Friday 15 May 2009

Review : Filem Alternatif

assalamualaikum....

Baru-baru ini kebanyakan penerbit filem Indonesia mula menerbitkan filem-filem berunsurkan Islam dan penerapan nilai dakwah didalamnya. Saya sendiri tidak ketinggalan menontonnya, dengan kemudahan dunia tanpa sempadan, segalanya berada di hujung jari. Namun saya amat tertarik malahan, teruja untuk menontonnya memandangkan konsep dan jalan cerita yang cuba dibawa amat berbeza berbanding lambakan filem-filem negara kita, Malaysia.

Jadi, cuba kita renung dan fikirkan nilai cerita dan kisah yang ingin dibawakan pengarah filemkan ini. Dua filem yang dapat saya tonton adalah "Sang Murabbi" dan "Kun Fayakun". Kedua-dua filem ini amat ringan dan mudah jalan ceritanya. Namun, impak dan mesej yang ingin disampaikan amat tepat dan sampai kepada penonton jika mengahayatinya.

Bait kata-kata dan skrip yang ringkas serta mudah difahami membuatkan penonton filem-filem ini tidak merasa terbeban fikiran menontonnya.



Perjalanan Hidup Seorang Perintis Dakwah

Filem ini bukanlah filem panjang seperti filem biasa. Ia hanya bagai biografi seorang perintis dakwah Islamiah di Indonesia. Itulah yang ingin dipaparkan dalam filem "Sang Murabbi, mencari spirit yang hilang". Berkisarkan riwayat hidup ustaz Rahmat Abdullah yang merupakan perintis tarbiyah Islamiah dan parti keadilan di Indonesia.

Jalan hidupnya bukan satu jalan indah untuk dicerekakan. Namun kegigihan dan ketabahannya demi  melihat anak muda dan masyarakat bersatu di bawah nama Islam dan nilai-nilai hidup Islam diamalkan. Sisa hidupnya dihabiskan dengan berdakwah dalam perbagai ruang dalam masyarakat.

" Ustaz, saya tak dapat ikut ke Mesir, walaupun sudah disiapkan segala dokumennya"

"Medan dakwah itu luas.Wajib untuk kita menyiram tanah-tanah yang tandus. Menyemai benih-benih unggul, agar tumbuh pohon kejayaan Islam. Dakwah ini terus mengalir menuju redha Allah. Janganlah bersedih. Dimana kita berada, disitulah dakwah disebarkan "

Dalam filem ini juga menerapkan nilai-nilai Islam yang syumul serta menjaga hak-hak muslim dalam kehidupan. Nilai-nilai kesedaran diri juga penuh diterapkan dalam filem ini. Namun, singkatnya kisah hidup beliau membuatkan saya sendiri hampir 3 kali menontonnya. Terasa tidak puas kerana tatkala berkobar-kobar dibakar semangat, beliau dijemput mengadap Allah s.w.t. Agaknya, itu jugalah perasaan anak-anak murid beliau yang penuh di rumahnya solat dan mengiringi jenazah beliau dengan susasana yang cukup pilu. Biarpun dalam usia yang tidak berapa tua beliau meninggal dunia, namun pasti beliau mampu berbangga dengan produk tarbiyahnya dan perjalanan dakwahnya yang hampir berada dipuncak. Semoga Allah memberkati hidupnya serta ditempatkan dikalangan ahli syurga disisi Allah.


 

Bersangka Baik dan Yakin Pada Allah

Filem ini saya terbaca mengenainya di blog seorang sahabat. Lantas, tanpa membuang masa, saya minta jika ada simpanan padanya. Nasib yang agak baik, kebetulan pada hujung minggu tersebut ada sahabat yanga akan datang ke Mafraq. Jadi, tidak lamalah masa yang terpaksa ditunggu untuk menonton fiem ini. Kun fayakun yang dipetik dari surah Yaasin bermaksud, tatkala Allah katakan jadi, maka jadilah! Menggambarkan kebesaran dan kuasa Allah itu meliputi segalanya.

Jalan cerita yang menarik dan ringkas. Cuma di pertengahan imbasan semula atau 'flashback' filem ini agak mengelirukan. Namun, tidaklah mencacatkan perjalanan dan mesej cerita yang ingin disampaikan. Ringkas dan padat !

Kisah sebuah keluarga penjual bingkai gambar dan cermin. Si bapa hanya pasrah atas segala rezeki yang diberi Allah padanya. Mendidik keluarganya biarlah bersusah sedikit dari mengamalkan sikap meminta-minta pada orang lain. Konflik yang dipaparkan bukan mudah mendidik anak-anak dan isteri agak punyai rasa yang sama dalam menguatkan keyakinan pada Allah. Kesenangan yang kadangkala merupakan ujian, disangka nikmat yang berpanjangan. Namun, tatkala datang ujian segala kesalahan disangka balasan buruk kerana tiada sifat Rahman dari Allah.

Firman Allah Ta'ala :

" Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh dan kikir. Apabila ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan ia amat kikir " (al-Maarij :19,20,21)

Sedikit sebanyak perkara yang ingin diketengahkan dalam filem ini mengenai redha dan syukur atas segala pemberian tuhan dalam bentuk yang baik mahupun tidak. Ini juga merupakan salah satu sifat Rububiyyah dalam aqidah, supaya sentiasa bersangka baik dengan segala ujian dan dugaan yang Allah berikan. Bukanlah satu perkara mudah yang ingin dilaksanakan. Garapan yang dibawa dalam filem ini benar-benar menginsafkan dan tepat dengan keadaan masyarakat kita sekarang.

" astaghfirullah...astaghfirullah al azim...bapa hampir menguji Allah bu! Kepercayaan bapa hampir hilang bahawa pertolongan Allah akan datang. Jujur sahaja, walaupun mulut bapa tidak mengatakan, tetapi hati kecil menyaksikan Allah memerhatikan kita"

Kufur dan nifaq yang tidak disedari wujud dalam masyarakat masa kini tatkala semakin jauh dari tuhan. Walaupun tidak terucap di mulut, jika terlintas dihati, maka kufur itu tetap berlaku. Perkara sebegini perlu di titik beratkan dalam soal iman masyarakat masa kini. Kerana tanpa disedari syahadah kita telah terbatal kerana kekufuran. Oleh sebab itu, adanya ucapan 2 kalimah syahadah setiap kali solat. Agar iman dapat diperbaharui.

Yang agak menarik juga dalam filem ini, penerapan nilai kasih sayang serta mendidik anak-anak mengenal Allah dan mempercayai segalanya datang dari Allah. Mengajak anak bersolat dan berdoa mohon agar sentiasa mendapat bantuan Allah. Indah sungguh jika penerapan nilai tersebut wujud dalam setiap keluarga Islam hari ini. Menariknya plot ini berlaku di meja makan. Antara kebiasaan yang mula hilang dalam masyarakat kita, makan bersama keluarga. Plot ini membuktikan, meja makan juga mampu dijadikan medan nasihat dan merapatkan hubungan keluarga sebenarnya. 

" Pekerjaan itu bukan penyebab kerana susah seperti ini. dulu saja kita bisa simpan wang. kita boleh lebih baik daripada ini jika kita tingkatkan ikhtiar kita.."

"apa yang mahu ditingkatkan? bukan bapak sudah bekerja keras. jual kaca dari pagi sampai sore. Bapak mahu jual malam-malam?

" bukan bapak saja ikhtiar sendiri,tapi semua kena sama-sama tolong untuk mengubah nasib kita. Ikhtiar siang dan malam! "

" mahu iwan sama anang kerja juga?"

" isy, ikhtiar... untuk dekatkan diri kepada Allah agar diturunkan rezeki. Kita harus hidupkan malam, solat jemaah, solat dhuha dan solat sunat yang lain. Orang sekeliling kita semua susah, tiada tempat meminjam dan meminta selain Allah!

Walaupun pelakon dan watak dalam filem ini agak ringan, namun hasil pembawakan yang bersahaja mampu menghidupkan cerita ini yang nampak ringkas kisahnya. Semoga pengajaran yang ingin disampaikan dapat sedikit sebanyak mendidik jiwa dengan hiburan alternatif sebegini. Kini, saya masih menanti. Setelah semakin banyak drama-drama ilmiah ini mendapat sambutan di Malaysia, bila pula akan masuk ke layar perak.

Selamat bersantai dan mendidik jiwa !





2 comments:

Fez said...

Di sinilah kelebihan dunia perfileman Indonesia. Jika mereka berkehendakkan filem bermesej dakwah, boleh dikatakan 90% mesej dakwahnya berjaya disampaikan melalui filem tersebut. Tapi pengarah2 di Malaysia lain pula jadinya. Konon nak buat filem yang beri pengajaran, sudahnya pengajaran ke mana, unsur2 18sx pula yang lebih diketengahkan. Tengok saja contoh filem Yasmin Ahmad. T_T
Wajar saya rasakan, menonton filem-filem Malaysia adalah membuang masa. Immoral. No offence.

kher said...

Sokonglah industri perfileman indonesia.

industri filem Malaysia dikuasai orang yang kurang faham tentang agama. begitu juga rakyat Malaysia yang begitu sukakan hiburan. Apakah masa depan negara kita?