Tuesday 25 August 2009

Bukan Mudah Menunaikan Puasa


assalamualaikum buat pembaca budiman

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w yang tercinta, doa keamanan dan kesejahteraan buat seluruh umat Islam yang tekun menjalani ibadah puasa kali ini. Moga kita terus istiqamah menjalankan segala ibadah kepada Allah Ta'ala.

Syukur hari ini masih diberikan peluang oleh Allah menghidrup udara segar, menghayati nikmat hidup yang dikuniakan Allah, lebih untung dapat bernafas dalam bulan yang penuh rahmat Ramadhan al-Mubarak. Baru beberapa minit lepas kami selesai menunaikan solat asar di masjid yang berdekatan. Hari ini, dua pergaduhan yang lebih pada perselisihan faham berlaku di depan mata sebelum mengerjakan solat. Terdetik di hati, bukankah masing-masing berpuasa. Bahkan menyedari kita berada di dalam bulan Ramadhan. Ternyata Ramadhan dan puasa itu bukan semudah yang disangka untuk dilaksanakan.

Berpuasa Dengan Iman

Jika kata P.Ramlee "mati dalam iman", tersenyum gelagatnya ketika dalam filem yang dilakonkannya. Adakah berpuasa dengan iman itu begitu juga? Tersenyum sepanjang masa baru iman dikatakan ada?

Firman Allah s.w.t :

" Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan kepada kamu berpuasa sepertimana berpuasa umat terdahulu, moga-moga bertaqwa "

Setiap kali bulan Ramadhan, ayat ini pasti sering didengari sebagai maksud disyariatkan berpuasa kepada umat Islam. Namun, adakah pernah meneliti sepotong ayat itu begitu mendalam maksudnya. Dalam perbahasan maksud iman terdapat perlbagai pendapat dikalangan ulama aqidah. Saya tertarik dengan pandangan Imam maturidi yang menggunakan salah satu dalil mengatakan Iman itu tasdiq bil qalb, iaitu membenarkan dengan hati, dengan berhujjahkan ayat ini. Perbezaan pendapat mengenai iman ini cuma berbeza dari sudut gambaran perlaksanaan iman itu sahaja. Namun semuanya sepakat mengatakan pendapat sedemikian dengan Imam maturidi. Jadi beliau menjelaskan bahawa setiap amal itu Allah Ta'ala sarankan atau fardhukan dengan Iman terlebih dahulu. Seperti firman di atas, iman dan seruan berpuasa kemudiannya.

Ibadat tanpa iman umpama melakukan pekerjaan tanpa persediaan. Umpama pergi mengadap raja tanpa membawa apa-apa untuk dipersembahkan. Bagaikan air tin yang dibeli kemudian tin kosong yang telah habis diminum ingin dikongsikan bersama. Bukankah semua ini satu perbuatan dan pekerjaan yang sia-sia. Bukan saja dimata yang menilai, bahkan diri sendiri tidak mendapat manfaat.

Demikian ibadat puasa yang Allah Taala syariatkan buat umat Islam. Bukan puasa itu sekadar persediaan menghadapi dugaan lapar dan dahaga, tetapi iman juga di uji sedemikian. Justeru, puasa yang dilaksanakan perlulah dengan Iman. Persediaan iman menghadapi ramadhan itu perlu dipastikan sebelum menjalaninya. Jika tidak, berlaku kisah seperti yang saya ceritakan sebentar tadi sedang berpuasa dan mahu bersolat, tetapi melakukan keaiban di hadapan Allah. Kerana puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Tetapi mendidik diri dan jiwa menjadi sabar. Sabar itu menjadikan nilai iman meningkat dari satu tahap ke satu tahap. Berpuasa tanpa iman bagai jiwa yang kosong di bawa menuju Ilahi. Bagai ibadah tanpa persediaan.


Ramadhan Yang Mendidik Jiwa

Bulan ramadhan manusia mudah melaksanakan tuntuan Allah buatnya. Masjid dan surau-surau penuh setiap malam. Terasa pesta ibadah yang cuba dihidupkan oleh umat Islam ketika ini. Terasa mudah memberi sedekah. Ringan mahu menghabiskan masa membaca al-Quran di masa lapang. Perkara sedemikian amat sukar didapati di bulan-bulan yang biasa. Lihat, bagaimana Allah mentarbiyah hambanya dengan kaedah yang begitu berbeza. Menaikkan taraf manusia ke martabat yang lebih baik dari sebelumnya. Inilah yang Allah sebutkan di dalam potongan ayat yang disebut sebelum ini "laallkum tattakun" . Dipenghujung ayat itu Allah mensasarkan natijah taqwa itu didalam jiwa manusia yang menjalani ibadah puasa.

Taqwa jika dirujuk dalam kamus arab juga mengatakan takut kepada Allah. Takut itu juga adalah subjektif buat setiap manusia. Namun apa yang dikatakan takut kepada Allah itu adalah sentiasa merasai kewujudan Allah itu dan istiqamah melaksanakan ibadah kerana Allah semat-mata. Hasil dari tarbiyah Ramadhan ini akan mencetus taqwa dalam diri manusia. Namun terlebih dahulu iman itu perlu ada di dalam jiwa. Agar diri yang terdidik punyai persediaan dan bekalan yang mencukupi

Umat Islam wajib menghayati bulan Ramadhan dan ibadah puasa ini sebagai satu jalan tarbiyah dan usaha mendidik diri dan jiwa. Rohani dan jasmani. Pasti natijah yang dijanjikan Allah itu akan diperolehi. Jika Ramadhan itu tidak dilalui dengan iman dan usaha mencapai taqwa, hasilnya yang dapat dilihat, rata-rata umat Islam yang sibuk menyiapkan persiapan raya hingga terabai ibadah Ramadhan. Bahkan puasa yang dilaksanakan seharian berakhir dengan pembaziran makanan yang tidak terjamah. Bukankah puasa itu sebagai jalan mendidik diri merasa susah payah dan keperitan hidup mereka yang tidak berkemampuan menjalani kehidupan. Jika iman dijadikan ukuran utama sebelum menjalani ibadah puasa, pasti Ramadhan itu akan lebih meriah dengan cara yang sepatutnya.

Sabar Itu Sebahagian Iman

Dari abu Hurairah r.a, Rasulullah s.aw bersabda :

" Barangsiapa mendirikan Ramadhan dengan Iman dan bersungguh-sungguh, diampunkan dosanya yang telah lalu "

Iman dalam erti kata membenarkan itu adalah membenarkan segala yang disampaikan oleh Rasulullah sa.w kepada umat Islam. Segala yang disampaikan itu merupakan syariat yang wajib dilaksanakan. Semestinya segala amal ibadat itu disertakan dengan sabar dalam melaksanakannya agar berterusan dan ikhlas melakukannya. Justeru, puasa merupakan ibadah yang benar-benar menguji diri dan iman manusia. Menjadikan manusia itu lain dari hari-hari yang biasa. Sabar atau tidak istiqamah padanya bergantung pada iman yang tersedia menjalani bulan Ramadhan selama sebulan.

Natijah yang dijanjikan Allah hanya satu, iaitu taqwa. Puasa hari ini yang kita laksanakan menjadikan natijah ibadat kita itu berbeza-beza dan berbagai-bagai. Sama-sama kita nilai sejauh mana iman kita, apa natijah Ramadhan kita kelak. Muhasabah diri kita sebelum dihisab.

"Kebaikan itu dijadikan pengajaran, keburukan itu dijadikan sempadan"

"Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza"

-4 ramadhan 1430 / 25 Ogos 2009-

Friday 21 August 2009

Ramadhan Menjelma Lagi

Location : Putrajaya Mosque, Malaysia

Monday 17 August 2009

Pemergianmu Amat Dirasai


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha mengasihani. Selawat dan Salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. Moga Rahmat dan Kasihsayang Allah meliputi hidup kita semua. Alhamdulillah, selesai sudah fasal soifi (sem musim panas) atau di M'sia dipanggil 'short sem'. Hampir sebulan setengah berhempas pulas ke kelas dan peperiksaan. Kini tiba masa untuk bercuti. Bercuti dengan lambakan kertas kerja program dan pengurusan pelajar baru :)


Pemergianmu Dirasai

Awal minggu lalu kita dikejutkan dengan pemergian arwah pejuang nasyid sejati Ust Asri Ibrahim. Saya sendiri mendapat beritanya dari kawan di M'sia sedang bersembang melalui YM ketika itu. Kejutan yang teramat sangat bagi saya dan kami di sini. Rasanya masih baru kedengaran lagu-lagu nostalgia nada murni yang baru popular albumnya di sini. Rupanya album akhir itu memang benar-benar akan menggamit nostalgia buat peminatnya.

Rabbani dan Ust Asri adalah memang minat saya sejak dulu. Sejak zaman sekolah lagi sehingga konsert festival nasyid yang ingin diadakan di sekolah pun, Rabbani yang saya cadangkan. Kenangan manis di malam itu dapat berduet bersamanya diiringi alat perkusi Rabbani dengan lagu 'assalamualaikum'. Kenangan itu tidak pernah luput kerana itulah idaman sejak dahulu ingin nyanyi bersamanya. Dapat sekali pun cukup memadai untuk dijadikan kenangan sepanjang hayat.

Beliau mempunya suara yang tidak dimiliki orang lain. Nyanyiannya menusuk kalbu. Semangat yang ingin disampaikan menyuntik minda. Oleh sebab itu beliau cukup istimewa. Bagi peminat nasyid sangat-sangat pasti akan hal ini. Beliau juga seorang yang ramah dan rendah diri serta amat mudah didekati. Namun selepas ini tiada lagi lagu baru alunan suaranya. Album-album zikirnya. Semua koleksi itu akan terus dijadikan nostalgia dalam kehidupan. Pemergianmu amat-amat dirasai kami yang sentiasa merindu alunan suaramu.

Reaksi Media

Minggu sebelum itu, kita juga dikhabarkan pemergian pengarah yang agak terkenal namanya dengan cerita-cerita nafas baru oleh beliau. Juga dijemput mengadap Allah s.w.t. Semoga rohnya diampunkan dosa dan dicucuri rahmat. Saya juga mengikuti perkembangan filem-filem beliau yang agak berlainan konsepnya. Semestinya saya memang meminati sesuatu yang berlainan pembawakan dari biasa. Sekadar untuk menilai sudut baik dan buruknya untuk masyarakat.

Nama beliau cukup cepat popular. Lebih cepat dari Ust Asri yang bertahun-tahun lamanya dalam industri seni di Malaysia. Liputan berita beliau amat meluas ketika itu. Pelbagai akhbar membuat liputan. Saya pun cuma melihat ala-ala sahaja berita tersebut. Sekadar makluman. Dikhabarkan oleh seorang sahabat saya, hampir 3 hari berita mengenai beliau muncul di akhbar. Sedihnya pemergian artis dan ustaz yang cukup popular ini seakan dipandang lesu. Berita pemergiannya saya dapat dari kawan-kawan dan apabila jenguk ke laman antara akhbar utama M'sia, ada berita mengenainya. Namun hanya 3 baris sekadar pengumuman pemergiannnya. Berbanding sblm ini dikatakan 3 hari diberitakan. Kemana perginya wartawan-wartawan hiburan minggu lalu yang membuat liputan. Sudah bercutikah mereka? atau berita ini tidak cukup sensasi bak kata orang tidak boleh menaikkan jualan akhbar? Wartawan kita agak memilih agaknya.

Seringkali perkara sebegini terjadi. Berita-berita penting berkaitan agamawan kurang disensasikan di akhbar. Tetapi gosip retak rumah tangga, perselisihan faham itu yang difokuskan. Sama-sama fikirkan, akhbar dan media massa sepatutnya menjadi bahan penting utuk menjana pemikiran masyarakat. Jika masyarakat disogok dengan perkara negatif, apalah guna kami yang belajar hingga ke luar negara untuk membentuk masyarakat. Semakin hari masyarakat semakin terbantut pemikirannya dek kerana persekitana yang tidak membantu. Jadilah bahan media massa yang membentuk pemikiran positif masyarakat dan menyatukan Ummah. Cukuplah televisyen yang kadangkala sukar dikwal intipatinya. Fikirkanlah wahai para penggerak media massa. Kami amat perlukan kalian

Di mana-mana Pasti Dijemput

Firman Allah Ta'ala :

Sesungguhnya Allah hanya pada sisi-Nya sahaja pengetahuan tentang hari qiamat; dan Dialah menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahu dengan pasti apa yang akan diusahakan esok, dan
tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenal.
{al - Luqman :34}


Arwah Ust Asri diberitakan meninggal kerana sakit jantung. Ketika rakaman program di tv beliau jatuh dan terus di sahkan meninggal. Biarpun kematiannya di situ, moga niat baiknya menjalankan program ilmiah terus mendapat ganjaran dari Allah. Pernah sekali melihat rakaman Utube pemain bola meniggal di tengah padang bola. Pelbagai janji Allah yang tidak mungkin kita pastikan di mana matinya jasad ini. Jika disingkap, pelbagai lagi kisah kematian yang tidak disangka. Oleh itu wajib menjadi amalan kita berdoa agar dimatikan dalam husnul khatimah atau mati yang baik dalam apa juga sudut.

Sebab kepada kematian itu sebagai persediaan buat kita mengahadapinya. Sebagai peringatan buat jasad yang akan dijemput. Namun jangan pula menanti sebab untuk bersedia kerana segalanya di bawah kuasa Allah untuk menentukannya. Kita sebagai hamba, perlu menghadapi temujanji pasti itu dalam keadaan bersedia. Moga kita sentiasa disedarkan oleh Allah akan kedatangannya.