Friday 22 October 2010

Islam Dan Kasih Sayang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyang. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. pembawa rahmat sekalian alam. Hari ini, kita panjatkan kesyukuran atas segala nikmat dan kemewahan yang dikurniakan. Wujud juga segelintir yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Bagi mereka segalanya atas usaha sendiri, bukan Allah yang punya sifat Maha Memberi. Anehnya, tatkala diuji, ditimpa bala, mula sedar ia yang datangnya dari Tuhan. Adakah Allah yang acapkali disebut Maha Pemurah tidak adil atau manusia yang tidak pernah bersykur ke atas Pencipta.

Senang ujian, Susah Juga Ujian

Pengalaman baru apabila memasuki dunia pekerjaan yang memaksa saya bergaul dan berhubung dengan pelbagai ragam manusia. Tidak kira agama, bangsa malah umur juga pelbagai. Mungkin suatu kebiasaan bagi sesetengah yang sudah biasa belajar atau bekerja di persekitaran sebegini. Namun bagi saya ia cukup asing. Mula bersekolah agama dengan Islam yang berbangsa Melayu, seterusnya menyambung pengajian di timur tengah yang mejoritinya Islam. Biarpun budaya melayu itu kurang, namun gaya hidup Islam itu memenuhi ruang persekitaran. Sekaligus menjadikan ini satu kejutan apabila setiap hari perlu menghadapi situasi berbeza kini. Namun, saya percaya doa saya pada Allah letakkan saya di tempat yang baik dan sesuai. Adakalnya persekitaran penuh cabaran ini menjadikan kita lebih cintakan agama. Melihat penganut lain sayangkan agama mereka, ikutinya dengan sebaik mungkin, namun Islam yang dijanjikan Allah satu-satunya agama disisi-Nya, bagaimana kisahnya? Adakalanya menginsafkan.

Sesetengah manusia menggangap bila mula membuat kebaikan, pasti akan ditimpa ujian. Bila meningggalkan kebaikan atau amal ibadah, hidup terasa senang, tidak ditimpa kesusahan, wang dapat mencurah-curah, hidup terasa bahagia. Persoalannya, adakah ujian atau dugaan Allah itu hanya datang dalam bentuk kepayahan,keperitan,kemiskinan sahaja? Memang termaktub dalam al-Quran, Allah akan menguji hambanya dengan ciri-ciri sebegitu,namun pengakhirannya suatu yang indah kerana janji Allah akan ada berita gembira buat mereka yang sabar. Jelas, bukalah suatu hukuman atas ujian yang ditimpakan. Firman Allah s.w.t :

“ Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira bagi mereka yang sabar ” ( al-Baqarah : 155 )

Namun, dalam ayat yang lain, secara umumnya Allah sudah pasti akan menguji seseorang itu tatkala seseorang insan mengaku beriman pada-Nya. Konteks ayat ini lebih luas membuktikan ujian atau dugaan dari Allah itu akan hadir dalam pelbagai bentuk. Kurang adil kiranya seorang insan merasakan bahawa tatkala diuji dengan kesusahan, bala itu baru dikatakan ujian, sedangkan kesenangan itu juga ujian untuk melihat sejauh mana si hamba mampu bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan. Ujian berat dan susah Allah berikan agar manusia bersabar dan berpegang teguh pada-Nya. Kesabaran itu yang akan menjadi ganjaran padanya. Tiada kerugian sedikit pun jika mampu menilai setiap pemberian Allah. Ujian kesenangan, kekayaan, keseronokan itu menilai sejauh mana hamba bersyukur, menggunakan harta dan kelebihan sebaik mungkin yang penting sejauh mana hamba itu mampu bersyukur.

Firman Allah s.w.t :

“ Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedang kamu tidak diuji ” (al-Ankabut : 2 )

Sayangnya, ramai manusia tersilap menilai. Malah adakalanya menjadi lupa atas segala nikmat yang dikurnia hanya sementara. Terlupa pada pemilik segala yang dipinjamkan. Konsepnya mudah, jika mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah akan menambahkannya, begitu juga sebaliknya sekelip mata Allah mampu menariknya semula. Kadangkala terasa nikmat banyak namun sentiasa tidak cukup. Juga tanda balasan kerana hilangnya rasa bersyukur. Allah menetapkan perkara sebegini kerana mukjizat al-Quran itu sendiri cukup agung. Dapat menggambarkan sikap manusia yang hari ini kita lihat semakin menular membesar diri.

Berusaha kembali pada-Nya

Logiknya segala yang Allah Taala jadikan di muka bumi ini tidak pernah sia-sia. Pasti ada manfaat untuk digunakan oleh makhluk. Kronologi segala ujian yang Allah datangkan kepada manusia tidak lain tidak bukan semata-mata mahu hambanya kembali. Bukan kerana berkehendakkan makhluk yang diciptakan, tetapi atas dasar kasih sayang pada hamba-hambanya agar tidak terleka seterusnya tersasar ke lembah kehinaan.

Susah atau senang pokoknya sentiasa ingat dan kembali pada Allah. Itu sudah pasti yang jalan terbaik. Ujian susah agar manusia ingat padanya, kembali memohon rahmat dan bantuan, ujian senang agar manusia bersyukur, membelanjakan kemewahan ke jalan yang betul. Jelas, keduanya bermatlamatkan hamba kembali kepada Pencipta Yang Maha Esa.

Dalam kitab al-Hikam ada menyebutkan, jika berbuat dosa, jangan berputus asa untuk mendekatkan diri pada Allah. Adakala, bila menyedari kelemahan manusia putus asa untuk mengadap Allah kerana bagi mereka tiada ruang dan peluang untuk kembali. Sedangkan Allah itu maha Penyayang dan Maha Pengampun, Setiap hari Allah bertanyakan pada malaikat tentang hambanya yang berdoa dan memohon keampunan untuk diterima. Namun, sejauh mana manusia menghargainya.

Jika suatu masa dahulu, belajar di sekolah diwar-warkan dengan hukuman melakukan dosa ini dan itu. Tanpa menceritakan luasnya kasihsayang Allah, imbangkan semula ia dengan rahmat dan kasih sayang Allah itu meliputi segalanya di dunia ini. Kasih sayang Allah pada hambanya mengatasi kemarahan-Nya. Sedar atau tidak Allah sentiasa memberi ruang pada hambanya untuk kembali dan mendekatkan diri kepada-Nya. Wajarlah Allah Taala khabarkan dalam al-Quran berapa ramai yang sedar akannya?

“ dan sedikit dari hambaku yang bersyukur “