Tuesday 25 August 2009

Bukan Mudah Menunaikan Puasa


assalamualaikum buat pembaca budiman

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w yang tercinta, doa keamanan dan kesejahteraan buat seluruh umat Islam yang tekun menjalani ibadah puasa kali ini. Moga kita terus istiqamah menjalankan segala ibadah kepada Allah Ta'ala.

Syukur hari ini masih diberikan peluang oleh Allah menghidrup udara segar, menghayati nikmat hidup yang dikuniakan Allah, lebih untung dapat bernafas dalam bulan yang penuh rahmat Ramadhan al-Mubarak. Baru beberapa minit lepas kami selesai menunaikan solat asar di masjid yang berdekatan. Hari ini, dua pergaduhan yang lebih pada perselisihan faham berlaku di depan mata sebelum mengerjakan solat. Terdetik di hati, bukankah masing-masing berpuasa. Bahkan menyedari kita berada di dalam bulan Ramadhan. Ternyata Ramadhan dan puasa itu bukan semudah yang disangka untuk dilaksanakan.

Berpuasa Dengan Iman

Jika kata P.Ramlee "mati dalam iman", tersenyum gelagatnya ketika dalam filem yang dilakonkannya. Adakah berpuasa dengan iman itu begitu juga? Tersenyum sepanjang masa baru iman dikatakan ada?

Firman Allah s.w.t :

" Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan kepada kamu berpuasa sepertimana berpuasa umat terdahulu, moga-moga bertaqwa "

Setiap kali bulan Ramadhan, ayat ini pasti sering didengari sebagai maksud disyariatkan berpuasa kepada umat Islam. Namun, adakah pernah meneliti sepotong ayat itu begitu mendalam maksudnya. Dalam perbahasan maksud iman terdapat perlbagai pendapat dikalangan ulama aqidah. Saya tertarik dengan pandangan Imam maturidi yang menggunakan salah satu dalil mengatakan Iman itu tasdiq bil qalb, iaitu membenarkan dengan hati, dengan berhujjahkan ayat ini. Perbezaan pendapat mengenai iman ini cuma berbeza dari sudut gambaran perlaksanaan iman itu sahaja. Namun semuanya sepakat mengatakan pendapat sedemikian dengan Imam maturidi. Jadi beliau menjelaskan bahawa setiap amal itu Allah Ta'ala sarankan atau fardhukan dengan Iman terlebih dahulu. Seperti firman di atas, iman dan seruan berpuasa kemudiannya.

Ibadat tanpa iman umpama melakukan pekerjaan tanpa persediaan. Umpama pergi mengadap raja tanpa membawa apa-apa untuk dipersembahkan. Bagaikan air tin yang dibeli kemudian tin kosong yang telah habis diminum ingin dikongsikan bersama. Bukankah semua ini satu perbuatan dan pekerjaan yang sia-sia. Bukan saja dimata yang menilai, bahkan diri sendiri tidak mendapat manfaat.

Demikian ibadat puasa yang Allah Taala syariatkan buat umat Islam. Bukan puasa itu sekadar persediaan menghadapi dugaan lapar dan dahaga, tetapi iman juga di uji sedemikian. Justeru, puasa yang dilaksanakan perlulah dengan Iman. Persediaan iman menghadapi ramadhan itu perlu dipastikan sebelum menjalaninya. Jika tidak, berlaku kisah seperti yang saya ceritakan sebentar tadi sedang berpuasa dan mahu bersolat, tetapi melakukan keaiban di hadapan Allah. Kerana puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Tetapi mendidik diri dan jiwa menjadi sabar. Sabar itu menjadikan nilai iman meningkat dari satu tahap ke satu tahap. Berpuasa tanpa iman bagai jiwa yang kosong di bawa menuju Ilahi. Bagai ibadah tanpa persediaan.


Ramadhan Yang Mendidik Jiwa

Bulan ramadhan manusia mudah melaksanakan tuntuan Allah buatnya. Masjid dan surau-surau penuh setiap malam. Terasa pesta ibadah yang cuba dihidupkan oleh umat Islam ketika ini. Terasa mudah memberi sedekah. Ringan mahu menghabiskan masa membaca al-Quran di masa lapang. Perkara sedemikian amat sukar didapati di bulan-bulan yang biasa. Lihat, bagaimana Allah mentarbiyah hambanya dengan kaedah yang begitu berbeza. Menaikkan taraf manusia ke martabat yang lebih baik dari sebelumnya. Inilah yang Allah sebutkan di dalam potongan ayat yang disebut sebelum ini "laallkum tattakun" . Dipenghujung ayat itu Allah mensasarkan natijah taqwa itu didalam jiwa manusia yang menjalani ibadah puasa.

Taqwa jika dirujuk dalam kamus arab juga mengatakan takut kepada Allah. Takut itu juga adalah subjektif buat setiap manusia. Namun apa yang dikatakan takut kepada Allah itu adalah sentiasa merasai kewujudan Allah itu dan istiqamah melaksanakan ibadah kerana Allah semat-mata. Hasil dari tarbiyah Ramadhan ini akan mencetus taqwa dalam diri manusia. Namun terlebih dahulu iman itu perlu ada di dalam jiwa. Agar diri yang terdidik punyai persediaan dan bekalan yang mencukupi

Umat Islam wajib menghayati bulan Ramadhan dan ibadah puasa ini sebagai satu jalan tarbiyah dan usaha mendidik diri dan jiwa. Rohani dan jasmani. Pasti natijah yang dijanjikan Allah itu akan diperolehi. Jika Ramadhan itu tidak dilalui dengan iman dan usaha mencapai taqwa, hasilnya yang dapat dilihat, rata-rata umat Islam yang sibuk menyiapkan persiapan raya hingga terabai ibadah Ramadhan. Bahkan puasa yang dilaksanakan seharian berakhir dengan pembaziran makanan yang tidak terjamah. Bukankah puasa itu sebagai jalan mendidik diri merasa susah payah dan keperitan hidup mereka yang tidak berkemampuan menjalani kehidupan. Jika iman dijadikan ukuran utama sebelum menjalani ibadah puasa, pasti Ramadhan itu akan lebih meriah dengan cara yang sepatutnya.

Sabar Itu Sebahagian Iman

Dari abu Hurairah r.a, Rasulullah s.aw bersabda :

" Barangsiapa mendirikan Ramadhan dengan Iman dan bersungguh-sungguh, diampunkan dosanya yang telah lalu "

Iman dalam erti kata membenarkan itu adalah membenarkan segala yang disampaikan oleh Rasulullah sa.w kepada umat Islam. Segala yang disampaikan itu merupakan syariat yang wajib dilaksanakan. Semestinya segala amal ibadat itu disertakan dengan sabar dalam melaksanakannya agar berterusan dan ikhlas melakukannya. Justeru, puasa merupakan ibadah yang benar-benar menguji diri dan iman manusia. Menjadikan manusia itu lain dari hari-hari yang biasa. Sabar atau tidak istiqamah padanya bergantung pada iman yang tersedia menjalani bulan Ramadhan selama sebulan.

Natijah yang dijanjikan Allah hanya satu, iaitu taqwa. Puasa hari ini yang kita laksanakan menjadikan natijah ibadat kita itu berbeza-beza dan berbagai-bagai. Sama-sama kita nilai sejauh mana iman kita, apa natijah Ramadhan kita kelak. Muhasabah diri kita sebelum dihisab.

"Kebaikan itu dijadikan pengajaran, keburukan itu dijadikan sempadan"

"Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza"

-4 ramadhan 1430 / 25 Ogos 2009-

2 comments:

mr_rashidi said...

:: salam ramadhan ::

zanuara said...

sama-sama kita menghayati ramadhan sebaiknya.

:: salam ramadhan ::