Saturday 19 September 2009

Dari Jauh Ku Pohon Maaf


Salam Lebaran Eidil Fitri Buat Semua


Begitu pantas masa berlalu, lebaran kian menjelma. Bagaimana natijah Ramadhan ? Sama-sama kita muhasabah moga mendapat tingkatan taqwa yang lebih baik dari sebelum ini. Menjelang hari lebaran ini kita digalakkan bertakbir, membesarkan Allah setelah sempurna menyempurnakan ibadah Ramadhan. Bagi yang menghayati puasa, pasti takbirnya lebih meriah, memberi kesan dihati, namun yang sebaliknya, hanya kemeriah sepanjang tahun yang diulang-ulang.

Firman Allah :

" Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan memuji Allah atas petunjuk yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur "
al-baqarah : 185

Mudah-mudahan takbir dan tahmid kita menjadi ibadah utama di malam lebaran hingga ke subuhnya. Itulah sebaik-baik sambutan.

Di perantauan Tahun Ini

Tahun ini cuma beraya di Jordan. Tidak pulang ke tanah air kerana berbaki setahun di sini, insyaAllah dan menyambut pelajar-pelajar baru yang tiba ke bumi Jordan ini. Moga raya kali ini lebih meriah dengan kedatangan ahli-ahli baru di Mafraq. Pada adik-adik dan sahabat-sahabat yang baru tiba, jangan bersedih hati. Biarpun keluarga jauh di mata, namun tetap dekat di hati. Inilah pengorbanan kita.

Keluarga juga tahun ini beramai-ramai pulang ke kampung di Lumut kerana menyambut lebaran kali ini bersama atuk. Kerana kesihatannya tidak begitu mengizinkan moga-moga kepulangan anak-anak dan cucu yang sudah mula berderet mampu menceriakan dan meringankan beban sakit atuk. Moga kalian semua bergembira kali ini, kemaafan dipinta tidak dapat bersama tahun ini. Nampaknya bergambar dengan kamera kecil sahajalah tahun ini. Namun kenangan raya tahun lalu tetap menjadi pengubat rindu buat kalian.


Dari Jauh Ku Pohon Maaf

Di kesempatan ini, saya ingin memohon jutaan kemaafan, dari hujung rambut hingga hujung kaki di atas segalah salah silap, terkasar bahasa, terguris rasa khususnya buat mak dan abah di Malaysia. Seterusnya buat adik beradik ayong dang keluarga, anyah dan keluarga, abg dan keluarga, kak N, dan Saleh. Walaupun tak dapat bersalaman, moga dosa-dosa kita digugurkan dan kiriman maaf ini sampai dihembus bayu.

Kemudian buat semua sahabat-sahabat seangkatan yang di Malaysia, di Jordan dan dimana sahaja kalian berada. Kemaafan dipinta buat kalian, moga lebaran kali ini bermakna buat kita.

Akhirnya buat semua pelawat dan pembaca, terima kasih kerana sudi meluang masa melawat dan memberikan pandangan di blog ini. Moga sama-sama beroleh manfaat. Kemaafan dipinta jika terkasar bahasa ketika menulis atau ada melukakan sesiapa.

تقبل الله منا ومنكم
كل عام وأنتم بخير

:: Ahmad Syahrul Adnan
:: 29 Ramadhan 1430
:: Mafraq, Jordan

Thursday 10 September 2009

Ramadhan Di Mu'tah

assalamualaikum..

Alhamdulillah, hampir jam 6 petang tadi selamat sampai di mafraq. Terima kasih buat Badan Kebajikan Anak Perak Jordan ( BKAPJ) atas jemputan bermakna sekali dalam majlis iftor semalam. Sebelum ini, payah benar rasanya mahu sampai ke Mu'tah, namun kali ini atas rasa tanggungjawab dan meraikan ahli di Mu'tah, selepas ini makin keraplah nampaknya menjejak kaki ke bumi Mu'tah. Biarpun perjalanan pergi dan balik hampir 8 jam merentas padang pasir seluas mata memandang, namun bumi Mu'tah ada keistimewannya tersendiri. Demi mu bumi syuhada' Mu'tah, ku gagahkan jua.

Jatuh Cinta Pandang Pertama

Sebenarnya, semasa KARISMA yang lepas hati mula terpaut di Mu'tah. Entah lain rasanya bila sampai di sana. Sejak dari itu, mula terdetik mahu lagi ke Mu'tah untuk kesekian kalinya. Damai, nyaman, bumi hijau yang pernah di simbah darah syuhada para pejuang Mu'tah, mungkin itulah kelainan yang terdapat di sana. Kisah peperangan Mu'tah benar-benar memberikan kesan dalam hati. Kerana teringatkan detik-detik peperangan tersebut. Manakan tidak, ketika melewati tapak peperangan sekadar lalu sahaja ketika itu, fikiran pantas terbayangkan saat-saat pertempuran tersebut. Terdetik dalam hati, mungkin begini dan begitu keadaannya.

Sejak dari semalam dapat menghirup lagi udara Mu'tah. Sempat berbuka dan sempat berterawih bersama penduduk Mu'tah. Saya sengaja menangguhkan perjalanan balik bersama pelajar lain dengan bas khas untuk bermalam di Mu'tah. Misi kali ini berjaya, dapat terus bermalam, sayangnya cuma dapat semalaman di rumah Amzari,Ikhwan,Syafik dan 2 pelajar baru Ali dan Zul kerana ada janji lain hari esok harinya. Namun memadai rasanya berbual hampir ke tengah malam dan akhirnya bersahur. Indahnya ukhwah terasa apabila duduk berjauhan dapat bersama-sama seketika. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sudi melayan kerenah kami yang datang bertandang.

Kelucuan

Sebenarnya ini kali pertama balik sendiri ke Mafraq menaiki bas awam. Berjalan seorang diri penuh tawakkal. Berbekalkan pelan perjalanan yang diberi saya memilih Mu'tah-Zarqa-Mafraq. Lebih mudah dirasakan perjalanannya dari singgah ke Amman dahulu. Tambahan berpuasa, tak terdaya rasanya mahu bertukar-tukar banyak bas. Syukur, sampai di mujamma' terus mencari bas Zarqa'. Mujur ada!

Seperti biasa bas-bas di Jordan menunggu penumpang penuh baru mulakan perjalanan. Tidak kira apa juga cara sekalipun, bas mesti di tunggu hingga penuh. Badget masa amat penting untuk mulakan perjalanan berada di Jordan ini. Sampai di Karak jam 2 petang. Bertolak jam 2 40 petang. Hampir sejam menunggu, bayangkanlah. Namun, cuba berlapang dada dengan apa yang berlaku. Melihat gelagat arab-arab dalam bas yang masing-masing kepanasan. Tamabahn pula tidak berhawa dingin. Makin dingin la dibuatnya semua penumpang.

" kholas muallim...ruh! "

" syuwai...fi kaman...fi kaman..jai2...

Berbagai lagi suara dari penumpang yang kadangkala membuat tersenyum sendirian. Dalam pada kepanasan menanti penuh, sempat juga konduktor menyindir jangan merokok. Kerna biasanya memang penumpang merokok sesuka hati. Tidak tahan agaknya perjalanan berjam-jam. Hanya disambut dengan senyuman dan sindiran kerana siapa pula mahu merokok siang-siang Ramadhan ini. Inilah barakahnya Ramadhan. Selamat rasanya hari itu kerana selamat dari menghidu asap rokok. Saya cukup alah dengannya. Tidak kena cara, terus selsema dan pening kepala. Janganlah merokok ya.

Bas mulakan perjalanan. Lega sedikit kerana mula merasa angin-angin bukit menyejukkan udara panas dalam bas. Setiba di satu cabang lampu isyarat..

" khooooo...khoooo..khooo "

Masing-masing terdiam mencari bunyi aneh tersebut. Mungkin bas berjalan bunyi enjin lebih kuat mengatasi segalanya. Ketika berhenti seketika, teserlah bunyi aneh tersebut. Masing-masing berpandangan mencari arah bunyi.

" ma fi syik...ma fi syik..nayim..nayim.. "

Bagai tak tertahan ketawa ketika kesorangan melayan angin sepoi-sepoi bahasa. Tiba-tiba diterpa bagai bunyi raksaksa yang begitu kuat. Saya toleh ke belakang rupanya terpandang seorang pak cik tua kepalanya sudah terkeluar dari landasan akibat lenanya tidur ketika itu. Saya fikir ada 90 darjah mungkin..hehe. Mujurlah seorang lelaki berdekatan metenteramkan keadaan memberitahu bahawa tiada apa-apa. Cuma orang tidur. Dengkuran rupanya. Dalam sedikit keriuhan ketika itu, pakcik itu semakin lena tidurnya. Tersengih sendirian. Dalam panas dan tertekan dalam bas, ada juga pelbagai gelagat manusia begitu mengurangkan ketegangan minda.

Luaskan Pemandangan

Benarlah kata pepatah jauh perjalanan, luas pemandangan saya tambah sedikit mematangkan fikiran. Bila berjalan sendiri mencari jalan pulang. Melihat gelagat manusia yang pelbagai ada yang baik, ada yang tidak. Ada yang menceriakan ada yang menyakitkan. Semua itu menambah pengalaman untuk membentuk akal berfikir. Justeru, jika rajin berfkir, kematangan juga akan bertambah.

Allah menjadikan segalanya tidak sia-sia. Tamabahn manusia diberikan nikmat akal. Semuanya untuk diselami dan difikirkan. Dalam al-Quran juga banyak menyebut supaya kita berjalan, bermusafir dan berfikir. Tambahan pula ambil pengajaran padanya. Semoga kita menjadi lebih matang dalam mentafsir sesuatu dan membuat keputusan. Jika berjalan, jangan diabaikan apa yang berlaku disekeliling. pasti ada sesusatu padanya untuk sama-sama difikirkan

* sedikit arab ami Jordan digunakan dalam artikel ini.

Thursday 3 September 2009

1 Malaysia.....1 Islam

Salam juang buat semua

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi atas kesempatan yang diberikan melalui fasa ke-2 Ramadhan kali ini. Sebanyak-banyak selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah s.a.w moga menjadi syafaat diakhirat kelak.

1 Malaysia

Baru beberapa hari lepas rakyat Malaysia meraikan kemerdekaan negara yang ke -52 pada 31 Ogos yang lalu. Tidak ketinggalan kami di sini turut meraikan ulangtahun tersebut di Kedutaan Malaysia. Namun persoalan yang seringkali terlintas di bibir kita, negara hampir 50 tahun merdeka, tetapi merdekakah rakyatnya? Sebenarnya jasad telah lama merdeka cuma pemikiran dan ideologi masih di takuk lama. Negara menuju kepesatan pembangunan, namun mengapa minda semakin merudum.

Imbas kembali, pernah suatu masa berbual dengan seorang penceramah dari Aman Palestin dalam program yang lalu. Persoalan dalam negara-negara yang telah lama maju dan meningkat maju. Ada yang berjaya ada yang terkandas di tengah jalan. Ada yang sedia maju tetapi tidak di islahkan. Sebenarnya tamadun dan pembangunan itu dibina dengan asas ilmu. Bukan sekadar bangunan-bangunan tinggi dan mengharapkan orang lain memajukan negara. Tetapi ia bermula dari rakyatnya sendiri, penduduknya sendiri. Tamadun dan kemajuan itu terbina dari rakyat yang berilmu. Demikian yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dalam pada usaha membina negara, menghadapi peperangan dan sebagainya, tidak dilupa kepentingan ilmu, dimana pernah suatu masa tawanan perang tidak dihukum, tetapi diberikan syarat mengajar anak-anak orang Islam membaca dan menulis. Lihat bijaknya strategi baginda dalam membentuk negara. Dimulakan budaya ilmu dari yang kecil. Bilamana yang dewasa usaha mendapatkn tapaknya.

Masyarakat Hari Ini

Menarik sekali simbolik 1 Malaysia sempena kemerdekaan tahun ini. Namun disebalik proses perlaksanaannya itu sudah mula membibitkan pertentangan dengan pemahaman masyarakat hari ini. Kita lihat bagaimana mentaliti kita contohnya sebagai orang melayu dan beragama Islam. Kita dikejutkan dengan kisah 'kepala lembu' di Shah Alam selepas di war-warkan 1 Malaysia. Adakah selepas peristiwa tersebut, bangsa yang menjadi mangsa itu akan tetap seiring di bawah cogankata ini? Bukan mahu menjirus minyak, tetapi mahu mengajak membuka minda seluas-luasnya. Fikir panjang-panjang, tenung dalam-dalam sebelum bertindak. Belum habis isu babi, isu kuil pula menerjah. Jika mahu masyarakat majmuk di Malaysia terus aman damai. Berlapang dadalah. Jangan cepat melatah. Fikirkanlah.

Pemimpin juga harus lihat dan dekat dengan masyarakat. Jika benar-benar masyarakat menghayati sebenar-benar maksud 1 Malaysia ini, pasti perkara sebegini tidak berlaku. Bahkan akan timbul rasa keharmonian dikalangan rakyat Malaysia. Jika pemimpin pandang jauh kehadapan jangan ditinggalkan rakyat terkapai-kapai mencari jalan. Justeru, sepatutnya masyarakat menjadi lebih matang dalam usia kemerdekaan yang terlalu lama ini. Jika minda masih dijajah, tidak kemanalah kemajuan negara. Bahkan akan dikaut keuntungan oleh bangsa lain yang datang masuk ke negara. Cintakan negara itu sebahagian dari iman, jika cinta peliharalah ia, jangan rosakkan ia.

1 Islam
Dari Abi Musa r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

" Seorang mukmin itu dengan mukmin yang lain seperti bangunan@binaan, saling tampung-menampung kekurangan, saling kuat-menguatkan antara satu sama lain "

Dalam ghairah mengejar penyatuan seluruh rakyat Malaysia, semoga kita sebagai umat Islam yang Melayu tidak pernah jemu menyatukan seluruh umat Islam. Orang mukmin itu akan terus kuat jika bersatu dan bejalan seiring. Namun jika berpecah belah, pasti kemusnahan yang menanti. Kerana kebatilan yang terancang akan mengalahkan kebenaran yang tidak terancang sistemnya. Oleh sebab itulah nabi mengatakan orang mukmin itu perlu bersatu atas nama Islam.

Semoga dalam usaha penyatuan ini dapat mengembalikan kesedaran buat semua terutamanya umat Islam yang melayu lebih-lebih lagi. Mentaliti dan minda kita jangan terkongkong. Bergerak seiring dengan kemajuan. Ilmu perlu sama bertambah dengan pembangunan. Barulah tamadun itu seimbang dengan kepesatan. Perlu kita sedar, bangsa lain sudah jauh menju kehadapan. Pembangunan dan keintelektualan mereka bergerak seiring. Namun, anak muda kita di mana? Bagaimana sikap ibubapa kita hari ini? Terlalu banyak yang perlu kita sama-sama fikirkan.

Salam Kemerdekaan !!
" 1 Malaysia , People first, Performance now "