Friday 27 March 2009

Belang dan Nama

"Harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama"

Peribahasa melayu yang amat biasa kita dengar disebut-sebut tatkala seseorang meninggalkan sesebuah tempat. Namun, maksudnya luas yang boleh ditafsirkan perlbagai maksud. Terdetik juga hati ingin menulis mengenai perihal ini. Semenjak 2 bulan yang lalu, semakin ramai sahabat-sahabat yang mula meninggalkan bumi mafraq, tempat kami duduk bersama hampir bertahun. Di sini jugalah terpahat segala kenangan, suka dan duka sepanjang kita bersama. Namun, bukan itu yang ingin dikongsikan disini. Cuma ingin mencari hikmah disebalik segala ketentuan Ilahi dalam setiap kehidupan bernama manusia.


Pilihan Ditangan Sendiri

Apabila melihat semula pada peribahasa melayu di atas, dikatakan manusia mati meninggalkan nama. Makna sebenar mati itu bukanlah sekadar hanya perkataan mati itu. Tetapi, jika seseorang meninggalkan sesuatu tempat kerana berhijrah atau berpindah walaupun bukan kerana mati, masih juga perkara yang sama berlaku. Mereka tetap akan dikenang, bukan? Jadi, luaskan pandangan kita kerana sebenarnya pepatah melayu, jika dilihat secara mendalam, maknanya begitu telus.

Kembali kepada persoalan tadi, apa yang seseorang itu ingin tinggalkan adalah atas pilihannya sendiri. Tiada siapa berhak memaksa dalam diri kita membuat pilihan. Jika tidak, itu dinamakan hipokrit. Kerana memutuskan sesuatu yang bukan kehendak dirinya. Begitu juga sahabat-sahabat seperjuangan yang telah pulang ke Malaysia setelah berhempas pulas belajar di perantauan. Konteks secara amnya kita menetap dalam sebuah negara yang sama, sudah tentu adakalanya bertemu rakan sebangasa melayu tatkala adanya program atau majlis besar-besaran. Diri kita akan dinilai di situ. Baik,buruk segalanya terletak pada mata penilai. Namun, jika dilihat dalam konteks yang lebih khusus, seperti rakan-rakan semantiqah@ sekawasan sudah tentu kita lebih dikenali. Lebih-lebih lagi yang serumah ataupun berjiran. Jadi, bagaimana kita ingin di kenali? Diri kita adalah bahan nilaian setiap masa dimata manusia.

Hakikatnya, ada manusia yang ingin dikenang,diingati sebagai seorang yang banyak berjasa. Wujud juga sebahagiannya yang tidak pernah ingin peduli bagaimana dirinya dimata manusia sekelilingnya iaitu rakan dan sahabatnya sendiri. Namun, mahu atau tidak bukanlah persoalannya. Perginya seseorang pasti akan menjadi ingatan dan kenangan. Langkahnya sahabat meninggalkan rakan-rakan pasti membibitkan kisah-kisah yang pelbagai. Walaupun empunya diri tidak pernah meminta diceritakan tentang dirinya.

Oleh itu, pilihan ditangan kita sendiri. Bagaimana kesudahannya setelah kita meninggalkan rakan-rakan dan sahabat hanya dengan kisah silam dan kenangan. Jika ingin dikenang dengan segala kebaikan, lakukanlah ia dengan sebaik mungkin dengan niat yang ikhlas. Tetapi, jika sebaliknya yang berlaku, itulah dunia yang suatu masa dahulu kita pernah ciptakan untuk diri kita dikenang.

Ingin Jadi Hero

Kadangkala jika bergiat aktif dalam persatuan lebih mudah dikenali atau lebih popular dikalangan rakan-rakan. Menjadi seseorang yang aktif ini adalah perkara yang baik, kerana itu adalah latihan bagaimana menghadapi situasi masyarakat di luar sana setelah kembali ke medan perjuangan sebenar. Namun acapkali kita lupa bahawa jika lebih dikenali, lebih banyak mata yang memandang, semakin tinggi juga nilaiannya. Itu yang membuatkan seringkali niat baik bergiat aktif dalam persatuan membawa padah. Akhirnya nama buruk yang terpahat dek kerana terlalu taksub mengejar nama dan pangkat. Bukan persatuan yang harus disalahkan, tetapi manusia yang diberi akal oleh Allah perlu lebih berfikir.

Rasulullah s.a.w bersabda :

" Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipersoalkan diatas apa yang telah dipimpinnya "

Ada juga sesetengah pelajar, yang tidak aktif dalam persatuan namun tetap dikenali dengan seseorang yang baik serta sentiasa memberi sokongan kepada persatuan. Dia juga mampu menjadi hero dimata rakan-rakannya. Tetapi alangkah baiknya jika kebaikan itu dapat dikongsikan dan menjadi contoh kepada seluruh rakan-rakan yang lain. Oleh itu, jadikanlah diri sebagai pemimpin yang cemerlang semoga kebaikan dalam diri ini dapat dipelihara bahkan dikongsikan bersama rakan seperjuangan yang lain agar menjadi contoh teladan.

Tidak Pedulisme

Meminjam istilah Ustaz Hasrizal yang begitu sinonim dikalangan mahsiswa kini. Tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku pada dirinya apatah lagi persekitarannya. Agak sukar untuk ditafsirkan insan sebegini kerana seolah-olah tidak menghargai dirinya sebagai makhluk ciptaan sempurna di muka bumi ini. Biarpun diri dicaci, dikeji, masih merasakan dirinya berada dilandasan yang betul. Dalam al-Quran sendiri Allah s.w.t berfirman :

"Peliharalah diri kamu dan ahli keluargmu dari api neraka"

Allah memulakan agar manusia itu menjaga dirinya dahulu sebelum ahli keluarganya yang lain. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi jika dirinya sendiri belum tentu bagaimana, apatah lagi ingin menyelamatkan yang lain. Umpama seseorang yang tidak pandai berenang, tetapi mahu menyelamatkan orang yang lemas. Khitab Allah Ta'ala meletakkan empunya diri terlebih dahulu ada kepentingannya untuk difikirkan.

Begitu juga terdapat sebahagiannya yang gemar memburuk-burukan persatuan dan hanya mencari kesilapan pimpinan yang sebenarnya sahabat mereka sendiri. Akhirnya mereka dikenali sebagai pembela yang agung. Hanya itukah yang kita inginkan dalam kehidupan dikalangan kelompok kecil. Masing-masing berlatih untuk menabur bakti kepada masyarakat. Belajar, untuk membela dan membantu masyarakat, bukannya mencucuk duri didalam daging. Umat yang semakin kucar-kacir, kita hadir menjad pemecah belah.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

" Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkata baiklah ataupun hendaklah ia diam..... "

Renungkan bersama, mengapa harus menjatuhkan air muka dan memburukan persatuan yang kita sendiri bernaung dibawahnya. Alangkah baiknya segala kekurangan dan kesilapan itu ditampung bersama. Indahnya ukhwah dalam Islam yang sentiasa memperbaiki kualiti hubungan sesama saudara Islamnya sendiri. Tidak perlu mencari kesilapan kerana ia pasti ada dimana-mana. Tetapi bantulah sahabat-sahabat kita yang mereka sendiri tidak pernah meminta menjadi pimpinan. Jika hari ini mereka dibantu dalam melaksanakan tugas, kemudian hari mungkin kita pula berada ditempat yang sama. Semoga kebaikan bersama yang dikongsikan itu menjadi manfaat dan dikenang kebaikan sepanjang hayat.

Erti Perjuangan Sebenar

Buat sahabat-sahabat yang telah tamat belajar dan kembali ke Malaysia, itulah medan juang sebenar kita. Masyarakat memerlukan bimbingan dan sokongan dari kalian. Jangan ilmu dan pengalaman yang dipelajari disimpan di dalam almari bersama kitab-kitab yang dibeli. Jadikan segala pengalaman kita disini sebagai pengajaran berharga agar kebaikan yang ada dikongsikan bersama, keburukan yang terlanjur dijadikan sempadan agar dihindarkan dari keluarga dan masyarakat. Semoga Allah sentiasa membantu dan memberkati perjuangan kita. Salam rindu buat kalian semua.

No comments: