Friday 27 March 2009

Belang dan Nama

"Harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama"

Peribahasa melayu yang amat biasa kita dengar disebut-sebut tatkala seseorang meninggalkan sesebuah tempat. Namun, maksudnya luas yang boleh ditafsirkan perlbagai maksud. Terdetik juga hati ingin menulis mengenai perihal ini. Semenjak 2 bulan yang lalu, semakin ramai sahabat-sahabat yang mula meninggalkan bumi mafraq, tempat kami duduk bersama hampir bertahun. Di sini jugalah terpahat segala kenangan, suka dan duka sepanjang kita bersama. Namun, bukan itu yang ingin dikongsikan disini. Cuma ingin mencari hikmah disebalik segala ketentuan Ilahi dalam setiap kehidupan bernama manusia.


Pilihan Ditangan Sendiri

Apabila melihat semula pada peribahasa melayu di atas, dikatakan manusia mati meninggalkan nama. Makna sebenar mati itu bukanlah sekadar hanya perkataan mati itu. Tetapi, jika seseorang meninggalkan sesuatu tempat kerana berhijrah atau berpindah walaupun bukan kerana mati, masih juga perkara yang sama berlaku. Mereka tetap akan dikenang, bukan? Jadi, luaskan pandangan kita kerana sebenarnya pepatah melayu, jika dilihat secara mendalam, maknanya begitu telus.

Kembali kepada persoalan tadi, apa yang seseorang itu ingin tinggalkan adalah atas pilihannya sendiri. Tiada siapa berhak memaksa dalam diri kita membuat pilihan. Jika tidak, itu dinamakan hipokrit. Kerana memutuskan sesuatu yang bukan kehendak dirinya. Begitu juga sahabat-sahabat seperjuangan yang telah pulang ke Malaysia setelah berhempas pulas belajar di perantauan. Konteks secara amnya kita menetap dalam sebuah negara yang sama, sudah tentu adakalanya bertemu rakan sebangasa melayu tatkala adanya program atau majlis besar-besaran. Diri kita akan dinilai di situ. Baik,buruk segalanya terletak pada mata penilai. Namun, jika dilihat dalam konteks yang lebih khusus, seperti rakan-rakan semantiqah@ sekawasan sudah tentu kita lebih dikenali. Lebih-lebih lagi yang serumah ataupun berjiran. Jadi, bagaimana kita ingin di kenali? Diri kita adalah bahan nilaian setiap masa dimata manusia.

Hakikatnya, ada manusia yang ingin dikenang,diingati sebagai seorang yang banyak berjasa. Wujud juga sebahagiannya yang tidak pernah ingin peduli bagaimana dirinya dimata manusia sekelilingnya iaitu rakan dan sahabatnya sendiri. Namun, mahu atau tidak bukanlah persoalannya. Perginya seseorang pasti akan menjadi ingatan dan kenangan. Langkahnya sahabat meninggalkan rakan-rakan pasti membibitkan kisah-kisah yang pelbagai. Walaupun empunya diri tidak pernah meminta diceritakan tentang dirinya.

Oleh itu, pilihan ditangan kita sendiri. Bagaimana kesudahannya setelah kita meninggalkan rakan-rakan dan sahabat hanya dengan kisah silam dan kenangan. Jika ingin dikenang dengan segala kebaikan, lakukanlah ia dengan sebaik mungkin dengan niat yang ikhlas. Tetapi, jika sebaliknya yang berlaku, itulah dunia yang suatu masa dahulu kita pernah ciptakan untuk diri kita dikenang.

Ingin Jadi Hero

Kadangkala jika bergiat aktif dalam persatuan lebih mudah dikenali atau lebih popular dikalangan rakan-rakan. Menjadi seseorang yang aktif ini adalah perkara yang baik, kerana itu adalah latihan bagaimana menghadapi situasi masyarakat di luar sana setelah kembali ke medan perjuangan sebenar. Namun acapkali kita lupa bahawa jika lebih dikenali, lebih banyak mata yang memandang, semakin tinggi juga nilaiannya. Itu yang membuatkan seringkali niat baik bergiat aktif dalam persatuan membawa padah. Akhirnya nama buruk yang terpahat dek kerana terlalu taksub mengejar nama dan pangkat. Bukan persatuan yang harus disalahkan, tetapi manusia yang diberi akal oleh Allah perlu lebih berfikir.

Rasulullah s.a.w bersabda :

" Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipersoalkan diatas apa yang telah dipimpinnya "

Ada juga sesetengah pelajar, yang tidak aktif dalam persatuan namun tetap dikenali dengan seseorang yang baik serta sentiasa memberi sokongan kepada persatuan. Dia juga mampu menjadi hero dimata rakan-rakannya. Tetapi alangkah baiknya jika kebaikan itu dapat dikongsikan dan menjadi contoh kepada seluruh rakan-rakan yang lain. Oleh itu, jadikanlah diri sebagai pemimpin yang cemerlang semoga kebaikan dalam diri ini dapat dipelihara bahkan dikongsikan bersama rakan seperjuangan yang lain agar menjadi contoh teladan.

Tidak Pedulisme

Meminjam istilah Ustaz Hasrizal yang begitu sinonim dikalangan mahsiswa kini. Tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku pada dirinya apatah lagi persekitarannya. Agak sukar untuk ditafsirkan insan sebegini kerana seolah-olah tidak menghargai dirinya sebagai makhluk ciptaan sempurna di muka bumi ini. Biarpun diri dicaci, dikeji, masih merasakan dirinya berada dilandasan yang betul. Dalam al-Quran sendiri Allah s.w.t berfirman :

"Peliharalah diri kamu dan ahli keluargmu dari api neraka"

Allah memulakan agar manusia itu menjaga dirinya dahulu sebelum ahli keluarganya yang lain. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi jika dirinya sendiri belum tentu bagaimana, apatah lagi ingin menyelamatkan yang lain. Umpama seseorang yang tidak pandai berenang, tetapi mahu menyelamatkan orang yang lemas. Khitab Allah Ta'ala meletakkan empunya diri terlebih dahulu ada kepentingannya untuk difikirkan.

Begitu juga terdapat sebahagiannya yang gemar memburuk-burukan persatuan dan hanya mencari kesilapan pimpinan yang sebenarnya sahabat mereka sendiri. Akhirnya mereka dikenali sebagai pembela yang agung. Hanya itukah yang kita inginkan dalam kehidupan dikalangan kelompok kecil. Masing-masing berlatih untuk menabur bakti kepada masyarakat. Belajar, untuk membela dan membantu masyarakat, bukannya mencucuk duri didalam daging. Umat yang semakin kucar-kacir, kita hadir menjad pemecah belah.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

" Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkata baiklah ataupun hendaklah ia diam..... "

Renungkan bersama, mengapa harus menjatuhkan air muka dan memburukan persatuan yang kita sendiri bernaung dibawahnya. Alangkah baiknya segala kekurangan dan kesilapan itu ditampung bersama. Indahnya ukhwah dalam Islam yang sentiasa memperbaiki kualiti hubungan sesama saudara Islamnya sendiri. Tidak perlu mencari kesilapan kerana ia pasti ada dimana-mana. Tetapi bantulah sahabat-sahabat kita yang mereka sendiri tidak pernah meminta menjadi pimpinan. Jika hari ini mereka dibantu dalam melaksanakan tugas, kemudian hari mungkin kita pula berada ditempat yang sama. Semoga kebaikan bersama yang dikongsikan itu menjadi manfaat dan dikenang kebaikan sepanjang hayat.

Erti Perjuangan Sebenar

Buat sahabat-sahabat yang telah tamat belajar dan kembali ke Malaysia, itulah medan juang sebenar kita. Masyarakat memerlukan bimbingan dan sokongan dari kalian. Jangan ilmu dan pengalaman yang dipelajari disimpan di dalam almari bersama kitab-kitab yang dibeli. Jadikan segala pengalaman kita disini sebagai pengajaran berharga agar kebaikan yang ada dikongsikan bersama, keburukan yang terlanjur dijadikan sempadan agar dihindarkan dari keluarga dan masyarakat. Semoga Allah sentiasa membantu dan memberkati perjuangan kita. Salam rindu buat kalian semua.

Monday 16 March 2009

Pilihlah Dia


Rasa cinta adalah satu anugerah tuhan pada hambanya
Dan kerananya manusia sanggup apa saja
Asalkan dia memiliki apa yang dicita

Kerna cinta sanggup bekorban apa saja harta dan nyawa
Setiap detik hanya memikirkan tentang si dia yang tercinta
Ingin bersama sepajang masa

Tetapi pastikah cintamu dihargai
Mungkinkah si dia kan tetap setia
Setelah kau serahkan jiwa dan ragamu
Mungkinkah kau pastikan tidakkan dihancurkan

Jika engkau mencintai bunga sedarlah engkau bunga itu akan layu
Jika engkau cintakan manusia sedarah suatu hari dia akn pergi
Jika engkau mencintai harta harta itu kau akan tinggalkan
Jika engkau cintakan ilahi hanya dia yang kekal abadi
Cintailah Ilahi...


Copyright : In-team song

Sunday 8 March 2009

Aku Cintakan Dia

Bismillah.....

Hari ini, rata-rata di seluruh negara bercuti sempena ulangtahun kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Sebenarnya, tarikh kelahiran Baginda juga khilaf dikalangan ulama' dan yang pasti ianya pada hari Isnin bersamaan Rabi'ul Awwal,tahun gajah. Namun, masa untuk mengingati Baginda bukannya bermusim, bahkan bukannya waktu cuti umum sempena maulid Nabi s.a.w. menyuburkan ingatan dan rasa kasih kita terhadap Baginda adalah setiap masa. Sepertimana Baginda sendiri tidak pernah melupakan ummatnya sehinnga di penghujung nafasnya sendiri menyebutkan "ummati,ummati,ummati" . Menyebutkan perkara ini, mungkin seluruh pelusuk dunia mengetahuinya. Tetapi adakah kita cuba merasakan kasih sayang dan rasa cintanya tatkala mengucapkan kalimah itu.


Sekadar Mengingatkan


Sambutan sebegini memang tidak dilakukan Rasulullah. Di zaman mereka baginda masih lagi wujud. Menyebarkan ajaran setiap masa. Malahan rasa cinta dan hormat mereka pada baginda masih segar. Membayangkan saat kehidupan para sahabat disisi Rasulullah alangkah indahnya suasana iman yang memekar. Ilmu yang tidak putus diterima. Malahan teguran dan gurau senda baginda bagai terbayang-bayang. Sesungguhnya diri ini bersyukur walau tidak bersua,namun masih terpilih menjadi ummatnya.

Memandangkan zaman kini yang sibuk dengan pemesatan pembangunan, manusia sibuk dengan segala hal. Tidak mustahil sirah perjuangan nabi dan para sahabat akan luput dari ingatan. Tidak ramai yang mahu bercakap mengenai perjuangan Baginda. Apatah lagi menjadi perbincangan keluarga di rumah. Cuma di masjid-masjid dan surau kadangkala ada ceramah-ceramah yang dijalankan membincangkan hal sirah Nabi s.a.w. Tetapi sejauh mana sambutannya? Tambahan pula, anak-anak muda kurang mengunjungi tempat-tempat sebegini. Pendengarnya hanya pakcik,makcik yang tidak pasti lagi dapat menyampaikannya pada anak-anak muda akan datang atau tidak.

" esok kau kerja tak? "
" eh! kerja watpe? kan esok cutilah..."
" cuti ape plak mase-mase nih "
" itulah, asik ingat bulan masihi jer. kita kan dalam rabiul awwal"
" oh yer, esok cuti maulid yer"

Sekurang-kurangnya, adanya cuti dan sambutan sempena mengingati kelahiran Baginda s.a.w, dapat juga menyuburkan kembali rasa rindu dan cinta pada Baginda. Oleh sebab ini juga Yusuf al-Qardhawi telah menyatakan bahawa sambutan sebegini diharuskan dalam Islam. Kerana umat Islam sudah semakin jauh dengan Islam dan sejarah perjuangan Baginda. Jadi kita fikirkanlah sesuatu buat mereka diluar sana yang mungkin kurangnya pendedahan terhadap perkara sebegini. Semoga dalam sambutan sebegini, dapat juga kita kembali mengingatkan diri mengenai Baginda s.a.w.

Sukarnya Menjadi Umar r.a

Di saat kewafatan Baginda s.a.w, sekalian sahabat berada dalam kesedihan yang amat sangat. Baginda meminta izin untuk berada di rumah Aisyah tatkala saat terakhir kewafatan Baginda s.a.w. Di saat subuh yang terakhir, kerana keuzuran yang teramat, Baginda meminta Abu Bakar mengimami solat ketika itu. Dari kejauhan mereka dapat melihat baginda dari balik tirai dibiliknya dan Baginda tersenyum. Mereka sangka nabi akan kembali berjemaah bersama, namun nabi kembali ke biliknya. Pada waktu itu, sahabat merasakan bahawa Baginda sudah mula sembuh dan kerisauan mereka mula reda. Namun senyuman itu menahan sakit sebenar dalam dirinya agar sahabat tidak merasakannya. Baginda tersenyum kerana merasa ummatnya mampu meneruskan ibadah walaupun tanpa dirinya. Kini Baginda sudah bersedia...

Tatkala diberitakan kewafatan Baginda. Seluruh alam sayu dan kesedihan. Perlbagai reaksi dari para sahabat mendengar bahawa Baginda telah wafat. Termasuklah yang tidak dapat menerimanya iaitu Umar r.a. Saidina Umar yang terkenal dengan kegarangannya tidak dapat menerima bahawa insan yang dicintainya telah meninggalkannya. Dia berteriak kepada sahabat di situ ketika itu..

" Baginda tidak wafat! Tetapi hanya pergi kepada Tuhannya sepertimana perginya Nabi Musa a.s. Dia hilang dari kaumnya 40 malam kemudian kembali semula. Allah akan kembalikan Rasulullah sepertimana Nabi Musa a.s.
Aku akan potong tangan dan kaki kalian sesiapa yang mengatakan Rasulullah wafat!! "


Datang Saidina Abu bakar ketika itu, bertemu Umar dan menenangkannya. Kerana keadaan marahnya teramat sangat. Lalu Beliau mengkhabarkan berita sebenar...

" Sesiapa yang menjadi hamba Muhammad s.a.w, sesungguhnya Muhammad s.a.w telah wafat. Sesiapa yang menjadi hamba Allah,Sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati... "

Firman Allah :

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan kembali ke masa dahulu (murtad) ? Barangsiapa yang kembali ke belakang, maka is tidak mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur "

Sebenarnya kemarahan Saidina Umar bukan kerana tidak mahu menerima kewafatan Nabi. Tetapi rasa cinta dan sayang pada Baginda membuatkan dia tidak mampu menerimanya. Bukan mudah untuk kita merasa dan menilai perasaan umar r.a ketika itu. Nilailah diri kita, sampaikah kita ke tahap itu untuk mencintai Nabi Muhammad s.a.w.


Buatmu Kekasih Allah

Ya Rasulullah, semoga rasa kasih dan cinta kami kepadamu kembali mekar seperti sahabatmu dahulu. Begitu besar pejuangan dan pengorbananmu buat kami. Semoga ummatmu ini akan terus usaha mengikut jejakmu dan berharap agar syafaat mu nanti menanti di sana.



Firman Allah s.w.t :

" Katakanlah : Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang "

Friday 6 March 2009

Rewind : Persidangan Mahasiswa SeJordan (PERTAMA) Ke-3

Segala puji bagi Allah, solawat dan salam buat junjungan S.A.W,seinfiniti kesyukuran kepada Allah..

Agak lama rasanya tidak mengemaskini blog ini. Kadangakala kekangan masa membuatkan idea terbantut seketika. Adakalanya idea datang mencurah, datang pula perkara lain yang lebih utama untuk selesaikan. Lumrah kehidupan, andai tidak pandai kita menguruskannya. Segalanya akan hilang tanpa memberikan manfaat buat kita. Alhamdulillah, dapat juga kali ini saya luangkan masa unutk mengisi ruang menyiapkan sedikit aritikel ini. Untuk kali ini kita sorot kembali PERTAMA kali ke 3 yang kita adakan baru-baru ini.

Penganjuran Tahun Ini

Untuk kali ini, PERTAMA diadakan di irbid. Bagi saya, penganjuran bagi tahun ini banyak pembaikan daru yang lepas. Cuma mahu dikatakan berjaya 100% itu masih berlum dapat tercapai bagi saya. Walaupun sebelum berlangsungnya program saya tidak dapat sertai AJK pelaksana secara penuh, namun dari gerak kerja yang efektif dari kalian benar-benar membantu dan membaik pulih berlangsungnya PERTAMA tahun ini. Tahniah buat yang terlibat. Ada segelintir pelajar yang cuma menzahirkan kelemahan dari melihat pembaikan yang dilakukan. Bagi saya yang telibat dalam gerak kerja kali ini, AJK benar-benar memberikan komitmen yang begitu baik demi menjanjikan penganjuran kali ini lebih baik. Semoga ianya lebih dihargai dan masa yang sama kelemahan juga tetap kami jadikan pengajaran untuk akan datang.

Mahasiswa Di mana?

Perkara ini benar amat merunsingkan pihak penganjur. Bahkan ia adalah masalah kita semua. Bayangkan program kecil persatuan pun adakalanya sukar untuk dihadiri, mungkin kerana kekerapan jadualnya. Namun, mengapa persidangan hanya setahun sekali ini masih tidak dapat memanggil roh-roh mahasiswa di Jordan ini untuk berkumpul dan berbincang. Ini adalah soal sikap dalam diri seseorang. Kebanyakan mahasiswa kini lebih mementingkan diri sendiri dari memikirkan masalah umat dan sebagainya. Oleh sebab inilah, sukarnya mahasiswa di Jordan ini untuk diglobalkan kerana kurangnya pendedahan terhadap dunia luar.

Kesan dari sikap sedemikian, apabila tamatnya pengajian dan pulang ke tanah air, mahasiswa kita lesu, takut terjun ke dalam masyarakat. Justeru akan melahirkan katak educated dibawah tempurung. Hanya berada dalam dunianya sendiri. Tidak dinafikan terlalu banyak faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya sedemikian rupa. Pokok pangkalnya, sikap kita, kepedulian kita terhadap perkara diluar sana, empunya diri perlu menyelesaikannya. Pilihan itu ditangan kalian sendiri untuk menentukannya.

Islamphobia

Tema perbincangan kali ini amat menarik untuk dibahaskan. Tatkala terlalu banyak isu berbangkit di Malaysia untuk sama-sama kita fikir dan renungkan di sini. Antara perkara yang dibincangkan adalah isu fatwa, kebebasan bersuara,terrorisme,personaliti dalam Islam. Juga terdapat forum dan dialog yang mana saya lihat banyak memberikan manfaat dan input-input yang begitu menarik. Tambahan pula, pembentang dan panel dijemput khas oleh MPPM Jordan dari pelusuk timur tengah untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan ilmu bersama mahasiswa di Jordan.

Saya fikir ini merupakan sati idea baru yang bernas agar, mahasiswa Jordan sekaligus dapat melihat sejauh mana tahap kemampuan diri mahasiswa kita, berbanding mereka yang dijemput sebahagi tetamu. Selain itu, mereka juga dapat berkongsia idea bagaimana berhadapan dengan situasi mahasiswa di tempat mereka. Perkara sebegini amat sukar kita dapati pada waktu-waktu biasa. Kerugian yang amat besar bagi saya bagi mereka yang tidak mengikuti program PERTAMA kali ini. Peluang tahun hadapan belum pasti dapat kita miliki atau tidak.

Kesimpulan

Sebagai mahasiswa maksimakan kemahiran dalam diri. Maksimakan pengetahuan dari pelbagai sudut dan binalah minda dan roh yang posotif dalam diri agar sentiasa segar dan tidak lesu dengan anasir-anasir yang melemahakn jiwa. jadikan diri kita fleksible dalam apa jua keadaan dan tenang menghadapi masalah. Moga kita dapat menongkah arus kehidupan dengan membawa nilai murni kepada masyarakat apabila kembali kelak.