Saturday 19 September 2009

Dari Jauh Ku Pohon Maaf


Salam Lebaran Eidil Fitri Buat Semua


Begitu pantas masa berlalu, lebaran kian menjelma. Bagaimana natijah Ramadhan ? Sama-sama kita muhasabah moga mendapat tingkatan taqwa yang lebih baik dari sebelum ini. Menjelang hari lebaran ini kita digalakkan bertakbir, membesarkan Allah setelah sempurna menyempurnakan ibadah Ramadhan. Bagi yang menghayati puasa, pasti takbirnya lebih meriah, memberi kesan dihati, namun yang sebaliknya, hanya kemeriah sepanjang tahun yang diulang-ulang.

Firman Allah :

" Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan memuji Allah atas petunjuk yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur "
al-baqarah : 185

Mudah-mudahan takbir dan tahmid kita menjadi ibadah utama di malam lebaran hingga ke subuhnya. Itulah sebaik-baik sambutan.

Di perantauan Tahun Ini

Tahun ini cuma beraya di Jordan. Tidak pulang ke tanah air kerana berbaki setahun di sini, insyaAllah dan menyambut pelajar-pelajar baru yang tiba ke bumi Jordan ini. Moga raya kali ini lebih meriah dengan kedatangan ahli-ahli baru di Mafraq. Pada adik-adik dan sahabat-sahabat yang baru tiba, jangan bersedih hati. Biarpun keluarga jauh di mata, namun tetap dekat di hati. Inilah pengorbanan kita.

Keluarga juga tahun ini beramai-ramai pulang ke kampung di Lumut kerana menyambut lebaran kali ini bersama atuk. Kerana kesihatannya tidak begitu mengizinkan moga-moga kepulangan anak-anak dan cucu yang sudah mula berderet mampu menceriakan dan meringankan beban sakit atuk. Moga kalian semua bergembira kali ini, kemaafan dipinta tidak dapat bersama tahun ini. Nampaknya bergambar dengan kamera kecil sahajalah tahun ini. Namun kenangan raya tahun lalu tetap menjadi pengubat rindu buat kalian.


Dari Jauh Ku Pohon Maaf

Di kesempatan ini, saya ingin memohon jutaan kemaafan, dari hujung rambut hingga hujung kaki di atas segalah salah silap, terkasar bahasa, terguris rasa khususnya buat mak dan abah di Malaysia. Seterusnya buat adik beradik ayong dang keluarga, anyah dan keluarga, abg dan keluarga, kak N, dan Saleh. Walaupun tak dapat bersalaman, moga dosa-dosa kita digugurkan dan kiriman maaf ini sampai dihembus bayu.

Kemudian buat semua sahabat-sahabat seangkatan yang di Malaysia, di Jordan dan dimana sahaja kalian berada. Kemaafan dipinta buat kalian, moga lebaran kali ini bermakna buat kita.

Akhirnya buat semua pelawat dan pembaca, terima kasih kerana sudi meluang masa melawat dan memberikan pandangan di blog ini. Moga sama-sama beroleh manfaat. Kemaafan dipinta jika terkasar bahasa ketika menulis atau ada melukakan sesiapa.

تقبل الله منا ومنكم
كل عام وأنتم بخير

:: Ahmad Syahrul Adnan
:: 29 Ramadhan 1430
:: Mafraq, Jordan

No comments: