Monday 29 December 2008

Antara Harapan dan Keperluan

Tatkala umat Islam di Palestin bergolak kerana serangan dilancarkan selepas genjatan senjata, kami di sini hanya mampu mengirimkan doa dan bersolat memohon pada Allah Ta'ala agar mereka diberi kekuatan dan bantuan. Manakala tentera israel laknatullah dihancurkan oleh Allah. Doa qunut nazilah yang saya letakkan di awal artikel ini dengan harapan agar kita dapat sama-sama mengamalkannya secara berseorangan atau berjemaah. Antara kandungan doa tersebut adalah mohon keizzahan umat Islam dan dijatuhkan puak kuffar yang menindas umat Islam.

Antara harapan dan kemampuan

Buat kami yang berada dekat dengan bumi Palestin, memang terasa bahang kemarahan dan kebangkitan kerana auranya terasa dekat berbanding ketika di Malaysia. Saya sendiri akui sungguh berbeza apa yang dirasakan. Namun,biarpun dekat hanya beberapa batu bukanlah suatu yang mustahil untuk kami sampai ke sana. Siapa yang tidak mengimpikan syahid? Seteruk mana pun seseorang itu,tatkala saudaranya sendiri dizalimi pasti akan terasa. Itulah ukhwah Islam yang tidak mungkin ada pada agama-agama lain. Apakan daya, tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang digalaskan di bahu kami masih belum sempurna. Hanya doa yang berterusan buat pejuang Islam di sana moga Allah berikan kemenangan. Saat ini Kalam Allah Ta'ala benar-benar memberikan semangat buat pejuang Islam:

" katakanlah telah datang yang haq itu dan yang batil itu telah lenyap, sesunguhnya yang batil itu sesuatu yang pasti lenyap "
al-Isra' : 81

Janji Allah taa'la yang pasti berlaku. Namun, tanpa kekuatan umat Islam itu sendiri, mana mungkin mematahkan serangan kafir laknatullah yang tidak henti-henti menindas. Janji Allah itu pasti, tetapi kitalah yang bertanggungjawab menjadikan ia satu kenyataan.

Demonstrasi

Acapkali, kita lihat demo dilakukan dimana-mana. Hinggakan di Malaysia sendiri, demonstrasi secara aman telah semakin giat dilakukan. Baru-baru ini di jamiah (umiversiti) saya sendiri telah diadakan satu demonstrasi selepas serangan pertama ke atas Gaza.

Setibanya saya di jamiah, kedengaran sayup-sayup suara bagai ada rusuhan. Namun, tak terlintas akan adanya demo dengan kawalan oleh pihak jamiah sendiri. Habis kelas, sempat saya cuba mengekori sekumpulan pelajar yang rupanya, sedang melaungkan kekesalan,kemarahan dan bantahan mereka terhadap serangan di Gaza. Rasanya inilah kali pertama melihat demo sedemikian di jamiah. Yang menarik, laluan demo tersebut dikawal oleh pegawai-pegawai jamiah moga dapat bergerak dengan lancar. Rupanya demo yang dilakukan dengan kebenaran. Saya sangkakan biasanya demo-demo yang ingin dilakukan di Universiti jaramg sekali mendapat kebenaran. Sayangnya, saya tidak dapat ikut hingga akhir kerana perlu ke kelas berikutnya. Menurut sahabat yang dapat ikut hingga akhir,sebahagian pensyarah ada juga yang menyertai penutup dengan melakukan solat jenazah ghaib buat mereka yang terkorban.

Di saat-saat genting sedemikian membuktikan sebenarnya umah Islam mampu bersatu membina kekuatan. Bukan sekadar mendapat berita menjadikan halwa telinga bagai mendengar lagu seharian.

Mendidik jiwa pejuang

Sebenarnya, apa yang dilakukan pihak jamiah dengan memberikan kebenaran sedemikan rupa, mampu memberikan impak kepada jiwa pelajar Islam khususnya yang semakin cetek dengan semangat perjuangan. Mana tidaknya, setiap hari hanya disogokkan dengan hiburan yang mampu merosakkan jiwa jika ia digunakan secara berlebihan. Hiburan suatu yang perlu dalam kehidupan, namun keperluan hanya sekadarnya bukannya berlebihan. Apabila wujudnya situasi sebegini, seolah-olah menyuntik jiwa agar lebih bersemangat, mendidik diri punyai jiwa pejuang yang paling penting wujudnya kesedaran bahawa umat Islam ini bersaudara dan memerlukan satu sama lain. Sabda Nabi s.a.w :

" seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti sebuah bangunan kukuh,saling menguatkan antara satu sama lain. dan baginda mencantumkan kedua tangan dengan jarinya ( menunjukkan begitu rapat hubungan tersebut ) "


Pada pandangan saya sendiri sebagai seorang pelajar, adakalanya perlu kepada perkumpulan sebegini dan pelajar turut serta. Sekurang-kurangnya dapat mengembalikan roh pejuang itu sendiri, dimana sebenarnya pelajar itu seorang pejuang.Bukan hanya pergi ke kelas, balik dan tunggu masa peperiksaan. Malah tugas pelajar itu lebih dari itu.Dari seorang pelajarlah akan munculnya generasi yang akan datang. Rosaknya mahasiswa,pemuda, itulah gambaran dunia akan datang. Apatah lagi ingin mewujudkan pemuda yang sayang dan cintakan saudara seIslamnya sendiri. Bukanlah satu perkara yang mudah. Contohnya pada hari tersebut, pelajar-pelajar arab khususnya, biasanya hanya bersandar di dinding-dinding mendengar lagu, bersantai berbual kosong, tiba-tiba mampu bersama-sama melaungkan takbir, mengangkat kalimah Allah. Terasa besar sebenarnya kekuatan umat Islam.

Cermin masa depan


Pokok pangkalnya ukur baju di badan sendiri. Setiap insan punyai apa yang mereka impikan, punyai apa yang mereka fikirkan. Apa yang kita fikirkan sekarang, itulah yang bakal kita gapai pada masa akan datang. Jika tiada apa yang difikirkan atau dirancang, maka mereka merancang untuk gagal sebenanrya. Mungkin sekarang kita hidup dalam suasana aman damai, kurang rasa peduli kita, kurang rasa risau kita terhadap musuh. Sedangkan secara diam-diam, kita sedang diracun dan dirosakkan. Itu lebih-lebih lagi berbahaya kerana musuhnya bukan didepan mata. Berbanding mereka yang diserang di depan mata sudah tentu jelasnya perjuangan mereka.

Tapi bagaimana dengan kita? Apa yang kita perjuangkan? Tatkala penulis bertanyakan persoalan ini. Diri ini lebih-lebih lagi mencari erti perjuangan...

* maaf,ayat Quran dan Hadith hanya dapat bg terjemahan.Masih mencuba software yang sesuai...














No comments: