Wednesday 6 May 2009

Ada Apa Dengan Bahasa

Assalamualaikum...

Lama sungguh rasa tidak menjengah ke blog ni. Alhamdulillah, imtihan thani (pertengahan sem) baru sahaja selesai. Masih berbaki beberapa minggu untuk berjuang habis-habisan di imtihan nihaie nanti. Semoga kita semua tetap dalam perjuangan menuntut ilmu ini.

Sejak beberapa bulan lalu, kita dihebohkan dengan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI). Hingga kini masih belum ditemui jalan penyelesaiannya. Semalam, sempat juga saya membelek laman web Malaysia Kini yang terpampang berita Sasterawan yang menolak tindakan ini. Namun saya bukanlah ingin mengulas kenyataan mereka. Tetapi sama-sama kita fikirkan kepentingan bahasa ibunda yang turun temurun diamalkan sejak zaman nenek moyang kita lagi.

Nilai Yang Tersembunyi

Fasal yang kedua tahun ini saya mengambil satu subjek Asalib Bayan. Subjek ini, mengkaji secara mendalam uslub serta kaedah-kaedah yang digunakan dalam keindahan bahasa al-Quran dan hadith serta secara umumnya bahasa arab itu sendiri.
Tidak dinafikan kekayaan bahasa arab itu memang tiada bandingannya. Sehingga tatkala mempelajari uslub dalam sesuatu ayat yang sebelum ini berkali-kali membacanya. Tidak sangka terlalu banyak perkara yang tersembunyi dan maksud tersirat disebalik pengunaannya. Sungguh menakjubkan! 

Persoalannya, saya sendiri berada di negara Arab yang mereka berbahasa Arab seharian. Namun situasi mereka sama seperti kita di Malaysia. Bahasa Arab juga ada aminya atau bahasa pasarnya yang digunakan seharian. Namun pabila ditanya mengenai bahasa Arab fasohah atau memperkatakan keindahan bahasa Arab, mereka sendiri tidak sedar keindahannya. Wujud sebahagiannya yang sedar dan tahu kekayaan bahasa mereka ini. Namun terlalu ramai yang tidak menyedarinya. Sehinggakan ada sahabat-sahabat di negara timur tengah yang lain, dikutuk atau dipermainkan tatkala menggunakan bahasa Arab yang betul. Mujurlah kami di Jordan ini bahasa aminya tidaklah terlalu jauh dengan fasohah. Salah satu sebab sebenarnya, Jordan menjadi pilihan saya untuk melanjutkan pelajaran.

Memikirkan hal ini, terdetik mungkin keadaan ini juga yang berlaku di Malaysia. Para Sasterawan, Ilmuan di Malaysia bertegas agar tidak di gugurkan penggunaan Bahasa Melayu. Mengapa? Mereka mengkaji,mereka memelihara dan mereka tahu keistimewaan Bahasa Melayu ini berbanding bahasa lain. 
Saya sendiri akui mungkin kurang atau miskinnya bahasa kita, sehingga kadangkala terpaksa diceduk dan mengggunakan bahasa lain untuk dimelayukan. Apabila mempelajari Bahasa Arab yang merupakan bahasa rasmi dalam al-Quran, terasa kurangnya bahasa  kita. Sehinggakan kadangkala  tiada perkataan yang sesuai untuk diterjemahkan secara tepat. Namun saya percaya bahawa, sesuatu di muka bumi ini pasti ada pro dan kontra. Jadi, Sesuatu yang hendak dipertahankan itu, pasti ada kelebihannya berbanding yang lain. Serahkan pada yang pakar, bertanya kepada mereka yang ahli. 

Pelihara Sebelum Pupus

Oleh itu, janganlah bahasa yang sempit dan kecil ini dipinggirkan. Malah, janganlah disisihkan. Jika disorot kembali, bagaimana ilmuan zaman dahulu yang bertungkus- lumus mencari dan mengusahakan Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam Malaysia. Dalam pengetahuan saya sendiri, Bahasa Melayu bukanlah asalnya Bahasa Melayu. Bukankah susah untuk mendapatkannya? Hargailah pejuang bahasa yang ingin menegakkan "Bahasa Jiwa Bangsa". Hilanglah bahasa hilanglah jiwa hancurlah bangsa.

Saya kagum sebahagian bangsa arab yang bangga menggunakan bahasa mereka dan dan tidak segan silu mengajarkannya kepada bangsa asing seperti kami. Malah, mereka dengan penuh yakin mengatakan bahasa mereka kaya, bahasa mereka indah, bahasa mereka tinggi nilainya. Alangkah baiknya jika rakyat Malaysia sedemikian. Tidak perlulah papan-papan tanda, operator di KLIA menggunakan pelbagai bahasa. Di Jepun contohnya, kita tidak pula mengatakan mereka tidak meraikan pelancong, tidak membantu pelancong berjalan tatkala hanya bahasa mereka digunakan. Namun apa yang berlaku, kita usaha bertanya, mempelajarinya dan menjadi seronok bila mempelajari bahasa yang baru. Bukankah pelancong asing ke Malaysia berperasaan sedemikian? Saya tabik pada iklan satu syarikat yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai promosi kepada pelancong..

"nasi lemak satu bungkus"

"teh tarik satu"

Lebih kurang begitulah bunyinya yang saya sendiri hampir lupa iklan tersebut secara tepat. Namun, jika saya sebagai pelancong, pasti akan cuba menyebutnya dan ia menjadikan sesuatu yang menarik perhatian. Tidak ada celanya iklan menggunakan Bahasa Melayu malahan tampak lebih mesra kepada pelancong.

Di tempat kami belajar sendiri terdapat pensyarah-pensyarah lepasan universiti di Malaysia dan mereka fasih berbahasa Melayu! Tidak segan silu untuk berbahasa melayu walaupun bunyinya agak kekok namun, mungkin baginya itu yang membuatkan kami lebih mesra. Bangga rasanya beliau mampu berbahasa melayu. Kerana lidah arab agak sukar melafazkan perkataan Bahasa Melayu kerana agak ringan berbanding Bahasa Arab. Tetapi, beliau fasih melafazkannya. Fikirkanlah, apalah gunanya bangsa lain yang menghargai bahasa kita, tetapi kita sendiri menghapuskannya.

Hargailah Bahasa Kita


"Can u speak english?"
"yes...of course"
"good"
"lakin, afdhal natakallam billughah Arabiah"
"lughatul Quran,lughatul Jannah, wa anta allimni"

Seringkali pelajar-pelajar arab hadir dan kadangkala ingin berbahasa Inggeris, sedangkan apa yang ingin mereka katakan, mereka sendiri tidak faham. Sekadar ingin merasa seperti gah dapat berbahasa Inggeris. Bangsa kita juga kadangkala begitu. Tidak kurang juga lagaknya.

Namun, jika matlamat yang ingin dicapai terkapai-kapai, ada baiknya perkayakan bahasa mereka. Ajak mereka berbicara dengannya dan mengajarkan kita. Begitu juga bahasa Melayu, lapangkanlah dada jika ada yang ingin mempelajarinya. Biarpun nampak lucu, mungkin di situlah timbulnya kemesraan. Ajak bangsa lain pelihara bahasa kita, pasti bahasa mereka juga terpelihara. 



 


No comments: