Wednesday 1 April 2009

Usia : Bertambah atau Berkurang?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Serta Selawat dan Salam Buat Junjungan s.a.w yang tercinta....

Hari ini, manusia begitu gembira menyambut hari kelahiran. Tidak mengira apa jua peringkat sekalipun, bayi diraikan ibu bapa dan keluarga. Yang tua diraikan anak dan kawan-kawan. Namun dalam kegembiraan itu, adakah terdetik di dalam hati. Untuk cuba memikirkan, kiraan usia yang bertambah itu benar-benar bertambah atau pun petanda usia semakin berkurang?

Potongan dari hadith ke 4 dari Matan Arbain Imam Nawawi.Dari Ibn Mas'ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda :

"........kemudian dituliskan baginya 4 perkara, rezekinya, ajalnya, amalannya, susah atau bahagia....." Diriwayatkan Oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim

Usia Petanda Hidup Berkurang

Tatkala saya sendiri cuba memikirkan hal ini, terasa mula sebenarnya yang hari lahir yang hadir setiap tahun bagaikan kiraan atau countdown menanti masa yang Allah Ta'ala telah tetapkan buat hamba di awal-awal penciptaannya. Dalam keseronokan meraikan hari lahir yang tiba, kerana merasa syukur atas nikmat hidup dan limpahan rahmat dari Ilahi, ada baiknya juga jika kita mendidik diri agar mengingati perkara yang kedua selepas kegembiraan itu. Hari tamatnya tempoh kehidupan di dunia.

Bukanlah bermakna hari lahir perlu dikenang sebagai titik-titik kematian, tetapi jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk membina azam dan kekuatan yang lebih jitu, untuk menghadapi mehnah dan ujian yang bakal tiba. Justeru, ketetapan Allah itu pasti berlaku dan pastinya berkurang usia petanda hampirnya kepada ketetapan.

Jalan yang terbaik, jadikan ia sebagai satu muhasabah lengkap untuk setahun. Sepertimana kita disarankan untuk menghisab@muhasabah setiap hari. Jadikan ini sebagai muhasabah selesainya satu bab kehidupan yang dilalui. Adakalnya kita mula rancang mengarang lebih awal bab-bab kehidupan ini sebelum ia berlaku. Oleh itu, jadikanlah hadirnya ulang tahun kelahiran sebagai check-up adakah sama sepertia yang cuba dikarangkan sebelum ini, ataupun berubah seluruhnya. Sama-sama kita renungkan...

Seinfiniti Kesyukuran

Dalam melalui kehidupan seharian, pastinya manusia didatangi ujian dilimpahkan kebahgiaan dan kesenangan. Itulah lumrah kehidupan. Nikmat yang amat-amat berharga dalam diri manusia adalah kehidupan. Dalam fatrah hidup inilah segalanya perlu dilaksanakan. Keperluan dunia mahupun akhirat pelulah bergerak seiring agar adanya keseimbangan dalam kehidupan.

Firman Allah ta'ala :

" dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahgiaan) akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari (kenikmatan) di dunia, dan berbuat baiklah(kepada yang lain) sepertimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan "

(al-Qasas : 77)

Jelas, Allah juga mengingatkan dan mengajarkan manusia bagaimana menguruskan kehidupan dunia agar ia seimbang supaya manusia tidak terbeban dengan salah satu pilihan. Malah, ia perlu wujud keseimbangan antara keduanya. Yakni, ada masanya tidak salah bergembira dan seronok dengan kenikmatan yang diberikan, tetapi tidak sekali dilupakan jalan untuk kembali kepada-Nya, pemilik segala kebahgiaan itu.

Justeru, syukur atas segala yang Allah ta'ala telah kurniakan itu merupakan satu kewajipan buat diri manusia di dalam kehidupan. Dengan syukur itulah, akan ditambah lagi nikmat buatnya. Dalam hal inilah adanya kegembiraan dalam menyambut ulangtahun kelahiran. Peluang dan nikmat hidup yang berharga ini masih dipanjangkan tempohnya. Syukurlah atas segalanya kurniaan dari Ilahi buat hambanya di dunia ini.

Duhai diri

Selamat ulangtahun kelahiran kepadamu wahai diriku. Semoga kali ini memberikan lebih kesan mendalam dan kesedaran tentang kehidupan yang semakin banyak ranjaunya. Serta mengingatkan akan hampirnya ketentuan Allah buat dirimu. Jutaan terima kasih buat keluarga dan teman-teman yang sentiasa mendoakan diri ini. kalian juga sentiasa dalam doaku dan moga bersama mendapat keredhaan-Nya. ameen ya rabb..

-arulz-
0213 a.m
02-04-09
Mafraq,Jordan

No comments: