Sunday 8 March 2009

Aku Cintakan Dia

Bismillah.....

Hari ini, rata-rata di seluruh negara bercuti sempena ulangtahun kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Sebenarnya, tarikh kelahiran Baginda juga khilaf dikalangan ulama' dan yang pasti ianya pada hari Isnin bersamaan Rabi'ul Awwal,tahun gajah. Namun, masa untuk mengingati Baginda bukannya bermusim, bahkan bukannya waktu cuti umum sempena maulid Nabi s.a.w. menyuburkan ingatan dan rasa kasih kita terhadap Baginda adalah setiap masa. Sepertimana Baginda sendiri tidak pernah melupakan ummatnya sehinnga di penghujung nafasnya sendiri menyebutkan "ummati,ummati,ummati" . Menyebutkan perkara ini, mungkin seluruh pelusuk dunia mengetahuinya. Tetapi adakah kita cuba merasakan kasih sayang dan rasa cintanya tatkala mengucapkan kalimah itu.


Sekadar Mengingatkan


Sambutan sebegini memang tidak dilakukan Rasulullah. Di zaman mereka baginda masih lagi wujud. Menyebarkan ajaran setiap masa. Malahan rasa cinta dan hormat mereka pada baginda masih segar. Membayangkan saat kehidupan para sahabat disisi Rasulullah alangkah indahnya suasana iman yang memekar. Ilmu yang tidak putus diterima. Malahan teguran dan gurau senda baginda bagai terbayang-bayang. Sesungguhnya diri ini bersyukur walau tidak bersua,namun masih terpilih menjadi ummatnya.

Memandangkan zaman kini yang sibuk dengan pemesatan pembangunan, manusia sibuk dengan segala hal. Tidak mustahil sirah perjuangan nabi dan para sahabat akan luput dari ingatan. Tidak ramai yang mahu bercakap mengenai perjuangan Baginda. Apatah lagi menjadi perbincangan keluarga di rumah. Cuma di masjid-masjid dan surau kadangkala ada ceramah-ceramah yang dijalankan membincangkan hal sirah Nabi s.a.w. Tetapi sejauh mana sambutannya? Tambahan pula, anak-anak muda kurang mengunjungi tempat-tempat sebegini. Pendengarnya hanya pakcik,makcik yang tidak pasti lagi dapat menyampaikannya pada anak-anak muda akan datang atau tidak.

" esok kau kerja tak? "
" eh! kerja watpe? kan esok cutilah..."
" cuti ape plak mase-mase nih "
" itulah, asik ingat bulan masihi jer. kita kan dalam rabiul awwal"
" oh yer, esok cuti maulid yer"

Sekurang-kurangnya, adanya cuti dan sambutan sempena mengingati kelahiran Baginda s.a.w, dapat juga menyuburkan kembali rasa rindu dan cinta pada Baginda. Oleh sebab ini juga Yusuf al-Qardhawi telah menyatakan bahawa sambutan sebegini diharuskan dalam Islam. Kerana umat Islam sudah semakin jauh dengan Islam dan sejarah perjuangan Baginda. Jadi kita fikirkanlah sesuatu buat mereka diluar sana yang mungkin kurangnya pendedahan terhadap perkara sebegini. Semoga dalam sambutan sebegini, dapat juga kita kembali mengingatkan diri mengenai Baginda s.a.w.

Sukarnya Menjadi Umar r.a

Di saat kewafatan Baginda s.a.w, sekalian sahabat berada dalam kesedihan yang amat sangat. Baginda meminta izin untuk berada di rumah Aisyah tatkala saat terakhir kewafatan Baginda s.a.w. Di saat subuh yang terakhir, kerana keuzuran yang teramat, Baginda meminta Abu Bakar mengimami solat ketika itu. Dari kejauhan mereka dapat melihat baginda dari balik tirai dibiliknya dan Baginda tersenyum. Mereka sangka nabi akan kembali berjemaah bersama, namun nabi kembali ke biliknya. Pada waktu itu, sahabat merasakan bahawa Baginda sudah mula sembuh dan kerisauan mereka mula reda. Namun senyuman itu menahan sakit sebenar dalam dirinya agar sahabat tidak merasakannya. Baginda tersenyum kerana merasa ummatnya mampu meneruskan ibadah walaupun tanpa dirinya. Kini Baginda sudah bersedia...

Tatkala diberitakan kewafatan Baginda. Seluruh alam sayu dan kesedihan. Perlbagai reaksi dari para sahabat mendengar bahawa Baginda telah wafat. Termasuklah yang tidak dapat menerimanya iaitu Umar r.a. Saidina Umar yang terkenal dengan kegarangannya tidak dapat menerima bahawa insan yang dicintainya telah meninggalkannya. Dia berteriak kepada sahabat di situ ketika itu..

" Baginda tidak wafat! Tetapi hanya pergi kepada Tuhannya sepertimana perginya Nabi Musa a.s. Dia hilang dari kaumnya 40 malam kemudian kembali semula. Allah akan kembalikan Rasulullah sepertimana Nabi Musa a.s.
Aku akan potong tangan dan kaki kalian sesiapa yang mengatakan Rasulullah wafat!! "


Datang Saidina Abu bakar ketika itu, bertemu Umar dan menenangkannya. Kerana keadaan marahnya teramat sangat. Lalu Beliau mengkhabarkan berita sebenar...

" Sesiapa yang menjadi hamba Muhammad s.a.w, sesungguhnya Muhammad s.a.w telah wafat. Sesiapa yang menjadi hamba Allah,Sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati... "

Firman Allah :

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan kembali ke masa dahulu (murtad) ? Barangsiapa yang kembali ke belakang, maka is tidak mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur "

Sebenarnya kemarahan Saidina Umar bukan kerana tidak mahu menerima kewafatan Nabi. Tetapi rasa cinta dan sayang pada Baginda membuatkan dia tidak mampu menerimanya. Bukan mudah untuk kita merasa dan menilai perasaan umar r.a ketika itu. Nilailah diri kita, sampaikah kita ke tahap itu untuk mencintai Nabi Muhammad s.a.w.


Buatmu Kekasih Allah

Ya Rasulullah, semoga rasa kasih dan cinta kami kepadamu kembali mekar seperti sahabatmu dahulu. Begitu besar pejuangan dan pengorbananmu buat kami. Semoga ummatmu ini akan terus usaha mengikut jejakmu dan berharap agar syafaat mu nanti menanti di sana.



Firman Allah s.w.t :

" Katakanlah : Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang "

2 comments:

anap_ilmi said...

sedap sore ko nyanyi nasyid.. :p

Anonymous said...

wakakaka...x leh bla..