Thursday 1 January 2009

Melabur Saham Akhirat


Saban hari kita mendapat berita tentang saudara-saudara kita di GAZA yang tercedera. Apatah lagi bilangan yang terkoban semakin hari semakin bertambah. Oleh itu, marilah sama-sama kita membantu mereka dengan apa jua cara sekali pun. Biarpun kita tidak dapat berjuang bersama mereka. Percayalah bantuan kecil kita mampu menyelamatkan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Sumber Kewangan

Adakalanya, kita tidak sedar ke mana hilangnya wang-wang pinjaman kita. Tidak tahu ke mana perginya duit bantuan zakat yang diberikan. Kadangkala, duit bulanan oleh ibubapa, dibelanjakan tanpa tahu mana hasilnya. Mungkin kerana dalam zon selesa kehidupan kita, kurang menyedari ada yang memerlukan bantuan.

Cubalah kita berfikir, luar dari zon keselesaan, luar dari apa yang di depan mata, agar keperitan dan kesusahan orang lain dapat dirasai. Justeru, hati akan mudah memahami, tangan akan ringan untuk membantu. Dengan itu, kesenangan dan kemudahan yang dimiliki mudah untuk dikongsikan tanpa ada rasa ragu-ragu. Malahan rela, agar saudaranya sendiri dalam keadaan yang aman dan bahagia sepertinya. Kerana, Allah s.w.t ada berfirman : Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara.

Keprihatinan

Didiklah diri untuk menjadi insan yang prihatin. Tatkala diminta memberi bantuan, hulurkan semahu mungkin. Kerana, seperti yang dikatakan tadi, walaupun dengan bantuan kecil, mungkin mampu menyelamatkan nyawa, membahagiakan saudara seaqidah kita. Yang mana sama-sama mengucapkan "LAILAHA ILLALLAH". Moga-moga, hati kita akan dapat bersatu di bawah kalimah suci itu.

Muhasabahlah diri, dari membiarkan wang yang digunakan, membakar rokok yang sebenarnya membakar saudara-saudara kita sendiri, membeli barangan mereka, yang menjadi sumber menjahanamkan umat Islam sendiri. Moga Allah mengampunkan dosa kita dan menjadikan kita hamba yang taqwa disisiNya.

Tanda Cintakan Saudara Di Gaza

Malam ini, baru saja selesai mengutip sedikit derma dari warga Mafraq. Bantuan ini akan dikumpulkan dari setiap mantiqah (kawasan) dimana terdapat pelajar Malaysia menginap. Kutipan ini dijalankan oleh Biro Perhubungan Luar Dan kemasyarakatan MPPM Jordan [http://www.mppmjordan.com] . Kemudian, keseluruhan kutipan ini, akan diserahkan kepada Jabatan Penuntut Malaysia untuk membeli bahan perubatan untuk mangsa-mangsa yang tercedera di GAZA. Jutaan terima kasih diucapkan buat semua yang tidak segan-silu memberikan bantuan bagi membantu saudara kita di sana. Moga balasan yang selayaknya akan diterima dari Allah s.w.t. insya-Allah.

Kemungkinan kutipan ini akan diadakan sekali lagi, bagi menambah jumlah bantuan untuk mereka dan secara tidak langsung dana untuk saham akhirat kita nanti. Moga tidak serik para sahabat menderma lagi nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

" Apabila matinya anak adam terputuslah segalanya kecuali 3 perkara ; sadaqah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoaknnya "


Kemaskini kutipan derma Mafraq :
Kutipan 1 : JD 41
Kutipan 2 : JD 159.04
Jumlah keseluruhan : 200.04

No comments: