Wednesday 31 December 2008

Masih Membina Azam?

" Ape azam ko tahun baru ni? " tanya seorang sahabat pada saya semalam. " rasanye azam yang tahun lepas pun macam tak sempurna lagi jer...hehehe" balas saya ringkas. Itulah ungkapan yang kerap kita dengar tatkala hadirnya tahun baru. Azam demi azam diperbaharui, tetapi sejauh mana azam yang lepas benar-benar terlaksana. Ataupun isu azam ini hanya bahan sembang yang dijadikan adat setiap tahun baru.

Azam Dan Hijrah

Bukan tidak mahu melayan tatkala ditanyakan mengenai hal ini, cuma masih berfikir-fikir sejauh mana sebenarnya terlaksana azam yang dikabarkan itu. Kadangkala, ia memang benar-benar hanya untuk awal tahun. Di mana akhirnya kita kembali seperti yang asal. Saya mula terfikir ada baiknya jika azam yang kita citakan itu dijadikan satu hijrah dalam kehidupan. Apa yang dilihat, jika azam yang dicitakan, mungkin ia hanya tinggal azam. Namun, jika hijrah yang kita lakukan matlamatnya nampak lebih jelas. dimana penghijrahan itu memerlukan satu pengorbanan dan perancangan yang benar-benar teliti.

Perasaan mula terdetik sebegini, tatkala kita menyambut dua tahun baru yang hampir-hampir tarikhnya. Awal Muharram 1430 dan tahun 2009 yang hanya selang beberapa hari. Tidak dinafikan, kadangkala kita lebih mengingati tahun 2009 dari tahun 1430. Justeru, pada tahun ini saya cuba untuk lebih peka bila datangnya awal Muharram dan meraikannya dari datangnya Januari. Cuba untuk lebih peka mengenai peristiwa hijrah nabi kita dari mengenang mana asal usul tahun masihi yang tidak dikenalpasti.

Firman Allah Ta'ala :

" Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi "
al-taubah :36

Antara kandungan lain ayat tersebut menrangkan 4 bulan haram dalam Islam iaitu Muharram,Rejab,Zulkaedah dan Zulhijjah dimana diharamkan berperang pada bulan tersebut. Tidak mustahil juga serangan pihak kuffar baru-baru ini kerana ingin menghina tahun baru yang akan disambut umat Islam. Kegembiraan yang sepatutnya diraikan, bertukar menjadi kedukaan.

Sayangilah Diri

Adakalanya azam kita citakan tidak menjadi. Mengakibatkan kadangkala lemah semangat, dan putus asa. kemungkinan juga menyalahkan diri sendiri. Bila berlakunya sedemikian, seolah-olah kita menzalimi diri ini sebenarnya. Perlu diteliti, adakalnya perancangan tidak benar-benar rapi mengakibatkan segalanya serba tidak kena. Itu yang saya maksudkan, kerana setiap perkara yang ingin dilakukan perlulah dengan kemampuan diri itu sendiri. sekiranya berlaku pertentangan, itu dinamakan zalim. Bila mana sesuatu perkara diletakkan bukan pada tempatnya.

Mengimbau isi ceramah Maal Hijrah yang diadakan baru-baru ini, sebelum penghijrahan Nabi s.a.w ke Madinah, Baginda telah berhadapan dengan ancaman dakwah, malahan ancaman bunuh keatasnya. Pelbagai ujian dan dugaan yang baginda lalui. Lalu perintah berhijrah oleh Allah Ta'ala merupakan permulaan kejayaan dalam Islam. Allah tidak perintah berhijrah dalam keadaan Nabi s.a.w tidak bersedia dan tidak punyai persiapan dengan segala dugaan dan ancaman. Malah persediaan rapi telah Allah pastikan agar dakwah berkembang dengan cemerlang selepas itu.

Demikianlah halnya hijrah dalam diri kita. Azam dan penghijrahan yang ingin dilakukan perlulah dalam keadaan bersedia. Agar diri tidak terasa dizalimi kerana ingin membuat sesuatu tanpa kemampuan diri sendiri. Allah Ta'ala berfirman dalam surah Ali-Imran : 117

" Dan Allah tidak menzalimi mereka(manusia) tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri"

Faktor diri manusia itu sendiri amat penting dalam melakukan perubahan. Persekitaran hanya juzuk-juzuk kecil yang membantu dalam pembentukan hijrah dan perubahan. Contohnya, seorang yang ingin berhijrah menjadi seorang yang menepati masa, bukanlah membeli jam baru atau menukar semua temu janji pagi kepada sebelah petang agar tidak menggangu waktu tidur menjadi punca perubahannya. Tetapi, empunya diri bagaimana mengambil berat, dengan setiap pekerjaan yang dilakukan, kerana semua melibatkan 24 jam yang Allah telah berikan sama rata untuk semua makhlukNya. Bahkan dirinya sendiri yang perlu tidur lebih awal dan cuba latih diri berjaga awal pagi agar tidak terlepas segala temujanji. Inilah yang saya katakan faktor diri itu sebenarnya memainkan peranan penting dalam setiap penghijrahan dan keazaman yang dibentuk.

Jadilah Rasional

Untuk menjadi rasional bukanlah menjadikan diri manja tanpa dicabar. Tetapi berfikir dengan kemampuan diri secara relevan agar diri tidak dizalimi. Hal ini penting agar, perkara-perkara yang kurang baik tadi dapat kita elakkan. Jika ingin menyimpan azam baru, tunaikanlah yang masih tertunda kerana kita hanya akan membuat binaan azam yang tidak tahu entah bila siapnya. Jika ingin berhijrah, persiapkanlah diri agar hijrah yang berlaku bukan satu kejutan yang akhirnya membuatkan diri kecundang di tengah jalan. Jadilah rasional dalam memilih jalan masa depan dan cuba untuk mencabar diri melakukan sesuatu, agar kemampuan diri dapat ditingkatkan bukan sentiasa berada di zon selesa tanpa perubahan. Buatlah pilihan sama ada mahu menjadi seorang yang membina azam demi azam hingga bertahun lamanya ataupun setiap tahun berusaha berhijrah dari masa silam menuju ke masa hadapan.Keputusannya di tangan anda.

:: Salam Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru 2009
buat semua pengunjung blog ini ::


No comments: