Wednesday 7 October 2009

Sebuah Artikel Untuk Majalah PPMS


Cabaran Ummah Masakini, Dimanakah Persiapan Kita

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t yang masih memberikan ruang dan nafas untuk kita terus hidup di alam yang serba indah ini. Maha suci Allah yang menjadikan sekalian alam semesta. Selawat dan salam buat junjungan tercinta Rasulullah s.a.w yang sentiasa berusaha menyampaikan risalah dakwahnya sehingga hari ini kita dapat sama-sama menikmati deen Islam yang tersebar sejak dahulu berkembang hingga kini.

Terima kasih yang tidak terhingga dirakamkan buat Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) kerana sudi mengajak kami berkongsi maklumat dan ilmu untuk dimuatkan dalam majalah bumper yang akan diterbitkan kelak. Saya selaku Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) mengucapkan jutaan terima kasih atas pelawaan ini. Semoga hubungan baik serta ukhwah persatuan dua negara jiran ini akan terus berkekalan.

Dimana Kedudukan Kita

Ummah hari ini terdedah dengan pelbagai anasir-anasir luar yang sedang giat menyebarkan dakyah mereka untuk memecah - belahkan umat Islam yang sudah sedia dikucar-kacirkan ketika ini. Umat Islam hari ini juga masih banyak berbalah dan berselisih faham dalam pelbagai aspek. Jadi, anasir-anasir luar melihat perkembangan negara. Melihat perbalahan yang berlaku serta sentiasa mencari ruang mengubah kiblat ke barat yang mana kita lihat lebih membawa kepada keseronokan dan melupakan akhirat sebenarnya.

Firman Allah s.w.t :

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).

Dalam ayat Allah Ta'ala di atas seruan Allah memastikan umat Islam sentiasa bersedia dalam memerangi kejahatan, kemungkaran dan musuh-musuh Allah dengan persediaan dan kelengkapan. Malah jauh sekali diseru berpaling atau mengundurkan diri dalam menghadapi musuh setiap masa. Dalam Tafsir al- Qurtubi menyatakan kesediaan kita untuk menentang musuh itu adalah setelah dipastikan ketaqwaan terlebih dahulu. Kerana jika Allah mahu mengalahkan mereka dengan pasir sekalipun pasti akan kalah. Namun Allah mahu manusia atau Umat Islam itu berusaha mencapainya dengan kekuatan tersendiri dan ilmunya. Namun yang utama adalah taqwa kepada Allah menjadi penguat senjata dan ilmu yang dimiliki.

Justeru, kita lihat hari ini medan perjuangan kita yang pelbagai. Jika di Malaysia dengan cabarannya yang tersendiri. Manakala di luar negara tidak kira timur tengah atau sebaliknya punyai cabaran yang tersendiri di medan masing-masing. Oleh itu, bagi memastikan persediaan yang jitu dan mantap, sedari dan kenali terlebih dahulu medan di mana kita berdiri untuk memulakan persediaan dan berjuang seterusnya. Sedari bumi yang dipijak membolehkan kita sedar apakah persiapan sepatutnya yang diperlukan. Contohnya, memandang pada konsep mahasiswa di universiti, jika di Malaysia medan mereka dilihat lebih dekat dengan realiti perjuangan sebenar umat masa kini dan akan datang. Persediaan mereka menghadapi masyarakat perlu seiring dengan tindakan mengikut keadaan semasa. Lebih mencabar. Masyarakat yang berada di hadapan mereka itulah mad'u yang wajib mereka hadapi dan mereka akan berterusan berada dalam keadaan yang memerlukan kesediaan yang tinggi dan ilmu yang mantap untuk memastikan umat akan datang lebih terjamin kedudukannya. Masalah-masalah yang berlaku dihadapan mata itulah yang perlu diatasi dan diubati demi menjamin kesejahteraan ummat Islam akan datang.

Berbanding mahasiswa di luar negara. Medan belajar menjadi matlamat utama disamping perkara-perkara lain hanyalah sebagai aktiviti tambahan. Ruang membuat persediaan menghadapi realiti masyarakat di tempat sendiri dilihat lebih lapang dan luas. Namun, sayangnya acapkali kita lihat, mahasiswa di luar inilah yang kecundang dan tergelincir dari landasan yang sepatutnya. Cabaran menguruskan tajaan dan pinjaman yang bernilai besar menjadikan mahasiswa seringkali leka dan akhirnya tersasar dari matlamat sebenar. Mengawal diri dan mengurus kehidupan tanpa kawalan ibu bapa dan saudara mara terdekat di depan mata melalaikan mahasiswa kita hari ini. Mereka tidak pernah ditindas mana-mana pihak sekalipun tetapi sering terjerat kerana kelemahan sendiri. Cabaran yang berbeza apabila tidak berhadapan dengan realiti masyarakat sebenar. Sepatutnya apabila ruang yang terbuka luas dan kemudahan yang diberikan itu menjadikan mahasiswa luar negara ini lebih mantap dan peka dari pelbagai aspek. Persediaan yang jitu bagi menghadapi masyarakat di negara sendiri, di tempat sendiri kelak.

Menuntut ilmu dalam bidang masing-masing itu sudah pasti menjadi agenda utama, namun bergerak aktif dalam persatuan pelajar terutamanya di luar negara ini, mengajar mahasiswa berhadapan dengan masyarakat sendiri dalam kelompok kecil. Sebelum berdepan dengan realiti sebenar masyarakat di Malaysia. Bagaimana cabaran menguruskan persatuan dan ahli-ahlinya, demikian juga bagaimana masyarakat kelak kita akan hadapi malah ia akan lebih mencabar.

Firman Allah s.w.t :

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka Telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

Sebagai ingatan bahawa mahasiswa yang menuntut ilmu ini merupakan golongan yang Allah sebutkan sebagai utusan memperdalamkan ilmu untuk disampaikan kepada masyarakat kelak. Bukanlah kita dihantar untuk bersuka-ria dan menghabiskan pelaburan oleh negara yang sebenarnya juga duit rakyat dilaburkan demi melihat anak bangsa pulang menjadi pembela agama dan negara. Justeru, menjadi pembentuk ummah yang terbaik serta menjadi contoh dalam masyarakat.

Menuju Masa Hadapan Era 2020

Hari ini kita khuatir melihat negara-negara Islam pesat membangun tetapi dibayangi pihak lain yang berada disebalik kemajuan tersebut. Mengapa bukan umat Islam yang sendiri berusaha menaikkan tamadun negara sendiri. Ke mana perginya umat Islam jutaan ribu jumlahnya yang perlu bertanggungjawab ke atas kemajuan Negara Islam ini sepatutnya. Seperti yang terdapat di Mesir yang kita lihat, tamadun mereka berkembang suatu masa dahulu setanding dengan negara-negara maju yang lain di Eropah dan sebagainya. Namun apa yang berlaku hari ini, segala kemajuan dan pembangunan yang diusahakan dahulu dipandang sepi. Di gunakan berterusan tanpa ada pengislahan untuk menjadikan ia lebih baik.

Kita lihat negara-negara Islam yang lain, UAE contohnya, negara mereka pesat membangun dengan begitu cepat hari ini, Namun masyarakatnya dibiar sahaja tanpa ada pembentukan ciri-ciri pembangunan insan. Hanya goyang kaki melihat bangunan-bangunan tinggi naik mencakar langit. Menggunakan kuasa wang yang difikirkan mampu menjana tamadun ummah. Begitu juga di Mekah dan Madinah, kebanyakan projek-projek pembangunan negara itu bukanlah dari orang Islam yang mengusahakannya. Kita khuatir, satu hari nanti negara-negara maju ini menjadi tapak jajahan selepas pembangunan berlaku dengan jayanya.

Perlu disedari tamadun sesebuah negara itu akan maju dan berkembang dengan ilmu. Bukannya dengan binaan-binaan membanggakan negara. Tambahan pula bukan dibina oleh raknyat sendiri. Lebih mengecewakan. Malah Rasulullah pernah bersabda dalam hadith Jibril, membina binaan-binaan tinggi ini adalah sebahagian tanda-tanda qiamat. Malah, Rasulullah pernah menunjukkan contoh terbaik bagaimana membina tamadun yg seimbang. Dalam usaha memenangi peperangan membina negara, memastikan keamanan, faktor ilmu tidak pernah dilupakan pada masa yang sama. Bagaimana dalam satu peperangan, Rasulullah s.a.w meminta tawanan perang mengajar anak-anak orang Islam membaca dan menulis. Hal ini kerana baginda tidak mementingkan diri untuk menghukum dan menyiksa sewenangnya tawanan tersebut, bahkan Rasulullah s.a.w melihat anak kecil inilah akan meneruskan kesinambungan perjuangan dan pembinaan ketamadunan negara. Perkara penting tersebut adalah ilmu.

Oleh yang demikian, tidak kira negara-negara Islam dunia arab ataupun sebaliknya, faktor penting bagi ummat masakini adalah kemantapan ilmu dalam mengusai pembangunan dan pemesatan negara. Biarlah kemajuan negara itu berkembang seiring dengan pembangunan insaniah dalam sesebuah negara bagi menghadapi era dunia tanpa sempadan ini dengan panduan iman dan taqwa. Pembentukan mentaliti yang sihat dan seimbang menjadikan negara maju dengan masyarakatnya bertamadun. Bukannya negara membangun pesat, masyarakat mundur kebelakang berfikiran kolot dan ketinggalan. Kata Saidina Ali r.a :

من أراد الدنيا فعليه بالعلم, ومن أراد الآخره فعليه بالعلم , ومن أراد هما فعليه بالعلم

Perkara utama bagi umat hari ini adalah keseimbangan diantara ilmu, iman dan taqwa kepada Allah dalam persiapan mengejar dunia akan datang. Hamblum min Allah wa hablum min an-nas perlu dititikberatkan. Kita sedih jika masa akan datang negara-negara Islam maju, tetapi dijajah negara dan jiwanya. Tiada apa yang dapat dilakukan kelak. Jadikan iktibar peristiwa bumi Palestin agar sentiasa menjadi pengukur ilmu, iman dan taqwa kita dalam menghadapi era dunia tanpa sempadan hari ini. Hari ini, Allah s.w.t menguji satu negara untuk menjadi pengajaran dan iktibar untuk seluruh umat Islam yang lain. Andai terus terleka dibuai dunia, nantikan sahaja kerosakan berlaku disana - sini kerana tangan-tangan manusia.

Firman Allah s.w.t :

"Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan Karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

Di sediakan Oleh :

AHMAD SYAHRUL ADNAN

Presiden

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)

2009/2010