentuk revolusi baru negara. Ilmu dan suasana yang terdapat di sini adalah berbeza dengan negara-negara barat yang lain, di mana terdapat juga kelompok pelajar Malaysia. Kita berada di negara yang melalui saat-saat pembentukan dan kegemilangan Islam. Bahasanya sendiri sudah melambangkan kemuliaan menjadikan kita lebih dekat dengan al-Quran. Ilmu-ilmu turath perlu dikuasai semampunya kerana itulah keistimewaan kita.

Ustaz dan ustazah yang profesional dari timur tengah, seharusnya meluaskan cabang pengalaman dan ilmu. Bukan sekadar mengajar disekolah-sekolah, bahkan perlu diluaskan kepada ilmu-ilmu perniagaan, tugas-tugas diplomatik dan lain-lain lagi. Negara hari ini amat memerlukan golongan-golongan seperti anda.

Para doktor khususnya yang berada di timur tengah, hendaklah mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu syariat juga, agar dapat sama-sama dikongsikan dengan rakan sejawat kelak. Rasa terpanggil untuk sama-sama mengambil kesedaran tatkala khutbah Jumaat yang pernah saya hadiri sebelum ini di sebuah hospital di Jordan, disampaikan oleh seorang pegawai biasa di hospital. Alangkah baiknya jika, para doktor timur tengah ini mampu menggantikan tempat itu serta para doktor wanita dapat berkongsi ilmu dengan mengisi tazkirah-tazkirah di hospital di negara sendiri kelak.

Akhirnya kalam, bersempena tahun baru ini, kita sama-sama memperingati diri agar tidak mensiakan usaha nabi sa.a.w mengembangkan agama Islam suatu masa dahulu. Jika kita tidak mampu menjadi pendukung, memadailah untu kita sama-sama menyokong dakwah baginda s.a.w demi agama Allah yang tercinta.

Salam Hijrah 1431

AHMAD SYAHRUL ADNAN

Presiden,

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan

2009/2010

Saturday 12 December 2009

Walau Seketika Bersamamu....


Assalamualaikum...

" apabila tiba ajal diantara kamu, tidaklah di lewatkan sesaat mahupun dicepatkan "

Mendung hari ini bagai menyaksikan satu pemergian yang mendukakan kami yang berada di Jordan. Seminggu yang lepas arwah Ust Arman B Rusoff dimasukkan ke Jospital Jordan kerana serangan stroke. Seminggu itu juga imtihan yang saya hadapi bertubi-tubi datang setiap hari. Membantutkan harapan untuk pergi melawat beliau di Amman memandangkan saya berada di Mafraq. Namun, alhamdulillah selesai menghadapi 2 peperiksaan pada hari khamis yang lalu, saya nekad jumaat ini mesti pergi melawat beliau di Amman.

Merancang bersama seorang kawan untuk sama-sama melawat beliau di hospital. Mahu mengajak yang lain masing-masing imtihan minggu hadapan baru bermula. Mujur saya cuma tinggal 1 madah untuk diselesaikan minggu hadapan. Akhirnya kami hanya berdua menuju ke Amman melawat Ust Arman. Dalam perjalanan tiba-tiba datang panggilan dari seorang sahabat.

" ana baru call ust sulaiman. dia bagitau ust Arman dah takda "

" Innalillah....terima kasih la inform, ana pun on the way ke hospital. apa2 berita ana maklum lg nnti "

Tersentak seketika bercampur sebak. Baru hari ini berniat mahu menziarah menjenguk keadaan, kedatangan kami hanya akan disambut dengan jasad yang tidak bernyawa. Setibanya di hospital kami berdua terus masuk menuju ke icu di bilik beliau. Sayu melihat kedaanya yang dikelilingi mesin perubatan serta tubuhnya yang tidak seperti sebelum ini. Mungkin kerana penangan ubat yang berjalan dalam tubuhnya. Isteri beliau meminta kami membacakan surah Yasin. Nabi s.a.w sendiri ada bersabda bacakan yasin pada jenazah yang sedang nazak. Kami terus membacakannya dalam hati berbisik mengapa diberitakan sudah meninggal sedangkan jantung masih berdenyut. Selesai membacakan surah Yasin dan berdoa untuk beliau, saya bertanya kepada dato' duta yang sejak awal pagi berada disitu. Katanya, sejak semalam Ust Arman disahkan doktor 'brain death'. Memang tidak silap sangkaan kami yang jantungnya memang benar-benar masih berdenyut. Secara klinikalnya sekiranya otak sudah tidak berfungsi agak sukar untuk terus hidup, dan peluangnya terlalu tipis. Kes sebegini memang agak konteversi dalam dunia kedoktoran, terang timbalan saya yang mengambil jurusan kedoktoran. Keputusannya hari itu, beliau tidak dapat diuruskan seluruhnya kerana hari Jumaat pakar yang terlibat bercuti. Jadi, akhirnya harapan kami menanti hari esok.

Tanggal 12/12

Seawal pagi sebelum bertolak ke Amman untuk mendapatkan keputusan hospital Ust Sulaiman, Pengarah MSD kami membuat panggilan..

" Jenazah Ust Arman akan dibawa ke rumah ana dan akan solat jam 12. Semua urusan hospital dh selesai. enta terus ke rumah la ya, tak perlu ke hospital lagi. Sampaikan pada pelajar lain supaya dapat sama-sama bersolat tgh hari ini "

Mendung pagi terasa sayu menyaksikan pemergian seorang pegawai atase pendidikan dan ahli keluarga kami di Jordan ini pergi selama-lamanya. Terbayang difikiran baru benar rasanya bersama dan bekerja dengannya. Saya sebagai seorang yang sering ke MSD dan berurusan dengan mereka mula serasi. Tambahan Ust Arman ini, gayanya agak tegas dan barangkali masih baru untuk benar-benar rapat dan mesra dengan pelajar seperti pengarah kami,ust Sulaiman. Kata pelajar yang jarang duduk berurusan dan berbual dengannya, ust ni agak tegas sikit tak macam ust sulaiman lah. Tetapi saya sering balas, cuba duduk sembang dulu dengan dia..

Namun, peluang dan pengalaman yang saya lalui mungkin agak berbeza. Beliau memang seorang yang ramah jika benar-benar masa itu terluang untuk dikongsian pelbagai perkara. Tegas dengan prinsip dan pandai juga berjenaka. Kadangkala hampir tidak jumpa titik noktah untuk hentikan perbualan. Bukan kerana jemu, tapi memikirkan jalan pulang yang jauh membuatkan lewat sampai ke rumah. Itulah ust Arman yang saya sempat kenali, tidak lokek dengan ilmu-ilmu pentadbiran beliau dan pengalaman dakwah serta ilmu Feqh yang lekat didada biarpun bertahun terjun ke bidang pentadbiran. Itu yang saya cukup respect . Kata-kata nasihat dan penggunaan hukum-hakam mengikut kesesuaian sentiasa menjadi tazkirah beliau buat kami yang sering bertemu dengannya. Ingat lagi pesan beliau

" enta nak halang sesuatu jangan sekat @ tolak terus. tetapi cari jalan alternatif untuk mengubah sesuatu biar sesuai dengan Islam. Prinsip memang kena pertahankan, tapi banyak kaedah untuk kita terus praktikan hukum-hakam,jangan disempitkan "

Sesekali duduk berbincang dan bertemu beliau, pelbagai ilmu yang kami dapat. Mungkin pengalaman ini sempat saya dan AME MPPM merasakannya ketika beliau kali pertama mengendalikan mesyuarat kami yang lalu. Mesyuarat yang ringkas dan padat serta tidak mengambil masa yang panjang. Tetapi input serta respon yang cukup efektif bagi kami. Mungkin kerana pengalaman beliau yang terlalu banyak mengikuti kursus dan memberikan kursus ketika di Malaysia menjadikan beliau seorang yang cukup tertib dalam menjalankan tugas. Kami sendiri terasa mesyuarat hari itu berlainan. Sayangnya, itulah kali terakhir beliau bersama kami dalam mesyuarat AME tahun ini. Ilmu dan nasihat beliau sentiasa dalam ingatan.


Harapan Kami

Selepas ini, Jabatan Penuntut Malaysia Jordan kembali seperti dahulu. Sebenarnya hampir separuh tahun kami menanti pengganti baru atase pendidikan yang telah tamat perkhidmatannya. Berat rasanya melihat Pengarah terpaksa memikul segala bebanan tugas sendirian tanpa pembantu. Mujur en. Azmir pegawai kewangan di MSD sering membantu. Kami sendiri mula serasi sejak Ust Arman ke MSD Jordan. Namanya mula meniti di bibir penuntut di Jordan. Tambahan beliau sendiri bekas penuntut Jordan, sekurang-kurangnya tahu juga ideologi dan sikap mahasiswa Jordan ini. Idea-idea islah yang beliau beri cukup segar.

Allah Maha Kuasa atas segalanya. Semoga penggantinya nanti seorang yang berprinsip tinggi memahami Islam seperti beliau. Sentiasa mesra bersama pelajar dan memahami situasi kami sebagai mahasiswa di timur tengah ini. Penantian kami bermula lagi hari ini. Moga Allah tentukan yang terbaik buat kami di bumi penuh barakah ini..

اللهم اغفرله ورحمه وعافه وعف عنه