Thursday 8 January 2009

Imtihan..Exam..Peperiksaan

Hari demi hari berlalu, kini imtihan pun semakin hampir. Ada juga sebahagian pelajar disini telah pun selesai beberapa subjek. Moga terus tabah lalui subjek yang akan datang. Bagi yang belum melepasi zon imtihan ini, sama-samalah kita bulatkan usaha,tingkatkan ibadah moga mudah melalui imtihan yang bakal tiba. Setelah segalanya selesai, tekadkan diri pada Allah Ta'ala dan bertawakkalah padanya bermakna doa harus diteruskan mengiringi selesainya imtihan. Firman Allah dalm surah Ali-Imran : 159 ;

" Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad,maka bertawakkalah pada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkalh kepadaNya"

Ayat ini sebenarnya menceritakan perihal akhlak Rasulullah s.a.w ketika kekalahan dalam peperangan Uhud. Di dalam tafsir al-Jalalain, menyebutkan sikap yang sepatutnya diambil oleh Rasulullah ketika itu, berdepan dengan tenteranya yang menghadapi kekalahan atas dosa silam yang mereka lalukan seperti yang tercatat pada ayat sebelumnya.

Oleh itu, selepas nekad dalam membuat sesuatu, perbincangan atau keputusan, Allah mengarahkan bertawakkalh atau berserahlah kepadaNya. Kerana Allah amat menyukai orang yg bergantung harap padaNya sebagai Rabb. Satu-satunya tempat pergantungan yang hakiki.

Kejayaan Yang Dicita

Menjadi adat dalam berjuang, termasuklah dalam kita menghadapi imtihan ini, pasti ada yang berjaya dan ada yang kecundang. Namun, itu semua adalah ketentuan dalam kehidupan sebagai seorang manusia di bumi Allah ini. Tetapi ketentuan ini termasuk dalam ketentuan yang boleh diubah sekiranya ditambah dengan usaha yang berganda dalam belajar dan semestinya penigkatan amal ibadah pada Allah s.w.t. Janganlah mengaharap kejayaan yang tidak pasti sekiranya bekalan diri untuk melaluinya tidak mencukupi.

Kadangkala ada yang berfikir belajar sungguh-sungguh semata-mata adalah kunci kejayaan. Itu tidak benar sama sekali. Mana mungkin usaha seorang hamba menjadi kenyataan tanpa redha dari tuannya? Yakni, jika belajar hingga terlalai ibadah dan doa pada Allah bukan itu caranya. Malahan pergantungan pada Allah itu membuatkan kita lebih mudah belajar bahkan mendapat berkat dariNya. Itulah hakikatnya seorang hamba kadangkala lupa hakikat sebagai hamba. Lupa kepada yang Maha Kuasa. Adakalanya, diajak untuk solat hajat,bacaan yasin dan sebagainya untuk munajat bersama-sama sebelum imtihan, terpaksa ditolak kerana ingin study. Jika benar belajar, jika tidak, bagaimana? Jika belajar sekuat mana, namun tidak memohon petunjuk dan hidayah, tidak mustahil ada yang tiba-tiba blur waktu peperiksaan, walaupun sudah beberapa kali membaca dan menghafal hingga tidak tidur dan terlepas waktu subuh. "kenapa tak ingat ape-ape nih? "

" Karim tu elok je dapat makah tinggi. Time org solat die tido. Bangun main game. Study gitu-gitu jer. Dapat markah tinggi belaka". Kata-kata cemburu yang kadangkala muncul dari bibir kawan-kawan. Adakalanya Allah menguji hambaNya dengan musibah. Untuk menjadikan hambaNya dekatkan diri padaNya,mengadu padaNya. Nikmat juga, sebenarnya ujian dari Allah, dimana ingin melihat sejauh mana hambanya bersyukur. Apa yang ditakuti, apa yang berlaku pada sahabat tadi bagai ujian dari Allah yang akhirnya akan timbulnya istidraj. Allah memberikan nikmat yang berganda dan tidak putus-putus, sedangkan hambanya tidak bersyukur serta takbur lalu Allah membiarkan hambanya semakin jauh. Ditambahkan lagi nikmat kepadanya. Bagai firaun yang leka sehingga tahap mengaku tuhan dan akhirnya mati dalam kemurkaan Allah s.w.t. nauzubillah.

" Daripada Aishah r.ah. bahawa Nabi S.A.W. bangun di waktu malam ( bersolat tahajjud ) sehingga bengkak kedua-dua kaki baginda. Lalu aku ( Aishah ) bertanya kepada baginda : kenapa engkau lakukan sebegini wahai Rasulullah?... Sesungguhnya Allah Taala telah mengampunkan dosa-dosamu yang telah lalu dan terkemudian. Jawab baginda S.A.W. kepada isterinya Saidatina Aishah : ( Wahai Aishah ) Tidakkah aku ini seorang hamba yang bersyukur? " [ Muttafaqun 'alaih ]


Gagal Hadir Menyapa


Biasanya kegagalan hadirnya dijemput. Tatkala imtihan semakin hampir, semakin game yang dicari, internet, chatting semakin rancak sehingga lupa tarikh peperiksaan. Tiba sehari sebelum imtihan, baru usaha mencari buku. Namun segalanya terlambat, baru mula mencari Tuhan mohon bantuan. Bukankah ada pepatah mengatakan " gagal merancang,kita merancang untuk gagal". Jadi apa yang diusahakn selama ini, itulah yang diterima. Jadi, jangan disalahkan buku hendak dibaca tidak faham, jangan dicari punca masa tidak mencukupi kemana hilangnya dan sebagainya. Perkara-perkara tersebut tidak berhajatkan kita. Tetapi kita berhajatkannya. Manusialah sebagai makhluk berakal, perlu memikirkan bagaimana untuk menguruskannya.

Firman Allah Ta'ala :

" Jika Allah menolong kamu, maka tidak adalah yang dapat mengalahkan kamu. JIka Allah membiarkan kamu(tidak memberi pertolongan), Maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu selain dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal"
Ali-Imran ; 160

Ada juga kalanya, kegagalan hadir tanpa diduga. Janganlah melatah menyalahkan takdir dan sebagainya. Walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh, bersolat,berdoa dan sebagainya. Cubalah bersangka baik dengan Allah. Dalam al-Quran disebut, "Allah tidak menzalimi hambanya, tetapi hambanya yang menzalimi diri sendiri " Allah juga menguji hambanya dengan kemampuan empunya diri. Oleh itu, usahalah mencari hikmah disebalik kegagalan. Hati akan lebih tenang menghadapinya. Pasti ada kurangnya dimana-mana kesilapan yang dilakukan sehingga Allah tidak menetapkan kejayaan bukan dimiliki ketika itu. Muhasabahlah diri kerana adakalanya hikmah itu begitu sukar untuk ditemui. Ingalah Allah itu Penyayang sifatnya. Kemungkinan Allah mahu hambaNya berterusan mengadu, bermunajat padanya bukan sekadar bila imtihan tiba. Hadapilah sesuatu kegagalan dengan memahami hikmah bicara Allah kepada seorang hamba.


Redha Dan Keberkatan

Tanpa adanya guru, tidalah ilmu sampai kepada kita. Ulama terdahulu juga berguru untuk mendapatkan ilmu. Menuntut ilmu tanpa guru, ibarat berguru dengan syaitan. Demikianlah hakikatnya dalam menuntu ilmu. Justeru, redha dari seorang guru itu amat-amat memberikan kesan. Mendapat redha dari insan yang memberikan ilmu, menjadikan ilmu yang dipelajari mendapat barakah dari Allah Ta'ala. Dengan adanya redha dan berkat dari ilmu yang dipelajari, maka mudah untuk difahami,diingat seterusnya untuk diamalkan. Kerana ilmu yang itdak diamalkan,ibarat pohon yang tidak berbuah.

Oleh itu, bagi mencapai redha dan keberkatan, hormatilah insan yang memberikan ilmu tersebut. Guru yang mengajarkan dan memberi kefahaman dengan susah payah. Mereka juga melalui saat susah sama seperti kita ketika menuntut ilmu. Jika hari ini mereka diherdik,dikeji,dikatakan tidak pandai mengajar dan sebagainya, tidak mustahil esok lusa, perkara tersebut akan kita rasai kembali. Berikan hak seorang insan itu selayaknya. Mereka juga telah mengorbankan masa dan sebagainya untuk menjadikan kita insan yang berguna. Bukan dididik untuk mengherdik dan mengutuk mereka kemudiannya. Semoga dengan redha dan berkat yang dikecapi, menjadikan ilmu itu sesuatu yang indah untuk diterokai.

Salam Perjuangan

Semoga kita dapat sama-sama muhasabah diri sebelum imtihan tiba menerpa kali ini. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menghadapi imtihan kepada sahabat-sahabat yang sedang menhadapinya ataupun bakal menghadapinya. Moga-moga kita dapat menjadi pejuang setia dalam menuntu ilmu. Selamat Berjuang !









Monday 5 January 2009

Palestin : Fahami dan Bertindaklah

Setiap hari, berita mengenai peperangan di Gaza dikemaskini. Malahan setiap jam. Setiap kali itu juga jumlah saudara kita yang terkorban bertambah. Tidak kurang juga yang tercedera. Hanya mata yang mampu melihat. Telinga yang mendengar dengan hati yang penuh hiba. Benarkah kita tidak mampu berbuat apa-apa? Hanya melihat,mendengar dan kemudian hilang begitu sahaja?

Kumpul Kekuatan

Firman Allah Ta'ala :

"Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang kamu menggentarkan musuh Allah. musuhmu dan oarng-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya,sedang Allah mengetahuinya.Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi"
al-Taubah : 60

Allah memerintahkan supaya kita mempersiapkan diri dengan apa jua kekuatan untuk menghadapi musuh, mudah-mudahan akan menggerunkan musuh dari kita tidak berbuat apa-apa. Sebenarnya, kekuatan itu bukalah hanya terletak pada mereka yang ingin berperang. Kekuatan yang dikumpulkan dari umat Islam itu sendiri sebenarnya membantu dan menambahkan kekuatan buat mereka yang berperang.

Oleh itu, kita sebenarnya memainkan peranan dalam mencipta kemenangan Islam dalam menentang musuh Allah. Misalnya, pejuang HAMAS yang sekarang bermati-matian menyelamatkan bumi Palestin. Mereka berperang dengan kekuatan senjata mereka, perancangan tentera mereka. Biarpun bukan itu cara kita menentang musuh yang sama, tetapi dengan konsep yang lain kita mampu membantu tentera Islam untk melemahkan pihak musuh. Asalkan perlu ada perancangan dan persiapan.

Mendidik Diri Dengan Kefahaman

Ada sesekali saya cuba membelek al-Jazeera versi Bahasa Inggeris. Rupanya dalam bentuk sedemikian rupa mereka masih mampu menyebarkan berita palsu dan bukannya terjemahan yang sebenar-benarnya dari versi Arab. Memang agenda orientalis sukar untuk diduga. Sehinggakan terlihat sebahagian komen-komen mengenai berita tersebut, mengecam tentera Islam. Mengatakan yang ini salah dan yang ini betul, sedangkan mereka hanya mendapat berita yang tehidang didepan mereka mentah-mentah.

Umpama artikel yang ditulis mengenai Palestine dan orientalisme oleh Ustaz Hasrizal menjelaskan, kefahaman puak-puak barat yang dididik dengan kefahaman yang salah mengenai Palestin dan umat Islam. Membuatkan mereka semua dikaburi dengan satu penipuan besar buat seluruh dunia. Namun, untuk ke sana memberi kefahaman bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Cukuplah kita usaha memberikan kefahaman buat saudara seIslam sendiri agar lebih prihatin dan sedar.

Fikirkan sejenak, apa yang sepatutnya kita lakukan dengan kemampuan yang kita miliki. Saban hari demonstrasi kerap dilakukan seluruh dunia mengutuk dan meminta menghentikan peperangan. Sebenarnya, sedikit sebanyak dengan cara ini mampu menggentarkan mereka walaupun belum tentu dapat mengundurkan langkah mereka, sekurang-kurangnya mereka sedar yang umat Islam sebenarnya punyai kekuatan yang luar biasa jika dapat disatukan. Dapat juga membuka mata mereka, yang kita sebenarnya umat Islam bukan berdiam diri dan tidak pernah redha dengan apa yang mereka lakukan.

Misi memboikot barang-barang mereka tidak kira dari barangan makanan, minuman,rokok dan sebagainya mampu mengganggu gugat misi mereka menjatuhkan umat Islam. Melalui misi mengaut keuntungan ini, dapat memberi kesan ekonomi kepada mereka walaupun mereka punyai kuasa besar misalnya Amerika bersama mereka. Jika boikot ini diteruskan, pasti akan ada kesan yang mereka rasai. Dengan itu kuasa besar Islam juga dapat kita tunjukkan. Namun misi in perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Jika hanya 30-40% sahaja umat Islam yang faham dan sedar mengenai perkara ini. Mungkin ia hanya menjadi bahan tawa puak musuh kerana bagi mereka masih ramai yang menyokong.

Contohnya, jika sebelum ini kita kerap menikmati minuman bergas yang menjadi penyumbang kepada mereka, cubalah berhenti. Gantikan dengan jus-jus yang lebih berkhasiat dan banyak juga pilihannya. Begitu juga dengan makanan segera yang menyelerakan untuk kita sebelum ini, usaha jauhkan dari terus memberli dan menikmatinya. Ini bukannya soal selera di tekak dan mengubah cara pemakanan. Tetapi, sebelum kita terus menikamtinya, fikirkan saudara kita yang dibedil semahunya tanpa belas kasihan atas sebab kita menjadi sebahagian penyumbangnya. Fikirkan!

Dari aspek kewangan, seperti derma dan bantuan-bantuan yang dikutip, sangat-sangat membantu. Di saat bantuan dihulurkan, letakkan diri di tempat mereka. Moga-moga tidak terasa berat wang yang dihulurkan. Malahan mengharap bantuan yang diberikan akan dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. Ingatlah mereka juga saudara-saudara kita.

Duri Dalam Daging

Kadangkala, kebencian dan kemarahan kepada musuh-musuh Islam hanya dibuat-buat. Melaungkan kata benci, memacakkan semangat jihad yang berkobar-kobar. Namun masa yang sama kita membunuh saudara sendiri. Mungkin ada yang tidak bersetuju bila saya katakan hanya olok-olok semangat yang ditimbulkan. Manakan tidak, habis mendengar ceramah,habis berdemo asap rokok dihembus tanpa rasa bersalah. Begitu juga sumber lain seperti makanan dan minuman. Bukankah "bagai duri dalam daging??". Di satu masa yang lain kita menentang, di masa yang lain kita masih membantu mereka.

Kadangkala kesilapan sebegini bukan tidak disedari, tetapi nafsu yang tidak mampu dikawal membuatkan diri lupa segalanya. Ini melibatkan soal kefahaman dan keprihatian empunya diri dalam membuat pilihan. Bila dikatakan pilihan, ia hanya melibatkan satu dari dua perkara. Pilihlah untuk membantu menghapuskan musuh atau menjadi penyumbang pembunuhan diteruskan.

Berdoalah

Jangan sesekali dilupakan, sebenarnya segala perkara dibawah perancangan Allah Ta'ala. Justeru, solat hajat dan doa yang berpanjangan kepada Allah perlu diteruskan. Itulah sebaik-baik pergantungan. Lupakan sejenak siapa diri kita, doalah seikhlasnya, mohon padaNya, agar Allah memberikan bantuan dan memastikan kemenangan buat Islam. Firman Allah Ta'ala :

" Kamu merancang dan Allah merancang.Allahlah sebaik-baik perancang "
Ali-Imran : 54

Saturday 3 January 2009

Sekitar Demonstrasi di Amman,Jordan

Perhimpunan dijalankan pada jam 1 ptg hingga 4 petang di International Stadium,Amman. Ramai yang datang menyertai sebagai tunjuk rasa benci pada kezaliman dan simpati buat saudara di Gaza..kanak-kanak,pemuda,orang dewasa, lelaki dan perempuan berkumpul bersatu hati...kelihatan seorang kanak-kanak yang bersemangat berjiwa jihad...

Suasana di luar stadium gamat kerana ramai tidak dapat masuk ke dalam kerana kepadatan yang melampau di bahagian dalam.Namun, tidak melunturkan semangat para pemuda ini untuk terus memperjuangkan suara mereka....


Bayangkan perasaan kanak-kanak ini, yang mungkin jauh di sudut hati sebenarnya bersimpati terhadap sahabat-sahabat seusia mereka di sana yang dalam kesakitan,kesedihan dan kehilangan segalanya.Mereka turut hadir memberikan sokongan..

Sebahagian yang hadir berpusu-pusu cuba untuk masuk ke dalam stadium...

solat tetap diutamakan, kerana itulah yang utama. Jangan jihad hanya di mulut namun diri berbuat maksiat lupakan solat dan doa untuk mereka...

saat mula ketibaan di luar stadium seawal jam 2 30 ptg(waktu Jordan)

more picture at my flickr

Thursday 1 January 2009

Melabur Saham Akhirat


Saban hari kita mendapat berita tentang saudara-saudara kita di GAZA yang tercedera. Apatah lagi bilangan yang terkoban semakin hari semakin bertambah. Oleh itu, marilah sama-sama kita membantu mereka dengan apa jua cara sekali pun. Biarpun kita tidak dapat berjuang bersama mereka. Percayalah bantuan kecil kita mampu menyelamatkan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Sumber Kewangan

Adakalanya, kita tidak sedar ke mana hilangnya wang-wang pinjaman kita. Tidak tahu ke mana perginya duit bantuan zakat yang diberikan. Kadangkala, duit bulanan oleh ibubapa, dibelanjakan tanpa tahu mana hasilnya. Mungkin kerana dalam zon selesa kehidupan kita, kurang menyedari ada yang memerlukan bantuan.

Cubalah kita berfikir, luar dari zon keselesaan, luar dari apa yang di depan mata, agar keperitan dan kesusahan orang lain dapat dirasai. Justeru, hati akan mudah memahami, tangan akan ringan untuk membantu. Dengan itu, kesenangan dan kemudahan yang dimiliki mudah untuk dikongsikan tanpa ada rasa ragu-ragu. Malahan rela, agar saudaranya sendiri dalam keadaan yang aman dan bahagia sepertinya. Kerana, Allah s.w.t ada berfirman : Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara.

Keprihatinan

Didiklah diri untuk menjadi insan yang prihatin. Tatkala diminta memberi bantuan, hulurkan semahu mungkin. Kerana, seperti yang dikatakan tadi, walaupun dengan bantuan kecil, mungkin mampu menyelamatkan nyawa, membahagiakan saudara seaqidah kita. Yang mana sama-sama mengucapkan "LAILAHA ILLALLAH". Moga-moga, hati kita akan dapat bersatu di bawah kalimah suci itu.

Muhasabahlah diri, dari membiarkan wang yang digunakan, membakar rokok yang sebenarnya membakar saudara-saudara kita sendiri, membeli barangan mereka, yang menjadi sumber menjahanamkan umat Islam sendiri. Moga Allah mengampunkan dosa kita dan menjadikan kita hamba yang taqwa disisiNya.

Tanda Cintakan Saudara Di Gaza

Malam ini, baru saja selesai mengutip sedikit derma dari warga Mafraq. Bantuan ini akan dikumpulkan dari setiap mantiqah (kawasan) dimana terdapat pelajar Malaysia menginap. Kutipan ini dijalankan oleh Biro Perhubungan Luar Dan kemasyarakatan MPPM Jordan [http://www.mppmjordan.com] . Kemudian, keseluruhan kutipan ini, akan diserahkan kepada Jabatan Penuntut Malaysia untuk membeli bahan perubatan untuk mangsa-mangsa yang tercedera di GAZA. Jutaan terima kasih diucapkan buat semua yang tidak segan-silu memberikan bantuan bagi membantu saudara kita di sana. Moga balasan yang selayaknya akan diterima dari Allah s.w.t. insya-Allah.

Kemungkinan kutipan ini akan diadakan sekali lagi, bagi menambah jumlah bantuan untuk mereka dan secara tidak langsung dana untuk saham akhirat kita nanti. Moga tidak serik para sahabat menderma lagi nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

" Apabila matinya anak adam terputuslah segalanya kecuali 3 perkara ; sadaqah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoaknnya "


Kemaskini kutipan derma Mafraq :
Kutipan 1 : JD 41
Kutipan 2 : JD 159.04
Jumlah keseluruhan : 200.04